29 Mac, 2016

Ubah Kaedah Pembelian Unit Amanah Daripada Proses Jualan kepada Proses Pemilihan

Kebanyakan orang membeli dana unit amanah menerusi perunding/ejen unit amanah. Proses yang dilalui ialah proses jualan, di mana perunding akan mendekati anda untuk menawarkan produk daripada syarikat yang mereka wakili.

Tiada masalah dengan kaedah ini, cuma jika anda membeli hanya berasaskan pilihan yang ditawarkan oleh syarikat perunding tersebut sahaja, anda telah mengehadkan pilihan anda, kerana sebenarnya ada banyak pilihan dana.

Malah, walaupun jika perunding yang menjual mempunyai platform yang bebas dan menawarkan banyak pilihan, anda juga patut membuat penilaian teliti untuk menentukan sama ada kosnya paling efektif bagi anda berbanding perkhidmatan yang anda perlukan.

Ada pelbagai soalan yang boleh anda tanya untuk memastikan kaedah pembelian unit amanah diubah daripada proses jualan kepada proses pemilihan. Saya senaraikan 12 daripadanya:
  1. Adakah unit amanah pilihan paling sesuai untuk saya?
  2. Apakah jenis dana yang patut saya beli, contohnya sama ada dana ekuiti, dana bercampur, dana sukuk dll?
  3. Berapakah kos jualan dan kos lain unit amanah tersebut?
  4. Patutkah saya membeli dari perunding unit amanah atau online?
  5. Jika saya membayar kos lebih mahal untuk membeli menerusi perunding, apakah manfaat yang saya terima?
  6. Bagaimanakah prestasi keseluruhan syarikat pengurus dana yang menawarkan dana tersebut?
  7. Bagaimanakah prestasi pulangan dana yang sedang saya pertimbangkan dalam jangka pendek hingga jangka panjang?
  8. Bagaimanakah prestasi dana berbanding KWSP dan Tabung Haji?
  9. Bagaimanakah kedudukan dana berbanding dana-dana lain dalam kategori yang sama?
  10. Bagaimana pula prestasi dana berbanding indeks penanda aras?
  11. Adakah ini masa yang paling sesuai untuk membeli unit amanah?
  12. Patutkah saya beli secara bulanan atau dengan satu jumlah besar sekaligus?
Walaupun kaedah analisis menerusi soalan ini tidak boleh menjamin yang anda tidak rugi, semua soalan tersebut akan membantu anda membuat keputusan yang lebih teliti, dan memberikan gambaran lebih jelas tentang unit amanah mana yang patut anda pilih.

Tidak kira sama ada anda membuat keputusan membeli dari perunding syarikat unit amanah, perunding bebas atau secara online, tetapi sekurang-kurangnya anda telah melakukannya menerusi proses pemilihan yang tidak hanya bergantung semata-mata dengan input daripada perunding kewangan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

2 ulasan:

Azwan Yusoff berkata...

Boleh tambah soalan berikut jugak:
1. Apakah "risk rating" fund tersebut.
2. Saiz dana tersebut? 5mil? 100mil? 1bil?
3. Sudah berapa lama dalam pasaran?
4. Morningstar atau Lipperleader rating.
5. Adakah mematuhi syariah? (untuk pelabur islam)
6. Apakah portfolio yang perunding nasihatkan? Adakah semua dana ekuiti dan sbgnya.

jangan bergantung pada maklumat dari perunding atau portal pelaburan. Pastikan lengkapkan diri dan pahami pelaburan yang akan anda masuki.

Razali Razman berkata...

Thanks Azwan!