21 Disember, 2015

Meninjau Dan Menantikan Tanda Kestabilan II

Tiga bulan lepas saya menulis artikel (klik untuk baca) mengenai lima faktor yang boleh ditinjau oleh pelabur untuk melihat sama ada ekonomi dunia dan suasana pelaburan sudah mula stabil.

Lima faktor tersebut ialah kadar faedah Amerika Syarikat, harga minyak, kadar tukaran mata wang Malaysia, situasi politik Malaysia dan keadaan ekonomi China.

Kita kaji kembali situasi semasa untuk melihat perkembangan terkini.

1.  Kadar faedah Amerika Syarikat
Pada minggu lepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat telah membuat keputusan untuk memulakan fasa kenaikan kadar faedah. Perkara positif tentang pengumuman ini ialah ketidakpastian tentang dasar Fed kini telah berakhir.

Tetapi perkara negatifnya ialah era wang mudah di peringkat global sudah berakhir dan sebelum pemulihan berlaku kita mungkin melihat tempoh pelarasan di mana ekonomi dan pasaran modal dunia akan mengalami kesan negatif untuk tempoh tertentu.

2.  Harga minyak dunia
Harga minyak telah jatuh lagi dan kini berada di paras terendah sejak krisis subprima. Biasanya apabila kejatuhan berlaku, ia disebabkan oleh salah satu faktor, iaitu peningkatan bekalan atau kurangnya permintaan.


Tetapi dalam kes sekarang pertambahan bekalan berlaku dalam dunia di mana permintaan semakin berkurangan. Kesannya ialah kejatuhan ketara yang dilihat dalam graf. Perkara positif tentang harga rendah ialah pengguna di seluruh dunia akan membayar kos yang lebih rendah dan menggunakan lebih banyak minyak.

Selain itu pada harga yang sangat rendah ini, ramai pengeluar akan menghadapi masalah dan jika berterusan, bekalan akan terjejas untuk memulihkan kembali harga minyak. Walau apa dalam jangka pendek hingga sederhana, mereka yang terlibat dalam industri ini akan mengalami kesannya.

3.  Kadar tukaran Malaysia


Walaupun belum lagi pulih,  mata wang USD-RM kini turun naik berpaksikan paras RM4.30 - 1 USD. Terdapat kemungkinan jatuh lagi jika situasi harga minyak bertambah buruk.

Seperti harga minyak, mungkin ketidakstabilan akan wujud dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang. Kenaikan kadar faedah AS tidak membantu tetapi sekurang-kurangnya kita sudah tahu hala tuju dasar Fed. Diharapkan keadaan akan stabil dan mula pulih pada separuh kedua 2016.

4.  Situasi politik Malaysia
Nampaknya keadaan politik di Malaysia boleh dilihat dari dua sudut. Pertama ialah pemimpin tertinggi telah mengukuhkan kedudukannya dan tidak nampak akan berundur. Satu faktor positif bagi operasi perniagaan ialah kestabilan dan konsistensi dasar .

Perkara negatif ialah ramai orang tidak suka dasar yang dilaksanakan dan mempersoalkan integriti kepimpinan dan ramai individu yang mengalami kesempitan hidup buat masa ini dan tak puas hati dengan kenaikan harga yang berlaku. Ini akan mungkin mempunyai kesan terhadap perbelanjaan isi rumah.

Tetapi memandangkan situasi pakatan pembangkang yang juga agak kucar-kacir, kita perlu menerima realiti bahawa bukan sahaja kita perlu menunggu dua tahun tetapi mungkin lebih dari itu kerana tiada jaminan perubahan yang dinanti-nantikan boleh berlaku semasa pilihan raya.

5.  Keadaan ekonomi China
Keadaan ekonomi China tidak buruk tetapi memang kurang baik. Pertumbuhan pada 2016 dijangka lebih rendah daripada sebelum ini tetapi ini sebahagian daripada proses normalisasi selepas tempoh pertumbuhan pantas sekian lama.

Baca artikel ini untuk maklumat lanjut tentang perkembangan terkini ekonomi China: china-economic-growth-falls-below-7-for-first-time-since-2009 daripada Wall Street Journal.


Walau apa pun, sekurang-kurangnya untuk tahun 2016, kita tidak boleh mengharapkan China untuk memacu pertumbuhan global seperti sebelum ini.

Kesimpulan

Pada pendapat saya, kenaikan kadar faedah di AS akan memberikan kesan terhadap ekonomi global buat sementara waktu dan pasaran saham dan ekonomi sedunia mungkin mengambil masa 3 - 6 bulan untuk menyesuaikan diri kepada realiti berakhirnya wang mudah.

Sementara itu harga minyak juga akan terjejas buat tempoh yang tidak boleh dikatakan pendek lagi tetapi membawa manfaat kepada beberapa sektor lain yang menjadi penggunanya. Ini bermakna kegawatan akan dialami sektor tertentu dan pertumbuhan dialami sektor lain.

Pendek kata tanda kestabilan berasaskan lima faktor di atas belum dilihat lagi dan saya akan tinjau situasi sekali lagi dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Kemungkinan tiada kegawatan serius akan berlaku tetapi apa yang wujud ialah situasi mendatar buat beberapa lama di mana pertumbuhan sukar dicapai dan pulangan perlu dihasilkan daripada kegiatan ekonomi sebenar, bukannya daripada ekonomi kewangan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Askm,
saya pembaca setia blog tuan dan saya harap semoga tuan terus menulis dan berkongsi ilmu dalam blog ini. Saya dapati banyak info berguna dari penulisan tuan yg saya jadikan dasar untuk saya membuat keputusan dlm pelaburan saya.
Terima kasih!

Razali Razman berkata...

Waalaikumsalam...sama-sama. Boleh tak tuan beri nama supaya saya boleh jadikan testimonial. Terima kasih.