10 November, 2015

Membina Aset Bahagian 5: Lapan Perkara Yang Perlu Dinilai Apabila Memilih Aset Paling Sesuai Untuk Anda

Dalam senarai rakan FB saya, ada ramai penasihat kewangan yang menjual unit amanah dan/atau takaful; broker dan pakar saham; perunding, ejen dan pakar hartanah; penjual dan pakar emas; dan juga penggiat pelbagai skim lain.

Masing-masing akan menekankan manfaat produk pelaburan mereka dan memberikan contoh terbaik bagaimana pelaburan dalam aset yang mereka tawarkan mampu memberikan pulangan lumayan.

Jarang dipaparkan kes kerugian tetapi yang terbaik di antara mereka akan menunjukkan risiko pelaburan yang mereka jual atau promosi.

Walaupun apa yang masing-masing katakan ada kebenarannya, pelabur tidak harus membuat keputusan hanya daripada maklumat yang mereka berikan. Maklumat ini dipaparkan dari kaca mata mereka. Anda pula perlu melihat dari sudut pandangan sendiri.

Lain pelabur mempunyai lain keperluan. Aset yang paling baik untuk anda mungkin tidak sama dengan aset yang paling sesuai untuk orang lain.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memilih aset yang paling sesuai untuk anda:

1. Kedudukan kewangan dan keperlun tunai anda
Sudahkah anda mempunyai rizab tunai untuk situasi tidak diduga. Jika belum tabung tunai dahulu. Satu lagi soalan ialah adakah anda mungkin memerlukan wang yang dilaburkan dalam jangka pendek. Jika ya, lebih sesuai untuk melabur dalam pelaburan yang mudah ditunaikan dengan kos rendah seperti saham atau simpan sahaja dalam Tabung Haji.

2. Kesanggupan anda menanggung risiko
Berapa banyak risiko yang sanggup anda tanggung? Anda selesa tak dengan turun naik pasaran saham? Jika tak dapat tidur malam kerana harga saham yang anda laburkan jatuh buat sementara waktu, elakkan pelaburan saham.

3. Tujuan anda melabur
Anda perlu menentukan tujuan sebenar anda melabur. Adakah semata-mata untuk meraih pulangan? Atau untuk dana persaraan atau pendidikan anak?  Jika anda mahu melindungi nilai dalam jangka panjang, salah satu pilihan ialah emas (selagi anda tidak membeli pada zaman kehangatan beberapa tahun lepas). Manakala hartanah akan melindungi anda dari inflasi (selain memberikan untung lumayan jika pelaburan bijak dibuat). Anda boleh gabungkan beberapa aset untuk mencapai portfolio yang seimbang antara pulangan dan lindung nilai. 

4. Tempoh masa pelaburan
Ini penting kerana lebih panjang tempoh masa, lebih banyak pilihan pelaburan anda. Jika anda bercadang untuk melabur antara 3 bulan hingga 1 tahun, mungkin unit amanah dan hartanah tidak begitu sesuai kerana faktor kos dan tempoh masa menyempurnakan urus niaga. Hampir semua aset sesuai jika anda melabur dalam jangka panjang.

5.  Kaedah pelaburan
Adakah anda ingin melabur secara sekaligus atau secara bulanan. Adakah anda menggunakan pembiayaan? Jika anda ingin melabur jumlah kecil secara bulanan, unit amanah adalah yang paling sesuai. Sekiranya anda mempunyai modal yang lebih besar, kedua-dua saham dan unit amanah boleh dipilih, manakala aset paling sesuai untuk menggunakan pembiayaan ialah hartanah kerana nilainya tidak turun naik dengan ketara.

6. Usaha dan masa yang sanggup anda luangkan
Bukan semua orang ada masa untuk memikirkan hal pelaburan. Contohnya pelaburan saham memerlukan masa dan juga ilmu. Begitu juga pelaburan hartanah, walaupun anda menggunakan khidmat orang lain untuk menguruskan hartanah tersebut. Jika tiada masa, unit amanah amat sesuai untuk anda kerana anda menyerahkan pengurusan kepada pengurus dana profesional.

7. Situasi pasaran aset tersebut
Apabila sesuatu aset telah naik buat beberapa tahun berturut-turut, pada waktu itulah semakin ramai orang yang menjual aset tersebut, dan pelbagai seminar dan kelas mengenai aset tersebut akan diadakan. Promoter aset akan menunjukkan contoh berasaskan data 3 - 10 tahun untuk menerangkan bagaimana pelaburan dalam aset menjana untung lumayan. Berhati-hati dalam keadaan ini. Tiada aset yang akan naik terus-menerus. Cuba kaji data harga setiap aset dalam jangka yang amat panjang dan anda akan dapati semua aset akan naik turun, walaupun secara umumnya trend adalah meningkat.
 
8. Keadaan ekonomi dan pasaran
Lazimnya ekonomi yang kukuh mewujudkan senario kenaikan harga aset. Tetapi masa yang paling sesuai untuk membeli aset ialah di tengah-tengah kegawatan ekonomi di mana kebanyakan aset boleh didapati pada harga bargain dan memegangnya untuk jangka panjang sehingga aset tersebut kembali 'hot' di mata pelabur lain.

Apa yang ingin saya tekankan ialah jangan terburu-buru, untuk memilih sesuatu aset hanya kerana anda lihat ramai orang telah meraih untung daripada aset tersebut, sebaliknya pertimbangan kedudukan dan keperluan anda sebelum memilih aset yang paling sesuai.

E-book terbaru Razali Razman, iaitu yang kedua dalam Siri Risalah Labur Niaga, dijangka terbit pada bulan Disember ini.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

2 ulasan:

heikal hamid berkata...

saya dah beli hampir semua buku dan e-book razali razman iaitu ebook Panduan Asas Saham,buku Panduan Bijak Melabur dan Petua Pelabur Tersohor. Buku Panduan Pelaburan Unit Amanah pulak saya ada pinjam di library putrajaya. Semua siri koleksi tuan tidak mengecewakan kerana ia menerangkan selok-belok pasal pelaburan secara jujur tanpa ada bias berpihak mana2 pihak atau nak jual sebarang produk. So harap e-book tuan seterusnya juga penuh dgn ilmu dan tunjuk ajar. Terima kasih juga dgn segala ilmu pelaburan percuma yg selalu diupdate kan dlm posting blog tuan ni. Bukan senang nak buat semua ni tanpa minat yg mendalam berkenaan pelaburan. syabas tuan

Razali Razman berkata...

Terima kasih En. heikal hamid.