18 September, 2015

Kebangkitan Melayu Bermula Dengan Ilmu Tentang Pemilikan Aset

Walaupun saya tidak menyokong perhimpunan baju merah tempoh hari, saya faham konteks kebangkitan yang diinginkan. Tetapi rasanya seolah-olah kita nak bangkit tetapi tidak sedar mengapa kita terlena sebelum ini. Akhirnya kita salahkan pihak lain.

Orang Melayu amat bimbang tentang kehilangan kuasa politik, kerana itulah satu-satunya kekuatan yang kita ada. Dari segi pegangan aset dan perniagaan kita jauh ketinggalan.

Ini sebab utama kita terasa kekurangan. Lihatlah peratusan pegangan ekuiti saham dan pemilikan tanah Melayu. Tahapnya kurang daripada 30%. Tanpa pegangan institusi Bumiputera dan juga tanah rizab Melayu, angka tersebut mungkin jauh lebih rendah.

Bolehkah kita menyalahkan orang lain kerana keadaan ini? Saya tak berapa pasti. Dengan pelbagai institusi yang ada untuk melabur duit Bumiputera dan juga pelbagai program yang memperkasakan ekonomi, sepatutnya kita sudah mula berjaya.

Pada pendapat saya, apa yang akan membuatkan Melayu lebih yakin ialah status ekonomi yang lebih kukuh. Dan untuk mencapai status ekonomi lebih kukuh, kita perlukan ilmu perniagaan dan juga ilmu kewangan, atau lebih khusus lagi ilmu tentang pemilikan aset.

Saya sudah nampak kebangkitan dalam dunia perniagaan. Ini jelas kerana program, kursus dan seminar yang bermanfaat telah diadakan dan sikap dan budaya berlandaskan perkhidmatan yang kini diamalkan.

Malangnya kita masih jauh ketinggalan dari segi ilmu kewangan dan juga pemilikan aset.

Apa yang kita ada sekarang ialah sikap short-termism. Skim yang menjanjikan unung pantas sentiasa mendapat perhatian ramai, manakala sebarang bentuk proses jangka panjang dianggap kurang menarik.

Jika ada pun pemilikan aset, segala bentuk harta, tak kiralah saham atau harta fizikal lain dipegang untuk jangka terlalu pendek. Apabila nampak sahaja ada untung yang besar sikit, maka terus jual untuk dapatkan tunai.

Secara intuitif nampak berbaloi sebab kita terasa kaya apabila dapat tunai, tetapi ramai yang tidak sedar bahawa orang yang betul-betul kaya ialah yang kaya dengan pelbagai aset. Tunai hanya sebahagian kecil daripada portfolio mereka.

Golongan ini akan pegang aset untuk jangka panjang sehingga aset tersebut meningkat berlipat kali ganda sebelum jual.

Cuba bayangkan anda membeli rumah di Kuala Lumpur pada sekitar tahun 1980an. Apabila harga naik sedikit pada tahun 1990an, anda jual, Mungkin anda rasa dapat untung 'besar' pada masa tersebut.

Tetapi jika anda terus pegang, nilai aset bersih anda akan meningkat berlipat kali ganda dan mereka yang pegang sehingga sekarang, apabila menjual aset tersebut, boleh gunakan wang untuk beli rumah di tempat lain yang lebih murah dan bersara dengan selesa dan fikiran tenang.

Begitu juga dengan pemilikan tanah. Kita asyik tergerak hati untuk bertanya nilai tanah tersebut dan menjual jika ada orang datang untuk offer harga yang agak menarik. Kita sedih kerana kini bangsa lain yang memegang aset tetapi kita juga yang jual. Tiada siapa yang paksa.

Sebenarnya tiada masalah jika anda ambil untung. Tetapi berapa ramai orang yang cukup bijak untuk menggunakan habuan tunai yang diraih untuk membeli aset lain yang akan meningkat nilainya?

Masalah dengan tunai ialah ia sejenis aset yang sangat mudah untuk lari dari tangan kita. Bila ada tunai kita tergamak untuk membeli pelbagai barang pengguna atau aset yang menyusut nilainya.

Akhirnya kedudukan nilai bersih kita dalam tempoh sepuluh tahun lebih rendah daripada jika kita pegang sahaja hartanah yang kita jual tadi.

Saham syarikat juga begitu. Kita digalakkan untuk jual dan beli, jual dan beli. Anda main saham ada masa untung dan ada masa rugi. Tapi nilai ekuiti Melayu tidak akan meningkat dengan cara ini.

Dari segi ilmu perniagaan, memang saya lihat sudah ada kebangkitan, tetapi bagi ilmu kewangan dan pelaburan, keadaan kita masih jauh ketinggalan, mungkin kerana sudah selesa dibantu oleh pelbagai institusi seperti ASB, Tabung Haji dan selainnya.

Bila ada orang menawarkan kita harga yang tinggi untuk aset, kita rasa hairan. Mengapa agaknya mereka nak offer harga tinggi macam itu? Untunglah kita. Bestnya dapat beli kereta besar nanti.

Sebabnya ialah mereka ada ilmu dan kita tiada. Mereka tahu harga aset tersebut akan meningkat lagi dalam jangka panjang.

Mereka dapat aset dan lepaskan tunai. Kita dapat tunai dan lepaskan aset. Mereka susah payah kerana terpaksa tanggung pembelian aset sedangkan kita dapat enjoy tunai kita. Tetapi akhirnya nilai aset mereka naik dan nilai aset kita turun. Lepas itu kita pula rasa tak puas hati.

Itulah vicious cycle atau kitaran negatif yang kita hadapi. Nak salahkan siapa agaknya?

Bagi saya penyelesaiannya hanya satu. Kita perlu menambah ilmu kewangan dan menambahkan pegangan aset, bukan menerusi institusi Kerajaan dan institusi sepertinya, tetapi atas inisiatif peribadi, perkongsian atau persyarikatan.

Nota: Saya menulis artikel ini dalam jelmaan saya sebagai orang Melayu, walaupun dari segi teknikal saya sendiri tak pasti saya orang apa sebenarnya.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di  razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

3 ulasan:

Heikal berkata...

saya amat bersetuju dengan artikel tuan.

Razali Razman berkata...

Terima kasih

Lukminah Halkum berkata...

rilek bro..tak kisahla bro melayu ke bukan, yang penting kita sama muslim bro.. :)