10 Jun, 2015

Nilai Mula Muncul Tetapi Berwaspada Terhadap Paras Untung Serta Pasaran China dan AS

Walaupun nilai mula dilihat sekarang selepas pasaran sudah sekian lama meningkat, saya masih berhati-hati dan hanya membeli jika betul-betul dirasakan saham tersebut undervalued. Ini kerana beberapa risiko dalam dan luar yang dihadapi pasaran.

Ramai yang mengaitkan kejatuhan pasaran dengan perkembangan politik di Malaysia tetapi itu hanya salah satu faktornya, dan mungkin merupakan faktor kecil sahaja. Ada banyak faktor lain yang berpotensi mempengaruhi pasaran dalam tempoh 6 bulan akan datang.
  1. Potensi Rizab Persekutuan AS (Fed) meningkatkan kadar faedah. Ini faktor paling dibimbangi oleh ramai pelabur di peringkat antarabangsa.
  2. Kejatuhan pasaran bon yang kini sedang berlaku (sebahagiannya disebabkan oleh jangkaan kenaikan kadar faedah)
  3. Kemerosotan untung sesetengah syarikat di Malaysia, terutamanya dengan kejatuhan harga komoditi dan juga penyesuaian terhadap GST.
  4. Kenaikan ketara saham di China, dipacu pembelian berasaskan hutang, sedangkan pertumbuhan ekonominya tidak begitu kukuh.
  5. Pasaran hartanah di banyak negara dunia yang agak tinggi.
Kadar faedah tersangat rendah yang ditetapkan oleh Fed Amerika sejak tujuh tahun lepas dan disusuli beberapa Bank Pusat lain kebelakangan ini telah mendorong kenaikan harga aset yang bukan berlandaskan nilai, tetapi berasaskan kecairan dan kos dana yang amat rendah.  

Justeru, apabila kos dana (kadar faedah) mula dinaikkan, terdapat risiko bahawa pasaran akan mula terjejas, selain mendorong peningkatan nilai USD.

Sementara itu, walaupun banyak pasaran saham dunia yang kelihatan tinggi, tetapi dua yang nampak sudah memasuki situasi bubble ialah pasaran saham Shanghai dan Shenzen di China, khususnya pasaran saham Shenzen. Kita lihat dua carta di bawah.




Memandangkan kenaikan ini dipacu oleh penggunaan hutang untuk membeli saham, dan China kini merupakan salah satu gergasi ekonomi dunia, sebarang sentimen negatif di sana boleh menimbulkan panik di pasaran dunia.

Nilai mata wang Ringgit yang jatuh berbanding dolar tidak semetinya negatif kerana banyak syarikat di Bursa adalah pengeksport. Namun kenaikan dolar adalah negatif bagi syarikat Amerika dan boleh menjejaskan pasaran saham di sana, selain daripada kesan kenaikan kadar faedah.

Secara keseluruhannya tempoh enam bulan akan datang dijangka agar mencabar bagi pasaran modal global dengan pelbagai ketidakseimbangan yang wujud.

Walaupun boleh mula beli secara berhati-hati dari sekarang, kita perlu bersiap sedia untuk mengambil kesempatan jika berlaku panik kerana peluang seperti ini mungkin muncul hanya sekali dalam tempoh 5 hingga 10 tahun.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pandangan tuan terhadap saham FGV di post yang lalu masih sama?

Razali Razman berkata...

Pembelian ladang di Indonesia baru-baru ini agak mahal, tetapi pada pendapat saya bukan sesuatu yang terlalu negatif. Jika harga minyak sawit naik, ia boleh bertukar menjadi positif. Saya telah beli sedikit saham ini untuk dipegang bagi tempoh 3 - 5 tahun, dan setakat ini, belum ada berita yang mengubah fikiran saya untuk menjual. Saya akan maklumkan jika pandangan saya berubah.

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih.

Ahmad Fakhruddeen Hashim berkata...

Tuan, sy melabur ke dana china melalui pelan investment-linked takaful, diurus oleh eastspring, adakah melabur scr bulanan spt ini juga sesuatu yg perlu dirisaukan?

Razali Razman berkata...

Kalau bulanan lebih selamat rasanya kerana pada masa saham dah jatuh ni Tuan tetapi beli ....so dalam jangka panjang akan dapat keuntungan yang sederhana apabila saham kembali naik