22 Januari, 2015

Kesan Pengumuman Penyesuaian Bajet

Tindakan Baik Untuk Jangka Panjang Tapi Mencabar Untuk Jangka Pendek

Berikutan kejatuhan harga minyak dan banjir besar yang berlaku baru-baru ini, kerajaan telah membuat keputusan untuk menyesuaikan bajet tahun 2015 untuk mengambil kira hasil yang lebih rendah daripada minyak di samping memperuntukkan perbelanjaan untuk membangunkan semula kawasan yang dilanda banjir.

Tindakan utama yang saya dapat lihat ialah langkah untuk mengurangkan perbelanjaan sebanyak RM5.5 bilion. Jumlah ini adalah angka yang agak besar. Hasil daripada pengurangan ini, defisit kini diunjurkan pada paras 3.2% berbanding 3.9% jika pemotongan perbelanjaan tidak dibuat.

Sasaran asalnya ialah 3.0% tetapi perlu diingat bahawa bajet 2015 telah dirangka dengan harga minyak pada $100 - $105 dan kini penyesuaian dilakukan dengan andaian harga pada $55.

Perkara positif mengenainya ialah dengan pemotongan ini, Kerajaan berjaya mengekang kenaikan defisit dan ini satu langkah yang baik untuk jangka panjang.

Namun begitu dalam tempoh terdekat, pengurangan perbelanjaan RM5.5 bilion tersebut pasti akan memberikan kesan terhadap syarikat dan perusahaan yang terlibat secara langsung dan juga tidak langsung dengan pemotongan tersebut.

Memandangkan setiap perbelanjaan mempunyai kesan pengganda, ini bermakna ia sedikit sebanyak akan dirasai oleh segmen perniagaan yang berkhidmat kepada kerajaan dan juga pembekal mereka.

Lanjutan daripada itu, ekonomi Malaysia kini hanya dijangka berkembang antara 4.5% - 5.5% pada tahun 2015 berbanding unjuran pertumbuhan asal 5% - 6%.

Ini bermakna jika tiada kejutan lain berlaku, ekonomi Malaysia tetap mengalami pertumbuhan yang memuaskan, tetapi ini masih lagi andaian sahaja. Beberapa perkara lain yang boleh berlaku untuk mejadikan realiti berbeza.
  1. Pertama sekali situasi ok melainkan berlaku kejutan kepada ekonomi. Kejutan boleh berlaku kerana tahap hutang negara dan isi rumah yang agak tinggi buat masa ini. Jika pelabur asing bon Malaysia meragui kekuatan fiskal negara dan mula angkat kaki, Malaysia mungkin menghadapi tekanan lebih besar.
  2. Satu lagi kejutan yang mungkin berlaku ialah pasaran hartanah. Jika nilai hartanah tiba-tiba jatuh menyebabkan pembeli rumah menghadapi keadaan 'ekuiti negatif', iaitu hutang lebih tinggi daripada nilai rumah, maka masalah besar akan dialami.
  3. Sementara itu, dari sudut positif, jika harga minyak naik kembali ke paras di sekitar $60 - $70 kekal di sana, ini akan mengukuhkan sedikit hasil negara, lebih-lebih lagi memandangkan penyesuaian bajet dibuat berasaskan andaian harga minyak mentah $55.
Rata-rata jika tiada kejutan ketara berlaku, ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar sederhana, dan keuntungan syarikat yang bergantung kepada pasaran domestik dan Asia mungkin merosot sedikit manakala yang mengeksport ke pasaran Amerika mungkin naik.

Tetapi jika kejutan berlaku, sama ada luaran atau dalaman, maka keadaan akan menjadi jauh berbeza. Pelabur perlu memantau situasi dengan amat teliti.

Nota: Sebenarnya kesan penurunan harga minyak terhadap imbangan perdagangan adalah sifar, menurut Wellian Wiranto, pakar ekonomi OCBC. Ini kerana Malaysia bukan lagi pengeksport bersih minyak. Namun begitu hasil kerajaan bergantung kepada minyak, sebab itulah bajet perlu diubah suai.

2 ulasan:

Insan Biasa berkata...

berapa peratus kemungkinan harga hartanah jatuh dan apa sebabnya? melainkan interest rate naik mendadak, apakah lagi faktornya?

Razali Razman berkata...

Salam Insan Biasa,

Sukar untuk memberikan kebarangkalian, pakar hartanah pun sukar meramalkan. Cuma pelabur perlu berhati-hati. Mungkin tiada kejatuhan dan pasaran mendatar. Tiada siapa yang tahu dengan tepat.