20 Oktober, 2014

Hampir Mustahil Untuk Meramalkan Pasaran

Jika pelabur terkenal seperti Fisher, Buffett, Lynch dan Graham tidak boleh melakukannya, apa yang membuat kita yakin bahawa 'pakar ekonomi' atau 'pakar saham' lain boleh memberikan market outlook yang tepat?

Pergerakan pasaran saham hampir mustahil diramalkan dalam jangka pendek. Malah dalam jangka panjang pun sangat sukar melakukannya.

Namun disebabkan terdapat  permintaan besar bagi unjuran seperti ini, ramai yang sanggup memberikan ramalan walaupun tahap ketepatannya hanya 50-50. 

shareinvestor.com.my

Saya pernah membaca dalam salah buku Ken Fisher mengenai penyelidikan yang dijalankan terhadap ramalan ''pakar'' dan "penganalisis". Akhirnya tiada seorang pun yang didapati mempunyai kemahiran meramalkan pasaran dengan tepat. Sebahagian besarnya 50-50 sahaja.

Ada segelintir pelabur pintar yang tahu pasaran overvalued atau undervalued secara umumnya, tetapi pakar sebenar ini akan mengaku bahawa mereka tidak tahu bila reversal akan berlaku, cuma mereka bersiap sedia dengan bijak untuk menghadapinya.

Tetapi ramai pedagang pasaran begitu obsesi dengan ramalan pasaran dengan harapan mendapat sedikit trading edge atau kelebihan tetapi mereka tidak sedar bahawa meramal pergerakan pasaran adalah hampir mustahil.

Sebaliknya adalah lebih baik untuk fokus pada harga dan nilai sesuatu saham. Jika anda boleh menganggarkan nilai sesuatu syarikat, dan anda tahu harganya, keputusan jual beli menjadi lebih mudah.

Untuk mengetahui nilai saham, tumpukan pada operasi syarikat tersebut. Jangan bimbang tentang kesan ekonomi terhadap pasaran saham, tetapi sebaliknya fokus kepada situasi ekonomi yang diunjurkan dalam tempoh mendatang dan kemudian fikirkan bagaimana ekonomi tersebut akan mempengaruhi syarikat.

Konsepnya amat mudah, tetapi yang susah ialah cara menilai syarikat. Kerja kali pertama mungkin memerlukan ilmu, usaha dan masa, tetapi selepas itu anda hanya perlu memantau perkembangan syarikat dari masa ke masa dan tak perlu memandang skrin saham setiap hari.

Ini bukan bermakna anda tidak harus mempunyai pandangan tentang pasaran secara keseluruhan, tetapi dari segi umum sahaja dan bukannya secara tepat. 

Pandangan tentang pasaran boleh dirumuskan dengan menilai tahap harga berbanding nilai kebanyakan syarikat di pasaran. Selepas itu kita buat keputusan berapa banyak saham dan berapa banyak tunai yang harus dipegang.  Ini adalah sebahagian daripada pengurusan portfolio dan akan saya bincangkan dalam posting akan datang.

Bagi saya proses pelaburan adalah simple sahaja. Fokus pada syarikat dan prestasinya dalam tempoh terdekat dan jangka panjang, selepas mengambil kira situasi ekonomi yang bakal dihadapi. Segala perkara lain, seperti kata orang putih, hanyalah noise.

2 ulasan:

Fauzi berkata...

Assalam tuan,
bolehkah tuan terangkan tentang CGT (Capital Gain Tax) untuk saham dan kesannya kepada pelabur nilai dan trader? T.kasih..

Razali Razman berkata...

Sebenarnya Malaysia tiada Capital Gains Tax. Di Amerika ada.

Tetapi kalau ada, ini bermakna trader akan menghadapi kos lebih tinggi sebab mereka lebih kerap jual beli saham dan setiap urus niaga akan dikenakan cukai jika untung.

Pelabur nilai pula amat jarang menjual beli, justeru cukai yang dibayarnya juga umumnya lebih rendah.

Pelabur jangka panjang di Amerika sering menyatakan tentang kelebihan cukai kaedah pelaburan jangka panjang tetapi di Malaysia tiada cukai dikenakan setakat ini.