23 Ogos, 2014

Proses Pelaburan Dana Berprestasi Tinggi

Kita tinjau teknik pelaburan pengurus dana Kenanga Syariah Growth Fund, dana yang catat prestasi cemerlang dalam tempoh 10 tahun

Pada posting saya minggu lepas mengenai dana yang mencatatkan prestasi terbaik dalam jangka panjang, saya memaparkan jadual yang menunjukkan prestasi dana untuk tempoh 10 tahun dari laman web Morningstar. Di tempat teratas ialah Kenanga Syariah Growth yang mencatatkan pulangan terkompaun tahunan lebih 14%.


Memandangkan prestasi cemerlang dana dalam jangka panjang, cuba kita lihat proses pelaburan mereka berasaskan brosur yang dikeluarkan:


Mereka melakukannya seperti berikut:
 
Kami berfikir seperti pemilik perniagaan
 
Seperti mana-mana ahli perniagaan, kriteria berikut mesti dipenuhi sebelum kami mempertimbangkan penilaian sesebuah syarikat dan memasukkannya ke dalam portfolio Dana:-
  1. Model perniagaan dan tawaran nilai berdaya maju
  2. Kualiti pengurusan terbukti
  3. Kualiti pendapatan yang mantap
  4. Lembaran imbangan kukuh
 
Kami membeli perniagaan berkualiti di bawah nilai sebenar
 
Bagi kami, pelaburan dalam syarikat dengan perniagaan yang lemah dan membayar harga terlalu tinggi berbanding nilai intrinsik/sebenar mewujudkan risiko paling besar. Proses pelaburan kami berusaha untuk memanfaatkan perniagaan dengan pendapatan berdaya maju yang diperdagangkan nilai intrinsik/sebenar. Kami menggunakan kaedah aliran tunai terdiskaun sebagai ukuran nilai utama untuk menentukan nilai asas/sebenar bagi membuat semua keputusan. Kami juga menggunakan kaedah penilaian lain dalam proses penilaian kami.
 
 
Kami berusaha melindungi anda daripada kemerosotan ketara
 
Pengurusan risiko portfolio adalah sebahagian daripada proses pelaburan untuk mencapai pulangan yang konsisten. Kami mengamalkan mekanisme pengurusan risiko yang berikut:-
  • Siri semakan had untuk memastikan portfolio dipelbagaikan dengan secukupnya
  • Membina dan mengimbangi semula portfolio untuk memastikan pergerakan turun naik portfolio adalah kurang ketara daripada pergerakan pasaran
  • Jualan dilaksanakan secara berdisiplin dalam keadaan berikut
    • Saham tidak lulus ujian kriteria pemilihan saham
    • Andaian yang dibuat dalam proses penilaian tidak dipenuhi, lantas menjejaskan julat nilai intrinsik  
    • Had pendedahan telah diatasi 
    • Saham dalam portfolio mencatatkan prestasi lebih rendah daripada penanda aras dalam tempoh yang sewajarnya  
    • Saham jatuh di bawah peratus tertentu selepas kenaikan terkini ke paras tertinggi  

Proses ini boleh dicontohi oleh pelabur kecuali cara Kenanga menentukan nilai instrinsik/sebenar, yang mana mereka gunakan kaedah discounted cash flow (DCF) yang mungkin sedikit sukar bagi pelabur baru. 

Secara alternatif, pelabur boleh menggunakan ukuran penilaian yang lebih ringkas berasaskan untung, aset dan dividen, dan sekiranya saham tersebut diliputi oleh penganalisis, mereka boleh menggunakan fair value yang mereka tetapkan menerusi kaedah DCF sebagai petunjuk tambahan.

Nota:
Untuk penerangan tentang cara menilai sesuatu saham menerusi pelbagai kaedah, dapatkan buku Panduan Bijak Melabur. Untuk mempelajari teknik DCF atau teknik yang sepertinya, sila follow En. Zayed Zulkifli yang pernah menganjurkan bengkel mengenai topik ini. Klik topik bengkel saham di halaman kanan blog ini.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

1-hapuskan syarikat insuran tamak
2-hapuskan bank tamak
selamatlah ekonomi malaysia

Mohd Shafizam Abd Latif berkata...

Mohon share tuan..info & support yg sgt membantu bg saya sbg UTC Kenanga

Razali Razman berkata...

Silakan...:)