30 Julai, 2014

Membina Aset Bahagian 2: Risiko Memegang Sebahagian Besar Aset Dalam Bentuk Tunai

Dorongan untuk berbelanja dan membeli barangan tidak produktif
Tunai aset paling selamat tetapi pulangan tunai juga paling rendah

Orang putih kata Cash is King, tetapi pepatah Inggeris ini benar sehingga tahap tertentu sahaja. Tunai dan aset setaranya adalah aset yang boleh dikatakan selamat, tetapi mempunyai beberapa kelemahan jika tidak digunakan dengan bijak.

Sesetengah orang langsung tidak melabur dan hanya membuat tabungan dalam bentuk tunai. Tiada masalah dengan pendirian konservatif seperti ini jika anda seorang yang berdisiplin, tetapi anda perlu maklum tentang beberapa kelemahan jika sebahagian besar aset anda adalah dalam bentuk tunai.

Risiko pertama dan paling besar ialah tidak ramai orang yang benar-benar berdisiplin. Biasanya tunai lebihan ini akan mencari jalan keluar daripada tangan kita untuk ditukarkan kepada barangan tidak produktif atau dimasukkan ke dalam skim 'pelaburan' yang didakwa boleh memberikan pulangan pantas tetapi akhirnya merugikan.

Saya pernah melihat beberapa kes seperti ini di mana aset yang kukuh, seperti tanah, dijual untuk menerima tunai, dan akhirnya tunai tersebut digunakan untuk membeli barang yang menyusut nilainya. 

Kadang kala wang habuan jualan aset tersebut digunakan untuk membuka perniagaan tanpa penyelidikan terperinci atau melabur dalam 'skim pulangan tinggi' yang menimbulkan kerugian besar.

Hakikatnya, jika tanah tersebut tidak dijual, pemegangnya boleh menjadi jutawan aset sekarang, tetapi beliau rugi besar selepas tunai tersebut digunakan untuk tujuan lain.

Malah kita biasa juga mendengar cerita bagaimana wang KWSP boleh lenyap dalam masa beberapa bulan sahaja selepas dikeluarkan kerana pelbagai bentuk perbelanjaan atas barangan atau aset yang menyusut nilainya. 

Di samping itu, banyak juga cerita di media sosial mengenai orang yang menang loteri dan kemudian jatuh miskin kembali dalam masa beberapa tahun.

Faktor risiko kedua kepada tunai ialah nilainya mungkin terhakis dalam keadaan inflasi, iaitu berlakunya kenaikan harga barang. Ini bermakna nilai wang yang sama mempunyai kuasa beli lebih rendah berbanding tahun lepas.

Faktor ketiga ialah tunai memberikan pulangan paling rendah, setimpal dengan risikonya yang rendah. Dalam jangka panjang, seorang yang bijak melabur akan mengumpulkan jumlah aset yang jauh lebih besar dengan memanfaatkan pulangan terkompaun.

Tunai perlu diuruskan dengan teliti dan diimbangi supaya tidak terlalu sedikit sehingga menjejaskan kehidupan harian atau keupayaan kita mengambil kesempatan daripada peluang pelaburan, tetapi tidak terlalu banyak sehingga peruntukan aset kita menjadi tidak seimbang. 

Kesimpulannya, tabungan tunai bulanan ialah sesuatu yang amat penting dilakukan. Ini tidak dinafikan. Tetapi saya mencadangkan agar tidak menyimpan semua aset dalam bentuk tunai dan setaranya, kerana tunai:
  • Mendorong belanja atas aset dan produk yang tidak meningkat nilai
  • Lazimnya memberikan pulangan paling rendah.
  • Boleh terhakis nilai dalam keadaan inflasi.

Gunakan tunai dengan bijak dalam usaha anda membina aset demi mencapai kebebasan kewangan. Jutawan tidak semestinya memiliki tunai sejuta ringgit.  Jutawan dari segi nilai aset bersih juga tetap jutawan.

Nota: Secara peribadi, saya akan memegang lebih tunai apabila pulangan pelaburan (yield) adalah rendah, (apabila harga aset sangat tinggi), dan memegang kurang tunai apabila pulangan pelaburan adalah tinggi, (apabila harga aset adalah rendah). 

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam, adakan pelaburan di dalam saham di kira sebagai simpanan tunai? Saya ada lah pelabur jangka pendek kerana lebih selesa untuk secure profit walaupun sedikit.

Bagaimana mengetahui samada kadar pulangan pelaburan tinggi atau rendah ? Bagaimana dengan situasi sekarang?

Terima kasih.

Razali Razman berkata...

Wasalam,

Saham bukan simpanan tunai. Pulangan pelaburan rendah ialah apabila dividen adalah rendah dan kadar P/E bagi semua saham rata-rata tinggi.

Situasi sekarang, pada pendapat saya pada tahun ini kita berada dalam suasana pulangan pelaburan rendah dalam saham dan juga hartanah.

AzieAzlie berkata...

Memiliki aset dalam bentuk hartanah juga memerlukan masa yang betul.Jika kita beli hartanah pada tahun 2008,peluang kenaikan untuk menjadi 2 kali ganda amat tinggi.Berbeza dengan situasi sekarang yang mana harga rumah amat tinggi dan tidak seimbang dengan household income rakyat malaysia.Amat mustahil untuk terjadi seperti 5 tahun kebelakangan ini.Apa pandangan tuan keadaan pasaran sekarang yang membeli rumah undercon studio unit pun mencecah Rm300k.Persoalan saya,bolehkah pembeli mengharapkan appreciation lagi?

Razali Razman berkata...

Salam,

Sukar untuk meramalkan. Berasaskan semua pengiraan rasional, pulangan lima tahun akan datang tidak mungkin mencapai pulangan 5 tahun lepas.

Tetapi sesuatu bubble boleh berlarutan untuk jangka masa yang lama. Justeru saya tiada kepastian bila ia akan berakhir.

Tetapi saya sudah mula bersiap-sedia untuknya dan mencadangkan pelabur lain pun begitu.

SalwaYusra berkata...

Assalamualaikum,

Saya sgt baru dalam bidang pelaburan hartanah. Saya telah membeli dua buah lot tanah (utk bangunan) pada pertengahan tahun 2014 dgn membuat pinjaman peribadi dari sebuah bank.

Dengan kemerosotan nilai ringgit malaysia sekarang, adakah terdapat kesan negatif jangka pendek dan panjang yg akan saya hadapi akibat dr pembelian tanah tersebut melaui pinjaman bank?

Razali Razman berkata...

Waalaikumsalam,

Tiada kesan jika pinjaman dibuat dalam Ringgit Malaysia. Tiada masalah dihadapi selagi Pn dapat membayar pinjaman tersebut mengikut jadual. Cuma jika kadar yang digunakan adalah berasaskan BLR/BFR, kadar pinjaman akan naik jika BNM menaikkan kadar penanda aras mereka pada masa depan. Ini bergantung kepada tinjauan BNM tentang keadaan ekonomi.