17 Jun, 2014

Kembali Kepada Asas: 7 Perkara Yang Perlu Dilakukan Sebelum Membeli Saham

Jika anda akan mengeluarkan wang untuk membeli saham sebuah syarikat tersenarai, anda sepatutnya mendapatkan seberapa banyak maklumat tentang syarikat tersebut sebelum melabur

Walaupun semakin ramai orang yang berminat dalam saham sejak kebekalangan ini, saya mendapati perkara ini agak membimbangkan di mana sesetengah pelabur tidak berminat langsung untuk melabur dalam syarikat, tetapi lebih suka untuk main saham berasaskan permintaan dan bekalan saham tersebut dalam jangka pendek.

Ini bermakna mereka tidak peduli tentang operasi syarikat dan ada yang langsung tidak tahu produk atau perkhidmatan yang disediakannya. Saya tidak mahu membincangkan tentang risiko atau potensi keuntungan kaedah ini, tetapi saya mempunyai pandangan yang jauh berbeza.

Pada pendapat saya, untuk mengurangkan risiko rugi dan meningkatkan potensi untung apabila melabur dalam saham, seorang pelabur atau pedagang disyorkan melakukan 7 perkara berikut sebelum mengeluarkan wang mereka.

1.  Baca laporan tahunan

Orang putih kata ini no-brainer (tak perlu difikirkan lagi), tetapi majoriti pelabur tidak membaca laporan tahunan syarikat sebelum membeli. Malah menurut pelabur terkenal Jim Rogers, lebih 90% tidak membacanya.

Tak perlulah baca seluruh laporan, cukup sekadar meninjau bahagian sorotan kewangan 5 tahun, penyata pengerusi, akaun syarikat, nota penting kepada akaun, laporan juruaudit dan pemegang saham utama syarikat. Laporan tahunan memberikan anda maklumat asas untuk membuat penilaian. Laporan tahunan semua syarikat tersenarai boleh didapati di laman web Bursa Malaysia.

2.  Layari laman web syarikat

Di sinilah anda boleh mendapatkan maklumat asas tentang produk, pasaran dan pelanggan syarikat, sumber bekalan, anak syarikat, kilang pengeluaran dan aktiviti pemasarannya. Pendek kata maklumat di sini menjadi pelengkap kepada laporan tahunan.

3.  Selidik berita dan buat pencarian Internet tentang syarikat

Laporan tahunan dan laman web syarikat disediakan oleh syarikat itu sendiri. Maklumat ini tidak berkecuali. Cuba dapatkan berita terkini dan ulasan umum tentang Syarikat.

Jika sesuatu syarikat ada masalah atau menimbulkan masalah, ada pelbagai cerita atau artikel blog negatif di alam maya. Pertimbangkan yang positif dan negatif secara kritis, dan pastikan anda mengikuti perkembangan terkini.

4.  Dapatkan keputusan suku tahunan terbaru syarikat

Maklumat dalam laporan tahunan adalah lewat. Keputusan suku tahunan adalah yang terkini dan menggambarkan kedudukan dan hala tuju keuntungan syarikat dengan lebih tepat. Laporan ini juga boleh didapati di laman web Bursa Malaysia

5.  Pelajari perkara asas tentang nilai

Anda perlu tahu serba sedikit tentang cara menilai syarikat. Jika tidak bagaimana untuk menentukan sama ada harga yang anda beli itu berpatutan atau tidak? Antara faktor penentu nilai termasuk nisbah harga/pendapatan, nilai aset bersih, aliran tunai, pulangan atas ekuiti, pulangan dividen dan paras hutang.

Ilmu ini boleh dipelajari daripada buku mengenai saham atau bahan bacaan di Internet. Lihat juga bahagian penyelidikan saham blog ini untuk artikel lepas yang pernah saya tulis mengenai kaedah penilaian saham

6.  Tinjau carta syarikat untuk mendapatkan gambaran keseluruhan

Apa yang saya maksudkan dengan meninjau carta tiada kaitan dengan analisis teknikal, kerana itu adalah ilmu lain untuk tujuan berbeza. Sebaliknya anda melihat carta untuk meninjau bagaimana harga bergerak dan mengapa ia bergerak sedemikian. 

Anda boleh lihat tempoh apabila harga naik ke paras tertinggi atau terendah dan mengkaji sama ada ia berkaitan dengan kenaikan untung atau faktor lain mengenai syarikat, atau disebabkan kenaikan pasaran secara keseluruhannya. Dengan cara ini, anda boleh mengkaji faktor yang mungkin menyebabkan harga syarikat turun atau naik.

7.  Lihat pengumuman terbaru syarikat

Selain daripada itu, pelabur juga harus memantau pengumuman penting yang dibuat oleh syarikat di laman web bursa Malaysia. Antaranya termasuk pengumuman tentang dividen, terbitan saham baru, pengambilalihan syarikat, kemenangan kontrak baru, pembelian balik saham syarikat, penjualan atau pembelian oleh pemegang saham utama dan pelantikan atau perubahan kakitangan kanan.

Kesimpulan

Dengan mengambil tujuh langkah di atas, tahap penyelidikan anda sudah lebih teliti daripada sebahagian besar daripada pelabur yang melabur di pasaran saham. Ini sudah pasti memberikan anda kelebihan dalam usaha anda meningkatkan potensi pulangan dan mengurangkan risiko kerugian.

Nota:  Di Bursa Malaysia, semua maklumat mengenai syarikat boleh didapati menerusi 'dashboard' syarikat pada bahagian List of Companies. Hanya perlu klik pada syarikat yang dikehendaki dan anda boleh mendapatkan hampir semua maklumat yang saya sebutkan di atas.

3 ulasan:

Azwan Yusoff berkata...

Saya setuju razali. Kita melabur disebabkan bisnes yang dijalankan oleh syarikat. Ini sepatutnya menjadi petunjuk utama, bukan harga saham dia.

Lagi pun sekarang ni makin ramai yang masuk main saham. Main bukan melabur.

Razali Razman berkata...

Betul...actually kalau tak ada masa nak buat research asas...bole beli unit trust dalam bentuk equity fund.

Tanpa Nama berkata...

visit http://www.tropicalroofing.sto.my/
for metal deck roofing, polycarbonate sheet, insulated metal panel and home improvement.