12 November, 2013

Kriteria Untuk Memilih Broker Online

Kos lebih kurang sama tetapi faktor pembeza ialah perkhidmatan

Dulu apabila saya mula melabur saham menerusi full service broker, tiada sebarang data sokongan atau kemudahan lain yang disediakan untuk membantu saya membuat analisis dan menyusun portfolio saham.

Sekarang ini dengan perkhidmatan broker dalam talian, pelbagai kemudahan disediakan manakala kosnya juga amat rendah.

Bagi pelabur baru yang mahu mula menceburi dunia pelaburan, berikut adalah antara kriteria yang pada pendapat saya penting untuk memilih broker saham online:

1. Kos urus niaga
Kos perlulah sekurang-kurangnya setanding dengan broker lain. Kadar broker online standard semasa ialah kos minimum RM12 atau 0.42%, yang mana lebih tinggi.

2. Kemudahan pembayaran
Dengan urusan perbankan dalam talian masa kini, kita sepatutnya tidak perlu lagi bank-in cek atau pergi secara fizikal ke bank untuk membuat pembayaran.  Semua pemindahan wang seharusnya boleh dilakukan secara online.

3.  Keupayaan membuat senarai saham pilihan
Sistem tersebut perlu menyediakan kemudahan untuk membuat beberapa senarai saham. Sebagai contoh, senarai pertama mungkin mengandungi saham yang sudah kita miliki, senarai kedua merangkumi saham yang berpotensi untuk dibeli dan senarai ketiga ialah senarai saham yang sedang diperhatikan.



4.  Menyediakan kemudahan penyelidikan
Sekarang ini, kita boleh mendapatkan maklumat penyelidikan daripada syarikat broker online dengan menjadi pelanggannya. Biasanya penyelidikan saham boleh diakses menerusi dua cara, iaitu di laman web atau dihantar kepada kita menerusi emel. Tanya sama ada broker anda menyediakan perkhidmatan ini. Saya menerimanya menerusi emel.

5.  Menyediakan maklumat penilaian asas
Antara maklumat yang patut disediakan termasuk Pendapatan Sesaham, Nisbah P/E, Nilai Aset Bersih, Pulangan Dividen dan juga carta saham. Data ini amat berguna kerana dengan adanya maklumat tersebut, kita tidak perlu mengiranya sendiri dan boleh membuat analisis serta-merta.



6. Menyediakan senarai saham dalam pegangan (portfolio saham)
Membolehkan anda melihat dengan pantas saham yang anda pegang dan kedudukannya, iaitu sama ada untung atau rugi dan % untung rugi.

7.  Menyediakan senarai semua urus niaga yang telah dilaksanakan
Membolehkan anda menyemak balik semua urus niaga yang telah anda lakukan dan juga kedudukan untung rugi dagangan tersebut.

8. Menyediakan manual pengguna
Ini penting untuk memudahkan pengguna baru mempelajari sistem kerana apabila anda baru membuka akaun, laman online trading ini kelihatan agak rumit.

9.  Sokongan untuk sistem operasi / platform yang anda gunakan
Sebagai contoh, anda mungkin mahu menggunakan Mac untuk berdagang atau menggunakan tab atau telefon bimbit anda. Tanya sama ada peranti yang anda gunakan disokong. Di samping itu, bagi sesetengah sistem, browser tertentu sahaja boleh digunakan.

10.  Adakah sokongan menerusi telefon disediakan
Lazimnya, pegawai perkhidmatan pelanggan disediakan untuk membantu pelabur sekiranya mereka menghadapi masalah mengakses atau menggunakan sistem dagangan online.

Bagi trader pula, mereka mungkin mahu meninjau kemudahan analisis teknikal yang disediakan, tetapi kemudahan ini tidak penting bagi value investor seperti saya.

Akhir sekali, kalau boleh, minta wakil syarikat broker memberikan demonstasi atau menunjukkan apa yang boleh dilakukan oleh sistem mereka supaya anda dapat membuat perandingan dengan tawaran syarikat broker lain.

Memilih sistem yang paling sesuai dan komprehensif akan memberikan anda alat untuk menjual beli dan membuat analisis dengan pantas, lantas memudahkan anda menilai dan melabur saham.

Nota: Jika ada kriteria penting lain yang saya tertinggal, sila maklumkan. Bagi newbie yang mahu mempelajari perkara asas tentang saham, dapatkan e-book saya bertajuk Panduan Asas Saham.

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam.. Nak tau pengalaman pihak tuan yg dah lama dalam bidang ini. Syarikat mana yg paling baik dan mudah mengikut pengalaman pihak tuan. TK.

Razali Razman berkata...

Wasalam, Saya pernah guna dua sahaja. Buat masa ini saya guna Maybank Equity Investment Centre yang boleh diakses menerusi Mbank2U. Saya puast hati tetapi sekali sekala ada masalah juga. Banyak syarikat yang ok dan setiap satu ada pro dan connya. Gunakan kriteria yang saya tetapkan untuk membuat pilihan.

Tanpa Nama berkata...

saya dah try utk dptkn perisian Mbank2u memang tak boleh akses melalui perisian Android, adakah tuan guna peranti selaian daripada Andorid. Saya dah try m2u tetapi tidak stabil...

Razali Razman berkata...

Saya guna Windows terbaru menerusi komputer dan walaupun kadang kala ada sedikit gangguan teknikal, umumnya sistem ini tiada masalah jika digunakan dengan Windows.

Cuba Tanya broker lain sama ada system mereka serasi dengan Android.

Shahkhairul Nizam Ramli berkata...

Hasil dari perkongsian tuan tempoh hari. Saya telah mempunyai akuan Maybank Equity.


Pembelian buat masa sekarang pd fon dgn systm andriod.
Syukur semua lebih mudah

Akmal berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Akmal berkata...

Saya daftar akaun CDS dan akaun amanah (trading account) dengan Maybank Investment baru baru ini. Urusniaga jual beli saham saya lakukan secara online. Tapi kenapa saya dicaj RM28.00 setiap transaksi, bukan RM12.00 ?