12 Ogos, 2013

CSC Steel Antara Syarikat Keluli Yang Kukuh

Prestasi untung tertekan kerana pelbagai faktor tetapi kedudukan tunai dan aset masih mantap dan operasi syarikat dikendalikan dengan baik

Industri kelulli telah mencatatkan prestasi yang kurang memuaskan pada tahun 2011 dan 2012 kerana pelbagai faktor termasuk harga bahan mentah yang tinggi, persaingan sengit di pasaran eksport dan juga lambakan produk dari China.

Namun begitu CSC Steel masih berjaya mencatatkan untung walaupun ia jatuh dengan ketara berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Syarikat ini berada dalam industri bersifat kitaran atau cyclical di mana untungnya turun naik berasaskan bekalan dan permintaan dan keadaan ekonomi dan pasaran.

CSC Steel yang dulu dikenali sebagai Ornasteel ialah syarikat pengeluar keluli leper dengan empat jenis produk keluli. Maklumat mengenai produknya boleh didapati di laman web syarikat.

Walaupun menghadapi keadaan operasi yang sangat mencabar, syarikat masih mencatatkan keuntungan sehingga kini. Berikut adalah prestasi syarikat untuk tempoh 5 tahun lepas.

Laman web CSC Steel

Kita dapat lihat penurunan ketara dalam pendapatan sesaham pada 2011 dan 2012, dan begitu juga dividen yang dibayar.

Berikut adalah prestasi sahamnya dalam tempoh 5 tahun lepas:

Bursa Malaysia
 
Industri keluli bukanlah berada dalam keadaan yang baik dan CSC Steel pula bukannya sebuah syarikat dengan potensi pertumbuhan luar biasa. Cuma, harganya sekarang berbanding kedudukan aset kelihatan undervalued.
 
Nilai aset ketara bersih sesaham semasa syarikat ialah RM2.08 berbanding harganya yang berada di sekitar RM1.30 sejak kebelakangan ini. Keputusan separuh tahunan juga lebih baik berbanding tahun lepas, iaitu pada 6.73 sen sesaham, sudah hampir mencapai  pendapatan sesaham untuk seluruh tahun pada tahun kewangan lepas. 
 
Pulangan dividen atau dividen yield pada harga semasa ialah lebih daripada 5%, iaitu kadar yang boleh dianggap memuaskan.
 
Kedudukan tunai syarikat adalah agak kukuh dan syarikat tidak mempunyai pinjaman jangka panjang. Pendek kata walaupun prospek untung tidak begitu baik, syarikat diuruskan dengan amat mantap dari segi tunai dan aset.
 
Kenaikan harga pada masa depan amat bergantung kepada prestasi syarikat untuk tempoh selanjutnya pada tahun ini. Selain itu, pelabur juga perlu memberi perhatian teliti kepada perkembangan terkini dan persaingan yang berlaku dalam industri keluli, yang pasti mempengaruhi prestasi syarikat.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tuan, sekiranya dibandingkan dengan kaunter masteel adakah ia lebih baik? Terima kasih

Razali Razman berkata...

Masteel pun ok dan berada dalam Watchlist saya, dari segi balance sheet buat masa ini Nampak CSC lebih kukuh tetapi semuanya lebih bergantung pada keuntungan masa depan berbanding balance sheet kerana balance sheet Masteel pun ok juga. Baru-baru ini saya melihat ada buy recommendation di The Edge untuk kedua-dua syarikat. Risikonya ialah jika berlaku kemerosotan faktor makroekonomi China.