19 Februari, 2013

Peluang Dalam Ketidakpastian Semasa

Ramai yang bimbang tetapi risikonya sementara sahaja

Pilihanraya umum yang akan datang ternyata menimbulkan ketidakpastian di kalangan pelabur. Tidak menghairankan jika pasaran Malaysia, yang merupakan antara yang terbaik tahun lepas, terjejas dengan kedatangan pilihan raya kali ini.

Ketidakpastian akan memuncak selepas pengumuman pilihanraya dan selepas keputusan diumumkan jika majoriti kemenangan sangat tipis atau jika berlaku perubahan kerajaan pusat.

Pada satu masa dulu sebelum pilihan raya, saham berkaitan politik akan naik. Ini kerana pada waktu itu keputusan pilihan raya tidak menimbulkan keraguan, cuma satu dua negeri sahaja yang  keputusannya tidak pasti. Persoalannya ialah berapakah margin kemenangan BN.

Tetapi kali ini, ketidakpastian begitu ketara. Rata-rata berasaskan tinjauan dan pertanyaan saya, tidak ramai yang berani meramalkan siapa yang menang.  Kebanyakannya kata 50-50.  Ketidakpastian ini menimbulkan kebimbangan, terutamanya di kalangan pelabur.

Ada dua cara untuk melihat ketidakpastian. Pertama sebagai satu risiko yang perlu dielakkan sehingga kepastian diperolehi. Namun begitu apabila keadaan stabil, pasaran sudah naik kembali. Kedua, sebagai peluang untuk mengambil kesempatan daripada kebimbangan pelabur lain.

Jika kita lihat, indeks utama Malaysia, FBM KLCI, telah naik dua kali ganda sejak krsis subprima Amerika pada tahun 2008.  Walaupun kenaikan akhir-akhir ini dipacu sebahagian besarnya oleh saham-saham besar sahaja, dan masih ada saham modal sederhana dan kecil yang berharga berpatutan, memang sukar untuk mencari bargain apabila indeks mencapai paras tertinggi dalam sejarah.

Bursastation

Dengan kejatuhan semasa, barulah ada peluang untuk membeli saham yang mencatatkan keuntungan menarik pada harga yang berpatutan. Barulah terbuka sedikit peluang untuk mencari bargain. Saya meramalkan pintu akan terbuka sedikit lebih luas pada dua tiga bulan akan datang.

Saya telah membahagikan bargain hunting kepada tiga fasa utama ketidakpastian. Pertama sekali ialah fasa kejatuhan awal, iaitu dalam keadaan semasa.  Kedua ialah apabila pengumuman pilihan raya dibuat dan sehinggalah kepada pilihan raya sendiri. Fasa ketiga ialah jika keputusan tertentu berlaku selepas pilihan raya.

Sudah tentulah dalam semua percaturan ini, kita tidak patut sama sekali mengenepikan faktor utama penilaian, iaitu kekuatan syarikat itu sendiri dan perbandingan antara nilai sebenar dan harga.

Pelabur perlu sedar bahawa walaupun menghadapi ketidakpastian, tidak kira siapa yang menang, kedua-dua pihak menyokong pelaburan dan perniagaan.  Ini bermakna mereka akan melakukan sedaya upaya untuk menarik pelabur dan menggalakkan perkembangan perniagaan.

Cuma cara ia dilaksanakan adalah berbeza dan pihak yang mendapat manfaat daripadanya sudah tentu berbeza. Risiko paling tinggi ialah saham yang ada kaitan politik tetapi ini tiada kena mengena jika anda value-hunter seperti saya kerana kita memang tidak menyentuh saham-saham ini.

Satu lagi perkara yang patut dipertimbangkan ialah jika dalam keadaan luar biasa di mana berlaku panik di pasaran buat seketika, mungkin ada peluang yang muncul hanya beberapa kali seumur hidup untuk membeli saham popular bermodal besar pada harga yang berpatutan.  Mungkin ada, mungkin tidak. Tetapi kita patut bersiap sedia mengambil kesempatan.

Jika anda tidak selesa dengan risiko, tunggu sehingga situasi kabur menjadi cerah.  Jika anda sanggup menanggung risiko, ambil kesempatan daripada keadaan semasa, tetapi hadkan risiko dengan membeli saham berkualiti terbaik pada harga paling menarik.

2 ulasan:

dee berkata...

salam saudara,
bagaimana pula pandangan saudara dgn syarikat milik kerajaan yg tiada kaitan dgn kontrak kerajaan seperti maybank, axiata dan sebagainya? adakah mereka juga terdedah dgn risiko politik?
saya agak gusar kerana saya sendiri memiliki saham seperti ini.
apakah yg akan terjadi sekiranya kerajaan bertukar tgn?
adakah "orang2 si fulan akan di tukar dgn orang si fulan." bagaimana pula nanti prestasi mereka?
harap saudara dapat memberi pandangan. terima kasih.

Razali Razman berkata...

Walau saham mana pun, mungkin ada tempoh perlarasan sementara jika kerajaan bertukar tangan atau berlaku kemenangna tipis. Ini tiada kena mengena dengan prestasi.

Dalam jangka panjang, prestasi syarikat bagi saya tidak akan terjejas dan saham akan kembali ke paras normal apabila semua orang selesa dengan realiti baru.

Tetapi jika keputusan ialah status quo, terdapat kemungkinan saham melonjak dengan serta-merta.

Tetapi kali ini situasti langsung tidak boleh diramalkan. Cara terbaik ialah fokus kepada kualiti syarikat dan jangan terlalu mengendahkan pergerakan sementara dalam dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Cuma jika ada dana lagi, inilah masanya untuk mengambil kesempatan iaitu jika senario tertentu berlaku menyebabkan kejatuhan ketara.