12 Februari, 2013

Dividen Tabung Haji: Kiraan Pulangan 10 Tahun

Tabung Haji Umum Dividen 6.5% + Bonus Khas 1.5% Pada 2013
Mengupas Bonus Tahun Ini dan Mengira Pulangan Jangka Panjang 

Nota: TH menggelar dividen yang dibayar sebagai bonus, tetapi untuk tujuan pengiraan dan menyenangkan perbandingan dengan instrumen pelaburan lain, kita akan menggelar agihan tahunan sebagai dividen dan bayaran khas sebagai bonus.

Untuk tahun 2012, Tabung Haji telah mengumumkan pengagihan yang menarik, iaitu dividen 6.5% dan bonus khas sebanyak 1.5%. Sebelum pendeposit mengandaikan bahawa kadarnya ialah 8%, perlu ditekankan bahawa bonus khas 1.5% adalah atas purata simpanan 84 bulan.

Ini bermakna lebih lama anda menyimpan lebih tinggi bonus anda. Kesimpulannya ialah dividen dibayar atas purata simpanan pada 2012, sedangkan bonus dibayar atas purata simpanan antara 2006 hingga 2012. 

Berikut adalah kaedah pengiraannya dari laman web TH:


Selain daripada tahun ini, penabung juga mungkin berminat tentang pulangan mereka dalam jangka panjang.  Berikut adalah rekod pembayaran TH untuk tempoh 10 tahun yang lepas. Dalam jadual juga dimasukkan contoh pengiraan jika anda menabung RM10,000 dalam TH sepanjang tempoh 10 tahun lepas dan tidak membuat sebarang tabungan tambahan.


Tahun
Nilai Awal (RM)
Pulangan (%)
Nilai Akhir (RM)
2003
10,000
4.00
10,400
2004
10,400
4.30
10,847
2005
10,847
4.50
11,335
2006
11,335
4.75
11,874
2007
11,874
5.00 + 2.00
12,705
2008
12,705
5.00
13,340
2009
13,340
5.00
14,007
2010
14,007
5.50
14,777
2011
14,777
6.00
15,664
2012
15,664
6.50 + 1.50*
16,883
* Bonus Khas dikira mengikut kaedah TH

Sebagai instrumen yang mempunyai risiko sangat rendah, malah lebih rendah daripada bon, pulangan yang diberikan adalah amat memuaskan dan pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat. Pulangan terkompaun untuk tempoh 10 tahun ialah kira-kira 5.38%.

Pulangan ini tidak boleh dibandingkan dengan ASB kerana ASB tidak termasuk zakat (lazimnya selepas mengambil kira zakat, ASB masih lebih tinggi). Di samping itu, nilai yang boleh disimpan dalam ASB adalah terhad.  Akhir sekali Tabung Haji memang disahkan patuh syariah dalam segenap segi dan bukannya berasaskan kepentingan umum.

Pada pandangan saya untuk masa depan, kita tidak boleh mengharapkan pulangan setinggi tahun ini kerana pasaran saham atau hartanah di mana dana dilaburkan tidak boleh terus naik sahaja. Justeru, pulangan munasabah jangka panjang yang boleh diunjurkan ialah 5 - 6%. 

Anggap sebarang pulangan melebihi 5% sebagai rezeki tambahan. Sementara itu, pulangan di bawah 5% menunjukkan prestasi yang kurang baik.

Saya menggunakan TH sebagai instrumen simpanan utama bagi keluarga saya. Ini kerana deposit sekarang boleh dilakukan dengan mudah, contohnya menerusi Maybank2U. Walaupun sedikit caj dikenakan, kosnya lebih rendah daripada masa dan kos yang diluang untuk pergi ke cawangan.

TH ialah instrumen tabungan yang sesuai bagi mereka yang tidak mahu memikirkan isu jumlah zakat yang patut dibayar dan juga kepatuhan pelaburan yang dibuat kepada prinsip syariah.

4 ulasan:

Abdullah Saad berkata...

Apakah betul simpanan di Tabung Haji tak perlu bayar zakat? Tabung Haji cuma bayar zakat keatas keuntungan perniagannya bukan keatas modal simpanan individu. Boleh saudara perjelaskan tentang hal ini?

Razali Razman berkata...

Salam,

Soalan ini relevan. Menurut TH Zakat Perniagaan telah dibayar. Kalau tak silap saya zakat perniagaan perlu dibayar bukan sahaja atas untung perniagaan tetapi atas aset bersih yang dipegang syarikat. Simpanan kita menjadi aset yang digunakan untuk berniaga dan aset tersebut telah dibayar zakat ke atasnya.

Jadi semuanya bergantung kepada sama ada TH bayar zakat perniagaan atas keuntungan atau atas aset bersih yang dipegang. Kalau zakat dibayar hanya atas keuntungan sahaja, maka pendapat saya kita perlu bayar zakat simpanan.

Sebaliknya jika zakat perniagaan dibayar atas aset bersih syarikat, maka kita tak perlu bayar zakat lagi.

Saya cuba dapatkan penjelasan lanjut.

Razali Razman berkata...

Ok...saya telah buat carian lanjut dan dapati memang tak perlu bayar sebab ia telah membayar zakat bagi pihak pendeposit selain daripada keuntungan yang diperolehinya.

Esempoi berkata...

banyak kelebihan menyimpam dalam tabung haji ni..