28 Oktober, 2012

Strategi Beli Saham Berasaskan Pulangan Dividen

Sesuai untuk keadaan semasa di mana indeks di paras tinggi tetapi
wujud ketidakpastian ekonomi dan politik dalam tempoh terdekat


Saham yang membayar dividen lazimnya dianggap sebagai saham yang mantap, dengan ciri-ciri bertahan (defensive).  Dividen ialah agihan daripada untung syarikat, dan merupakan bukti fizikal paling nyata bahawa sesebuah syarikat adalah kukuh, mencatat untung dan mempunyai tunai untuk memberi ganjaran kepada pelabur.

Kaedah melabur berasaskan dividen yield atau pulangan dividen ialah antara kaedah pelaburan saham yang paling konservatif.  Kaedah ini sudah tentulah membabitkan pelaburan jangka panjang kerana dividen lazimnya hanya dibayar hanya sekali atau dua kali setahun sahaja.

Jika kita dapat mencari syarikat yang mampu meningkatkan dividen dalam jangka panjang, kita akan akan melihat pulangan dividen kita meningkat tahun demi tahun, dan ini belum lagi mengambil kira keuntungan modal yang dicapai daripada kenaikan harga saham.

Apabila dividen meningkat, maka harga saham pun akan turut naik kerana lebih ramai pelabur tertarik kepada saham tersebut.

Cuba kita ambil satu contoh sebuah syarikat yang cukup mantap, tetapi belum terlalu popular di kalangan pelabur, iaitu APM Automotive. Pendek kata sebuah syarikat kukuh biasa yang boleh dibeli oleh pelabur.

Kita lihat cartanya:

Dipetik daripada Bursastation

Andaikan anda membeli saham APM Automotive pada harga RM2.20 pada tahun 2007.  Waktu itu, pulangan dividen kasar yang anda terima ialah  0.14/2.20 =  6.36%.

Jika anda memegangnya sehingga 2011, anda akan menerima dividen kasar 32 sen. Pulangan dividen anda sekarang ialah 0.32/2.20 = 14.55%!  Bukan itu sahaja, harga telah naik ke purata kira-kira RM5.00, memberikan anda keuntungan modal pula. 

Mengapa saya menyentuh tentang strategi dividen sekarang?  Saya bimbang ekonomi global mula menunjukkan tanda semakin perlahan, tetapi pasaran saham berada di tahap tertinggi. Kaedah pelaburan ini adalah yang paling konservatif jika pelabur masih mahukan pendedahan saham.

Lazimnya, jika penurunan berlaku, saham yang membayar dividen mampu bertahan (walaupun akan jatuh juga)  kerana pelabur masih boleh mendapatkan pulangan dividen yang diberikan, sambil menantikan sentimen pasaran kembali pulih.

6 ulasan:

Pok Li berkata...

Koperasi yang masuk dah lama tak bayar dividen. Rugi yang terpaksa ditanggung oleh ahlinya.

Razali Razman berkata...

Salam,

Bab Koperasi saya tak pandai Pok Li...:) Saya dengar yang bagus memang bagus, tetapi kalau yang tak bagus memang ahli yang tanggung rugi

Tanpa Nama berkata...

assalam..blh bgtau cara utk melabur pd company yg listed di bursa?thanks!

Razali Razman berkata...

Wasalam,

Pertama sekali kena buka akaun broker dan CDS. Kedua-duanya boleh dibuka di syarikat broker saham. Pergi ke Bursa Malaysia untuk lihat senarai syarikat broker saham.

Selepas buka akaun, boleh mula menjual beli sama ada dengan menelefon broker untuk memberi arahan jual beli atau melakukannya secara online. Urus niaga online (menerusi Internet) adalah lebih murah.

Antara broker yang ada termasuk Maybank, CIMB, OSK, TA Securities dll.

Saya sendiri menggunakan Maybank. Untuk maklumat lanjut tentang saham, boleh dapatkan ebook saya bertajuk Panduan Asas Saham.




hafeez berkata...

Assalmualaikum,
minta En. Razali Razman membuat lebih banyak tags iaitu kata kunci seperti istilah saham, nama syarikat dsdnya pada artikel yang akan datang supaya lebih mudah untuk dicari. Terima kasih.

Razali Razman berkata...

Waalaikumsalam,

Cadangan yang baik. Rasanya Blogger tiada tags tapi ada label, yang diletakkan di bawah bahagian kategori. Pada mulanya saya memang hadkan label supaya senarainya tidak terlalu panjang tetapi tak sangka sampai dah beratus posting sekarang dan mungkin memerlukan senarai label yang lebih luas.

Saya akan cuba luaskan skop kategori secara beransur-ansur, kerana sekarang ini saya tersangat sibuk. Tetapi buat sementara waktu pencarian boleh dilakukan dengan mudah menerusi search box di hujung atas kiri blog.

COntohnya, taip dividen dan semua artikel yang menyentuh tentang dividen akan keluar.

Terima kasih atas cadangan yang baik ini.