22 Oktober, 2012

Pemegang Saham Utama Astro Ambil Kesempatan Daripada Minat Pelabur Terhadap IPO

Saham jatuh di bawah harga IPO pada hari kedua dagangan

Penyenaraian Astro mengingatkan semua pihak bahawa tiada jaminan untung dalam sebarang tawaran awam awal (IPO). Saham Astro ditutup pada harga RM2.77 sen, iaitu 23 sen di bawah harga IPO RM3.00.

Harga tidak semestinya naik dalam tempoh beberapa hari pertama, malah kadangkala boleh turun lebih rendah daripada harga IPO.  Perkara yang memeranjatkan tentang Astro ialah ia sudah jatuh daripada harga IPO pada hari kedua lagi.

Saya pernah menulis artikel yang menunjukkan banyak saham yang jatuh di bawah harga IPO dalam posting bertajuk Perkembangan Terkini Saham IPO, tetapi lazimnya ia berlaku secara beransur-ansur.

Apa maksudnya semua ini? Senang sahaja, jika anda seorang pelabur kecil, anda boleh membeli Astro pada harga lebih murah, tanpa perlu melalui proses permohonan IPO, yang mana anda tak pasti dapat membeli saham yang dimohon kerana perlu melalui undian.

Anda juga boleh mendapatkan harga lebih murah daripada yang dibeli oleh ramai pelabur institusi yang berebut untuk membeli saham tersebut pada harga IPO. 

Antara faktor yang menyebabkan kejatuhan ketara, menurut satu dua laporan, ialah banyak pihak yang membeli menggunakan pinjaman dan ada yang dipaksa melakukan 'forced selling' manakala sesetengah yang lain pula menjual untuk mengehadkan kerugian (stop loss).

Harga IPO Agak Mahal

Sebenarnya harga yang ditawarkan kepada umum agak mahal. Menurut seorang penganalisis TA, harga IPO Astro dianggarkan pada nisbah P/E 32 berasaskan unjuran pendapatan tahun 2013.  Angka ini amat tinggi dan hanya boleh diterima jika keuntungan dapat dipertingkatkan dengan ketara pada tahun-tahun akan datang. Tetapi penganalisis tidak meramalkan ini berlaku dalam tempoh dua tiga tahun.

Satu lagi perkara yang patut dipertimbangkan ialah apabila Astro diambil alih dan dikeluarkan daripada senarai saham oleh pemiliknya pada 2010, nilai pasaran keseluruhan Astro dalam proses tersebut ialah RM8.3 bilion

Pada harga RM3.00 sesaham, nilai entiti Astro baru yang disenaraikan ini, tanpa operasi asing, ialah RM15.6 billion. Ini hampir dua kali ganda nilai pada tahun 2010.

Jika saham tersebut sahaja di Bursa, tanpa dikeluarkan daripada senarai, saya yakin, nilai pasaran tidak akan mencecah angka penilaian RM15 bilion.  Malah pada waktu itu, saham Astro kurang diminati pelabur.

Jadi mengapakah bila ada proses IPO, tiba-tiba pelabur mula berminat. Adakah mereka ingat IPO satu lubuk emas yang pasti untung?

Ini bermakna pemegang saham utama telah mengambil kesempatan daripada kegilaan pelabur terhadap IPO  untuk 'unlock' value syarikatnya yang sudah tidak menyerlah pada 2010 dan mendapatkan nilai yang jauh lebih tinggi sekarang.

Dari segi perniagaan, ini satu tindakan yang bijak di pihak mereka.  Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana tidak ada sesiapa yang memaksa pelabur membeli pada harga RM3.00. Malah tawaran kepada institusi dan juga pelabur biasa dilebih langgan.

Kesimpulan

Pertama sekali, senario ini memberi pengajaran bahawa tiada jaminan dalam permainan IPO.  Ada risiko, terutamanya jika anda gunakan pinjaman untuk membeli.

Saham IPO sebenarnya sama seperti saham-saham lain di pasaran.  Cuma ramai orang suka benda baru. Harga kebanyakan harga IPO naik dalam pasaran hangat di peringkat awal ialah disebabkan 'kehangatannya', bukan prestasi syarikat.

Jika anda tinjau senarai IPO dalam tempoh lima tahun lepas, anda akan dapati banyak daripadanya yang pernah jatuh di bawah harga IPO, malah ada segelintir yang jatuh dan tidak bangkit kembali.

Jika ingin membeli saham IPO, anda perlu membuat tinjauan dan penyelidikan yang sama teliti seperti membeli saham lain untuk mengelakkan kerugian. 

Perlu diingat, amaran bahawa harganya agak mahal telah dibuat oleh beberapa penganalisis di akhbar atau terbitan kewangan tempatan sebelum saham disenaraikan. Jadi maklumat tersebut memang boleh didapati oleh pelabur.

2 ulasan:

Heikal berkata...

Saya ada check dalam web bursamalaysia yang menyatakan saham astro tidak ditandakan antara patuh syariah...kenapa ya...saya memang bercadang untuk membeli saham astro sekarang sebab harganya lebih rendah dari IPO...AKan tetapi jika betul ia tidak patuh syariah, tawar hati la saya nak belinya...

Razali Razman berkata...

Saya pun tak pasti kenapa...sebab hasilnya nampak ok...ada dua kemungkinan...satu memang astro tak patuh syariah atau kedua, senarai tersebut belum dikemas kini.

Kalau tidak patuh syariah, mungkin disebabkan kandungannya yang disiarkan atau mungkin berkaitan pemegang saham utamanya yang turut memiliki syarikat perjudian.

Saya pun tidak pasti. Kita tunggu tiga hingga enam bulan akan datang untuk pengesahan.

Tapi walau apa pun, jatuh di bawah harga IPO tidak semestinya bagus. Tunggu dulu keputusan kewangan untuk suku tahun atau separuh tahun diumumkan untuk membuat penilaian lebih teliti.

Tetapi kalau confirm tak patuh syariah, memanglah tak payah beli...:)