10 Jun, 2012

Menentukan Volum Dagangan Tinggi Atau Rendah

Bagaimana untuk menentukan volum dagangan tinggi atau rendah untuk sesuatu saham?

Untuk menentukan sama ada volum tinggi atau rendah, kita perlu melihat carta saham.  Biasanya perkhidmatan carta ini boleh dilanggan, seperti menerusi Bursastation (kira-kira RM20 sebulan untuk perkhidmatan asas) atau boleh didapati daripada perkhidmatan online broker saham.

Berikut adalah contoh volum dagangan bagi carta Petronas Chemicals:

Dipetik daripada Bursastation

Di bawah carta pergerakan harga saham, kita dapat lihat di garis merah dan hijau yang memaparkan paras volum dagangan.  Jika kita hanya melihat volum dari segi angka setiap hari mungkin kita tidak dapat membuat perbandingan yang tepat.  Graf sebegini memberikan kita perspektif lebih baik tentang paras tinggi rendah volum saham.

Kita dapat lihat dalam carta bahawa pada separuh kedua tahun lepas, volum dagangan agak tinggi tetapi  telah turun ke tahap yang lebih rendah selepas bulan November 2011.

Garis merah menunjukkan bahawa harga ditutup lebih rendah manakala garis hijau menunjukkan harga ditutup lebih tinggi berbanding harga penutup semalam.

Pada amanya volum saham akan meningkat dengan mendadak jika ada kenaikan atau penurunan ketara harga saham.  Bagi sesuatu saham, kita boleh melihat volum tinggi atau rendah dengan meninjau apakah tahap volum lazim bagi saham tersebut.  

Justeru, berasaskan carta ini, kita boleh tahu, sama ada volum pada hari ini tinggi atau rendah berasaskan rekod sejarahnya.

Kebanyakan saham mempunyai volum secukupnya untuk dijual beli dengan mudah. Namun begitu, bagi saham tertentu yang mana dalam seminggu, terdapat mungkin satu atau dua hari di mana langsung tiada dagangan,  anda perlu berhati-hati dkerana mungkin terpaksa menunggu untuk menyempurnakan urus niaga disebabkan kekurangan bekalan dan permintaan.

Satu petanda volum yang kurang mencukupi ialah jurang perbezaan antara harga bida (belian) dan harga jualan yang tinggi.  

Contohnya ialah  bagi saham di bawah RM2.00 jika perbezaan harga bida dan harga jualan selalunya lebih daripada 2 sen,  mungkin lebih sukar sedikit untuk melupuskan saham. 

Saham seperti ini tidak sesuai bagi mereka yang mengamalkan dagangan jangka pendek, tetapi tiada masalah bagi fundamental investor seperti saya.

Sebaliknya bagi saham yang perbezaan harga bida-jualan yang selalu lebih daripada 5 sen (bagi saham di bawah RM2.00) maka fundamental investor kecil pun perlu berhati-hati melainkan prospek masa depan syarikat benar-benar kukuh.

Sikap berwaspada ini perlu diambil bukan kerana faktor perniagaan syarikat, tetapi kerana bimbang sukar untuk melupuskan saham sekiranya saham perlu dijual.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam,

Okay, sya faham dengan penerangan yg diberikan. Terima kasih byk2 atas perkongsian ilmu dari tuan.

Hakimi Abdullah berkata...

Tuan RR,

Adakah volume perlu dijadikan checklist wajib untuk pelaburan saham? Dari sudut pandang value investor. Tq

Razali Razman berkata...

Salam,

BAgi Value Investor pada pendapat saya tak perlu. Tetapi pastikan saham itu ada juga sedikit dagangan dan bukannya langsung tidak diperdagangkan setiap hari.