26 April, 2012

Patutkah Jual Kalau Saham Dah Naik?

Bergantung kepada potensi kenaikan saham tersebut pada masa depan

Kita akan lihat tiga contoh saham yang pernah disebutkan dalam blog ini yang telah naik harganya dengan ketara untuk melihat sama ada saham tersebut patut dijual atau tidak.


Syarikat Takaful Malaysia

Saya pernah menyentuh tentang Syarikat Takaful Malaysia, anak syarikat BIMB, dalam posting pada 28  Februari 2010. Pada waktu itu, harganya ialah kira-kira RM1.33.  Pada hari ini, harga telah mencecah sehingga RM3.80 sen.

Berikut adalah carta Syarikat Takaful untuk tempoh dua tahun:

Dipetik daripada Bursa Station

Pencetus kenaikan luar biasa ini ialah prestasi keuntungan syarikat, yang mencatatkan pendapatan sesaham (EPS) 21.24 sen pada suku keempat tahun 2011. Prestasi ini ternyata amat memberangsangkan.

OSK Research menetapkan harga sasaran RM4.42.  Saya rasa ini satu harga yang munasabah untuk disasarkan kerana ia berasaskan P/E 10 (yang masih rendah) untuk keuntungan ramalan bagi tahun kewangan 2013.

Berasaskan keputusan suku terakhir, terdapat kemungkinan syarikat mencatatkan prestasi lebih baik daripada itu, tetapi semua ini adalah unjuran sahaja.

Satu lagi faktor ialah ia merupakan satu-satunya syarikat takaful yang boleh dilaburkan secara terus di Bursa Malaysia, menjadikannya pilihan tunggal bagi pelabur tempatan dan asing yang mahu melabur dalam institusi takaful patuh syariah.

Bagi saya, jika ambil untung pada harga ini pun wajar kerana harga dah naik tinggi.  Tetapi jika pelabur yakin, boleh tunggu sehingga ia mencapai sasaran harga RM4.42 yang diramalkan oleh OSK.

Jika paras untung seperti yang diramalkan, mungkin saham akan naik lagi.  Risikonya ialah jika untung masa depan tidak sehebat untung yang diramalkan, mungkin harga saham ini akan terjejas.


CBIP Holdings

CB Industrial Products (CBIP) ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam pembinaan loji pemprosesan minyak sawit dan khidmat kejuruteraan dan alat ganti yang berkaitan.  Syarikat menyediakan perkhidmatan kepada ladang-ladang kelapa sawit dan juga memiliki ladang kelapa sawit.

Saya ada menulis tentang CBIP pada posting 21 Mac 2011.  Harganya pada waktu itu ialah kira-kira RM3.84.  (RM1.92 selepas mengambil kira terbitan saham bonus). Berikut adalah graf CBIP untuk tempoh dua tahun:

Dipetik daripada Bursa Malaysia

Ternyata saham CBIP telah naik seiring dengan kenaikan syarikat-syarikat perladangan kelapa sawit, terutamanya kerana harga CPO yang kekal tinggi.

Pada akhir tahun lepas, syarikat mencatatkan EPS 77 sen, tetapi selepas mengambil kira terbitan bonus 1 untuk 1 yang dilaksanakan baru-baru ini, EPS tersebut ialah 43 sen. Namun begitu, EPS ini lebih tinggi sedikit daripada biasa kerana pada suku terakhir terdapat item untung luar biasa yang tidak mungkin berulang pada tahun depan.

Walau apa pun, bagi CBIP, saya rasa harganya masih berpatutan jika paras untung dapat dikekalkan tahun ini.  Bagi saham ini, adalah lebih baik untuk tunggu dan lihat keputusan bagi suku berakhir 31 Mac, yang akan diumumkan sebulan lagi, sebelum menentukan untuk menjual dan ambil untung atau memegang untuk menantikan kenaikan harga lanjut.

Bagi saya jika EPS lebih 35 sen untuk seluruh tahun dapat diunjurkan menerusi keputusan pada suku pertama, maka saham ini rasanya boleh terus dipegang.


Malayan Flour Mills

Saya telah menulis tentang Malayan Flour Mills (MFM) pada 3 Mac 2010.  Syarikat ini adalah sebuah pengilang tepung, pengeluar makanan ternakan dan penternak ayam itik.

Pada waktu itu harganya ialah  RM5.22, sebelum mengambil kira segala terbitan bonus, waran dan terbitan hak yang dilaksanakan baru-baru. Jika mengambil kira semua terbitan di atas, harganya ialah lebih kurang RM1.30 pada masa itu.

Berikut adalah carta  MFM untuk tempoh dua tahun. 

Dipetik daripada Bursastation

Apabila kita meninjau prestasi EPS MFM, kita dapati bahawa keputusan 2011 (79 sen) adalah lebih baik daripada 2010 (75 sen).  Tetapi angka ini adalah sebelum segala terbitan bonus dan terbitan hak yang dilaksanakan.

Persoalan sama ada untuk menjual saham ini atau tidak akan lebih jelas selepas prestasi suku tahun berakhir 31 Mac, yang akan memberikan EPS berasaskan jumlah saham baru yang ada di pasaran.  Selepas itu barulah kita dapat membuat penilaian lebih tepat sama ada syarikat ini berpotensi untuk berkembang.

Namun begitu, adalah munasabah juga bagi sesetengah pelabur untuk mengambil untung, terutamanya apabila saham telah mencecah RM2.00 kerana keuntungan besar yang diraih dan juga untuk dilaburkan semula dalam saham lain yang lebih berpotensi untuk naik.


Kesimpulan

Persoalan untuk jual saham yang telah naik bergantung kepada pandangan kita tentang prestasi masa depan syarikat, iaitu bolehkah syarikat terus meningkatkan keuntungan.  Jika unjuran keuntungan terus positif, kita boleh pegang, tetapi jika keuntungan telah sampai ke puncak dan mungkin turun untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang, maka wajar bagi kita untuk jual.

Di samping itu satu lagi faktor ialah sama ada kita telah mengenal pasti satu peluang lain yang lebih baik.  Jika ada, maka kita ramalkan saham mana, sama ada saham sedia atau peluang baru, yang dijangka naik pada kadar yang lebih tinggi (peratus kenaikan) dan kemudian buat keputusan untuk menjual atau terus memegang saham yang sedia ada.


3 ulasan:

aubout vita berkata...

Xavi Gerad Jude Am. Seorang wakil aiicco insurans plc. Kami menawarkan pinjaman pada kadar pembayaran balik 3%. Jika anda berminat hubungi kami di alamat ini (CEO) E-mel: xavigeradloanfirm@yahoo.com
Notis 20 tahun ke atas hanya membenarkan di Aiicco insurans plc.
Pelaburan Pinjaman Peribadi.
Pelaburan Pinjaman Perniagaan.
Pinjaman penyatuan.
Pembinaan Pinjaman.
Pilih dari satu atau tahun untuk membayar.
Pilih antara bayaran bulanan dan tahunan di bawah Rancangan.
Terma pinjaman yang fleksibel.
Apa-apa pada pinjaman sehingga tahun 5000 untuk 8000.000.00 Euro.
Syarikat kami adalah Dipercayai, transaksi Cekap pantas dan dinamik. Hubungi kami hari ini .. Jawapan hendaklah dihantar kepada Hubungi Nama: SR GERAD Jude Pelaburan plc. Email: xavigeradloanfirm@yahoo.com

adika berkata...

tuan Axiata fair value Nya berapa ye

Razali Razman berkata...

Salam,

Axiata bukan saham yang saya follow. Cuba cari research report oleh firma penganalisis tentang Axiata dengan membuat pencarian menerusi Internet atau minta daripada syarikat broker. Ramai firma yang follow dan menyelidiki saham ini.

Perlu diingat bahawa fair value adalah nilai anggaran sahaja dan firma lain mempunyai pandangan yang berbeza. Akhirnya pelabur perlu menilai dan membuat unjuran sendiri selepas mengambil kira semua pandangan.