20 Mac, 2012

Patuh Syariah Langkah Demi Langkah

Penting untuk audit kewangan sendiri dan ubah secara beransur-ansur

Dengan kemajuan dalam bidang perbankan, kewangan dan pelaburan Islam,  rakyat Malaysia yang beragama Islam kini boleh melaksanakna urus niaga kewangan dan pelaburan masing-masing tanpa riba.

Umat Islam patut berusaha membuat perubahan secara beransur-ansur dengan cara yang tidak membebankan kerana sekarang ini tiada lagi alasan untuk tidak berbuat demikian..

Anda boleh memulakan proses ini dengan mengaudit segala urusan dan juga urus niaga kewangan untuk melihat sama ada setiap satunya patuh syariah, dan bertekad untuk berubah langkah demi langkah, bermula dengan yang paling praktikal terlebih dahulu dan kemudian menukar yang sukar dilakukan secara beransur-ansur.

Kad Kredit

Bagi saya ini adalah pertukaran paling penting.  Mungin anda masih ada hutang dua tiga kad kredit yang belum dijelaskan, jadi langsaikan dulu perlahan-lahan sebelum menggunting kad.

Saya rasa kita patut tukar walaupun jika anda seperti saya, iaitu akan membayar tepat pada masanya setiap bulan tanpa dikenakan caj faedah.

Terdapat tiga alternatif kepada kad kredit
  1. Kad Debit
  2. Kad Caj Patuh Syariah
  3. Kad Kredit Patuh Syariah
Secara peribadi, kad debit ialah paling baik bukan sahaja dari segi kepatuhan syariah tetapi dari segi kawalan perbelanjaan.. Tahap penerimaan kad debit sudah amat berleluasa sekarang dan juga boleh digunakan untuk urusan jual beli menerusi Internet.  Ini hanya membenarkan anda membeli apa yang anda mampu sahaja.

Pilihan kedua ialah kad caj patuh syariah.  Kad caj tidak memberikan sebarang kemudahan kredit, iaitu pengguna perlu membayar sejurus selepas menerima bil. Namun begitu, kad caj patuh syariah hanya ditawarkan oleh segelintir bank.

Cara ketiga ialah mendapatkan kad kredit 'patuh syariah', tetapi bagi saya cara ini kurang baik, satu kerana masih menggunakan faktor kredit dan kedua dan paling penting, kontrak yang digunakan kurang meyakinkan (Al-Inah).

Pinjaman Peribadi dan Perumahan

Ini adalah  yang kedua paling 'urgent' tetapi sukar untuk diubah kerana jumlah besar yang terbabit dan juga faktor denda bayaran awal dan juga kos mendapat pembiayaan baru.  Terapat dua cara melakukannya, iaitu

1. Membiaya semula dengan pembiayaan Islam
2. Cuba mempercepatkan bayaran balik hutang.

Mungkin kedua-duanya bukan mudah tetapi sekurang-kurangnya kita mencuba sedaya-upaya untuk menamatkannya secepat mungkin..

Akaun Bank

Ini adalah perubahan yang paling mudah untuk dibuat.  Jika anda menggunakan akaun semasa yang tidak membayar faedah, tiada masalah. Sebaliknya jika mempunyai simpanan atau simpanan tetap, anda hanya perlu membuka akaun wadiah atau akaun pelaburan am di sebuah institusi perbankan Islam.

Pelaburan Saham dan Unit Amanah

Dua puluh tahun lepas memang sukar untuk melabur berlandaskan prinsip Islam, tetapi sekarang ini terdapat senarai syarikat yang patuh syariah, indeks patuh syariah dan unit amanah patuh syariah dan pilihannya semakin hari semakin bertambah.

Dalam hal pelaburan, saya rasa pelabur tidak mempunyai alasan untuk melakukannya secara beransur-ansur kerana pelaburan berasaskan prinsip Islam boleh dan patut dilakukan dengan serta-merta.

Perlindungan Insurans

Perubahan daripada Insurans kepada Takaful juga merupakan satu perkara yang sukar, terutamanya bagi polisi seperti polisi endowmen, yang mana manfaat terbesar diperolehi jika disimpan sehingga matang.

Namun begitu sekarang ini banyak syarikat insurans yang turut menawarkan takaful. Tanya ejen atau perunding syarikat cara paling menjimatkan kos untuk membuat perubahan. Mereka mungkin dapat membantu anda.

Apabila saya sendiri membuat pertukaran, saya terpaksa menerima sedikit kerugian kerana kos polisi takaful baru lebih mahal sedangkan menyerahkan polisi lebih awal bermakna bonus tertentu tidak diperolehi.

Secara peribadi, selepas membuat sedikit bacaan dalam bidang ini, terdapat perbezaan pendapat sama ada insurans itu sendiri tidak patuh syariah. Pendapat peribadi saya ialah insurans itu bukan isu utama, tetapi pelaburan syarikat insurans adalah tidak patuh syariah dan membabitkan unsur riba.  Itu yang menjadi masalah utama.

Kesahihan Produk Perbankan Islam

Ada sesetengah pihak yang mempertikaikan produk perbankan Islam dengan mendakwa untung sama seperti faedah dan tiada beza antara kedua-duanya. Sebenarnya kontraknya amat berbeza walaupun kesan akhirnya nampak sama. Namun begitu, ada beberapa kontrak yang pada pendapat saya agak meragukan.

Tidak dinafikan bahawa memang sukar bagi kebanyakan orang untuk memahami satu persatu hujah-hujah dan ciri-ciri tentang satu kontrak perbankan Islam.  Secara peribadi, untuk menentukan sama ada saya selesa dengan sesuatu produk, saya bertanyakan soalan berikut

Adakah urus niaga ini membabitkan aset sebenar?

Jawapan kepada soalan ini akan menentukan sama ada saya sanggup mengambil produk tersebut.  Saya cuba mengelakkan semua urus niaga berasaskan kontrak Al-Inah.  Jika anda membuat pembiayaan rumah atau kereta, ada aset sebenar yang diurus niagakan.

Kewujudan aset sebenar berbanding aset tanggapan (notional aset), seperti dalam pembiayaan peribadi, menunjukkan urusan jual beli atau sewa sebenar telah berlaku dan pada pendapat saya lebih hampir kepada kehendak Syariah.

Perlu diingat bahawa perkara ini adalah pandangan peribadi sahaja dan saya rasa pengguna boleh bergantung kepada pandangan yang dibuat oleh ahli majlis syariah bank masing-masing kerana mereka juga mempunyai pandangan dan alasan tersendiri mengapa urus niaga tertentu dibolehkan.

Walau apa pun, kita perlu berusaha dan mengambil langkah sewajarnya untuk melaksanakan urus niaga kewangan dan pelaburan berlandaskan prinsip Syariah kerana tiada lagi alasan untuk tidak berbuat demikian.

Nota Tambahan

Kesan akhir sama maksudnya manfaat yang diperolehi sama, tetapi tanpa compound interest jika pinjaman tidak berbayar. Sebagai contoh, pinjaman berasaskan faedah ada manfaatnya dan kelemahannya. Manfaatnya ialah apabila saya membeli rumah menggunakan pembiayaan, saya dapat tinggal dalam rumah tersebut tanpa perlu membayar sewa. Jika rumah tersebut adalah untuk saya boleh menyewakan rumah tersebut. Dalam jangka panjang jika harga rumah naik, saya meraih untung.

Tetapi kelemahannya ialah jika pinjaman tidak berbayar, faedah akan berganda-ganda dan inilah yang menimbulkan beban.

Maksud kesan akhirnya sama ialah manfaat yang diperolehi adalah sama, iaitu memberikan bank sedikit untung, dan membolehkan pelanggan membeli aset yang mereka kehendaki, supaya mereka boleh mendapat manfaat daripadanya. Itulah kesan akhir yang saya maksudkan, tanpa membabitkan riba. Sebaliknya menggunakan kaedah jual beli atau sewa.

Tetapi tidak dinafikan bahawa dalam setiap kontrak seperti BBA, masih ada kelemahan.Bagaimanapun  kontrak yang ditawarkan sekarang jauh lebih baik daripada 10 tahun lepas dari segi manfaat kepada pengguna dan juga kepatuhan, dan saya jangka dalam tempoh 10 tahun lagi, perkembangnan lanjut akan dicapai membolehkan kita bergerak lebih hampir kepada equity based financing.

Seperti yang saya katakan, perubahan perlu dibuat secara beransur-ansur kerana 30 tahun lepas, seluruh ekonomi dunia berputar berasaskan riba.  Sekarang ini ada alternatif, dan kewangan Islam dijangka semakin kukuh dan bergerak lebih hampir kepada konsep tulen pada masa depan.

3 ulasan:

idod berkata...

salam saudara Razali.

saya menulis komen ini bukanlah hendak mempertikaikan kehendak syariah. tapi sya sendiri agak ragu dgn sistem perbankan islam ini. dlm ulasan saudara sendiri ada menulis kontraknya memang berbeza walaupun kesan akhirnya tetap sama. tetapi bukankah riba diharamkan kerana kesan akhir tersebut. apakah rasionalnya sistem perbankan islam jika hanya kontrakya berbeza tp kesan akhirnya tetap sama?

Razali Razman berkata...

Kesan akhir maksudnya manfaatnya sama, tetapi tanpa compound interest jika pinjaman tidak berbayar. Sebagai contoh, pinjaman berasaskan faedah ada manfaatnya dan kelemahannya. Manfaatnya ialah apabila saya membeli rumah menggunakan pembiayaan, saya dapat tinggal dalam rumah tersebut tanpa perlu membayar sewa. JIka rumah tersebut adalah untuk saya boleh menyewakan rumah tersebut. Dalam jangka panjang jika harga rumah naik, saya meraih untung.

Tetapi kelemahannya ialah jika pinjaman tidak berbayar, faedah akan berganda-ganda dan inilah yang menimbulkan beban.

Maksud kesan akhirnya sama ialah manfaat yang diperolehi adalah sama, iaitu memberikan bank sedikit untung, dan membolehkan pelanggan membeli aset yang mereka kehendaki, supaya mereka boleh mendapat manfaat daripadanya. Itulah kesan akhir yang saya maksudkan, tanpa membabitkan riba, sebaliknya menggunakan kaedah jual beli atau sewa.

Tetapi tidak dinafikan bahawa dalam setiap kontrak seperti BBA, masih ada kelemahan, tetapi kontrak yang ditawarkan sekarang jauh lebih baik daripada 10 tahun lepas dari segi manfaat kepada pengguna dan juga kepatuhan, dan saya jangka dalam tempoh 10 tahun lagi, perkembangnan lanjut akan dicapai membolehkan kita bergerak lebih hampir kepada equity based financing.

am.. berkata...

assalam..
blh terangkan tentang pembiayaan modal kerja dlm perbankan islam?produk yg ditawarkan mcm mane ye? adakah murabahah, mudharabah, musyarakah t'masuk dlm kategori pembiayaan modal kerja?