16 Januari, 2012

14 Tahun Bekerja Dari Rumah

Pejabat di rumah kini satu alternatif yang berdaya maju

Tahun ini masuk tahun ke-14 saya menjalankan perniagaan dari rumah.  Walaupun pada mulanya bekerja dari rumah ini kurang glamor dan ramai yang sangsi sama ada kita betul-betul bekerja, situasi di alaf baru ini sudah berubah, terutamanya dengan meledaknya perniagaan  Internet, menjadikan kerja dari rumah satu alternatif yang diterima.



Saya rasa adalah mustahil untuk mengendalikan perniagaan besar di rumah, tetapi perniagaan kecil dengan untung yang agak memuaskan boleh diusahakan, terutamanya perniagaan berkaitan dengan perkhidmatan dan tidak semestinya bisnes Internet sahaja.

Selain daripada berniaga, syarikat korporat di negara Barat juga ada yang menganjurkan skim di mana kakitangan mereka boleh bekerja dari rumah untuk beberapa hari dalam seminggu.  Ini amat berguna terutamanya bagi kaum ibu yang boleh menguruskan hal-ehwal rumah mereka sambil bekerja.

Kerja dari rumah ini bukan untuk kaum wanita sahaja.  Tidak ada masalah langsung bagi lelaki untuk melakukannya juga.  Saya sendiri sentiasa bersama anak-anak, yang suka bermain di dalam pejabat saya dan telah melihat mereka membesar.  Di samping itu, di kiri kanan saya setiap hari ada sahaja kucing yang masuk dan lepak dalam 'office' sambil saya bekerja.



Jangan anggap kerja di rumah ini relaks sahaja.  Setiap hari saya menghadapi beberapa 'deadline' dan tidak pernah ambil cuti sakit untuk satu hari penuh (separuh hari ada).  Bukan tak pernah sakit tetapi buat kerja juga kerana tak mahu menghampakan pelanggan.

Setiap hari memang kerja sampai malam, kadangkala antara sampai pukul 12, tetapi yang 'best' saya lazimnya sempat tidur sejam selepas makan dan juga meluangkan masa 1 - 2 jam untuk bersenam pada waktu petang sebelum menyambung kerja pada waktu malam.

Kerja dari rumah bukan untuk semua orang.  Ramai yang suka pergi ke pejabat korporat untuk berinteraksi dengan rakan sepejabat dan pihak lain.  Apabila kerja dari rumah, interaksi kebanyakannya adalah dengan pelanggan, dan sebahagian besar menerusi telefon dan emel sahaja.  Tetapi kelebihannya ialah kita tidak perlu melayan kerenah politik pejabat dan tak perlu mengagumkan atau 'impress' sesiapa kecuali pelanggan.

Setiap hari saya tak perlu meredah kesesakan lalu lintas di KL. Sekali-sekala apabila saya ada urusan luar yang menyebabkan saya terpaksa balik jam 6.00 petang dan ke atas, saya terkena juga 'jam' dan pada waktu itu saya rasa bersyukur tak perlu melaluinya setiap hari.

Sekarang ini terdapat banyak juga perkhidmatan yang menawarkan alamat pejabat di bangunan berprestij dengan perkhidmatan menjawab telefon dikongsi bersama di mana anda membayar  sejumlah kecil sahaja sebulan untuk mendapatkan alamat ini supaya nampak hebat di mata pelanggan, pembekal dan pembiaya.

Tapi saya tak perlu semua ini kerana pelanggan saya memang tahu saya bekerja dari rumah dan mereka ini termasuk syarikat multinasional dan syarikat tersenarai.  Mereka bukan nak lihat pejabat korporat atau ciri luaran. Mereka hanya mahukan kerja yang bermutu tinggi dan disiapkan tepat pada masanya.

Bukan semuanya 'best' tentang bekerja dari rumah.  Kadangkala ada pihak yang bagai kurang percaya kita sebenarnya bekerja.  Selain itu, pernah sebuah bank Islam asing menolak permohonan pembiayaan saya kerana kurang senang saya bekerja dari rumah. Tetapi tidak mengapa sebab ada bank lain yang sudah lama berurusan dengan saya yang sanggup memberikan pembiayaan.

Walau apa pun, memulakan perniagaan dari rumah adalah alternatif yang berdaya maju.atau viable. Terutamanya jika anda baru memulakan perniagaan dan mahu melihat sama ada perniagaan ini ada potensi.  Jika perniagaan makin pesat, bolehlah mula cari pejabat atau kedai untuk disewa.

Di kalangan rakan dan saudara, ada seorang kontraktor binaan yang juga mempunyai pejabat dari rumah. Beliau pun macam saya juga, tidak sanggup bersaing di alam korporat.  Sementara itu, peguam saya juga semakin kerap menghabiskan masa bekerja dari rumah, walaupun ada pejabat di sendiri.  Di samping itu, saya juga mengenali beberapa pengusaha Internet yang bekerja dari rumah.

Bagi saya, walaupun sekarang memang sudah mampu sewa pejabat, saya tidak akan melakukannya buat masa ini selagi ada ruang yang cukup dalam rumah untuk menempatkan kakitangan. Bekerja dari rumah ialah satu pilihan gaya hidup peribadi yang mungkin sesuai dengan segelintir orang yang bosan dengan kerenah dunia korporat dan keadaan lalu-lintas yang sesak.

8 ulasan:

Pok Li berkata...

Selamat bertugas dirumah. Di bandar kecil seperti seremban ini tiada kesesakan tapi parking lot terhad.

Tanpa Nama berkata...

Off topic

Ada khabar mengatakan harga rumah telah meningkat bermula tahun 2012.

Bagaimana nasib pembeli yang ingin membeli rumah yang sama pada tahun lepas dimana berlaku sedikit masalah yang menyebabkan pembelian tergendala seketika.

Adakah perjanjian lepas akan terbatal.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada En. Razali yang sudi memberi respon.

-Azwani-

Razali Razman berkata...

Salam Pok Li

Saya ada juga pergi Seremban dua tiga kali tahun lepas...dapat parking tapi kena jalan jauh sikit...terutamanya kat Hospital Seremban...:)

SAlam Azwani,

Jika S&P telah ditandatangani, rasanya tiada masalah sebab harga tetap sama....tetapi jika masih dalam peringkat rundingan, harga bergantung kepada persetujuan antara pembeli dan penjual.

Tanpa Nama berkata...

Bekerja di rumah perlukan displin yang tinggi. Memang x semua orang boleh lakukan.
Tahniah saya ucapkan!

Tanpa Nama berkata...

Bekerja di rumah perlukan displin yang tinggi. Memang x semua orang boleh lakukan.
Tahniah saya ucapkan!

Razali Razman berkata...

Terima kasih

Muhammad Arshad berkata...

Salam ..en buat bisnes ape di rumah..blh share x kt sy ..ini email sya shark9355@yahoo.com ..sya memg berminat n mengimpikan utk bekerja di rumah bg menjana pendapatan..harap ada respon..trima kasih n tahniah en..

Razali Razman berkata...

Wasalam, Penulisan dan Penterjemahan. Jangan ikut saya...sebaliknya buat bisnes yang sesuai dengan kemahiran dan minat Tuan.