02 Oktober, 2011

Tinjauan Harga Komoditi Penting

Emas juga jatuh walaupun dianggap pelaburan selamat

Dalam tempoh dua bulan lepas, kita sedar bahawa pelbagai pasaran ssekuriti telah turun dengan agak ketara. Harga komoditi juga tidak terlepas daripada kesan ini, dan yang mungkin mengejutkan sesetengah pihak ialah kejatuhan emas.

Berikut adalah carta harga tiga komoditi  penting yang mempengaruhi hidup kita: minyak mentah kerana merupakan satu faktor pengeluaran utama dan membabitkan subsidi kerajaan kepada kita, minyak sawit mentah, kerana negara merupakan pengeluar penting dan kos pengeluaran banyak syarikat juga bergantung kepada komoditi ini, dan juga emas, sesuatu yang pada pendapat saya tidak banyak nilai ekonomi, tetapi  penting kerana ramai kini yang melabur dalam emas dan telah naik tinggi sejak tempoh 10 tahun lepas.

Minyak Mentah WTI

Dipetik daripada laman web oil-price.net

Harga minyak mentah telah jatuh di bawah USD80 tempoh hari, seiring dengan kemelesetan ekonomi yang dijangkakan.  Bagi kebanyakan orang dan juga syarikat, ini adalah satu perkembangan positif. Satu lagi manfaat ialah ia akan mengekang inflasi.  Tetapi bagi syarikat minyak perkembangan ini kurang positif.

Minyak Sawit Mentah
Dipetik daripada laman MPOB

Harga minyak sawit mentah juga telah merosot dan kesannya  positif bagi pengguna dan syarikat yang menggunakan minyak sawit sebagai input.  Tetapi oleh kerana Malaysia pengeluar uttama, kesan terhadap ekonomi secara keseluruhan sukar ditentukan.  Bagi syarikat perladangan kelapa sawit, ini sudah tentulah sedikit negatif, tetapi rata-rata harganya masih tinggi dan mereka tidak begitu teruk terjejas.

Harga Emas 20 Tahun

Dipetik daripada laman World Gold Council

Emas dulunya merupakan sejenis pelaburan stabil yang menyimpan nilai.  Tetapi sejak tahun 2000, harga emas telah meningkat dengan ketara, mungkin kerana ketidaktentuan ekonomi dan dasar kewangan longgar bank-bank pusat dunia dan juga inflasi.

Tetapi kejatuhan sebanyak USD200 baru-baru ini menunjukkan bahawa ciri emas telah bertukar daripada pelaburan yang stabil kepada pelaburan yang berpotensi memberikan untung besar, tetapi dengan risiko yang lebih tinggi, terutamanya jika anda beli pada waktu yang salah.

Perkara yang agak mengejutkan sesetengah pihak ialah andaian mereka bahawa jika ketidaktentuan ekonomi meningkat, lebih ramai orang akan membeli emas, justeru menaikkan harganya, tetapi perkara sebaliknya telah berlaku.

Berasaskan perkembangan semasa, kita dapat lihat bahawa hanya satu cara yang selamat untuk melindungi aset dalam tempoh dua bulan lepas, iaitu dengan memegang wang tunai.

2 ulasan:

Mohd Khalil berkata...

Nak minta izin copy tulisan ini dalam blog saya.
www.kadikluang.blogspot.com

Razali Razman berkata...

Tiada masalah, cuma pastikan ada link kembali kepada blog saya

Terima kasih