08 Ogos, 2011

Lautan Merah di BSKL

Kemelut hutang, penurunan taraf AS dan kelemahan ekonomi global

Pada Jumaat lepas, S&P telah menurunkan taraf hutang AS daripada AAA kepada AA+.  Saya sudah membayangkan kemungkinan ini kepada pembaca sejak sebulan lepas, dan juga ada membincangkan  tentang kemelut hutang AS.

Cuma kali ini, nampaknya pasaran tidak lagi mengabaikan segala masalah dan buat pertama kali dalam setahun, keadaan ekonomi dan situasi hutang kerajaan akhirnya mendapat perhatian serius oleh pasaran.

Masalahnya bagi Malaysia ialah tiada jalan untuk mengelak dan terpaksa menghadapi hakikat bahawa situasi di Amerika akan menjejaskan pasaran di sini.

Kedudukan pasaran Malaysia - FBM KLCI dan FBM Small Cap:


Dipetik daripada Bursa Station

Bagi kedua-dua indeks FBM KLCI dan FBM Small Cap, parasnya telah menembusi garis purata bergerak 200 hari, yang menunjukkan sentimen negatif. Malah indeks FBM Small Cap telah jatuh di bawah paras itu kira-kira 3 minggu lepas.

Jika anda sudah keluar sepenuhnya daripada pasaran,  maka anda bijak atau bernasib baik. Bagi golongan ini dan juga mereka yang memegang hanya 50% saham seperti yang saya syorkan sejak suku pertama tahun ini, pada pandangan saya, belum lagi masanya untuk membeli.

Tunggu dan lihat situasi yang berlaku dalam tempoh beberapa minggu akan datang kerana masalah ini bukan sahaja melibatkan kemelut hutang AS dan Eropah, tetapi juga mungkin membabitkan ekonomi global.

Bagi mereka yang tersangkut dan masih ada dalam pasaran, jangan panik. Jika anda mahu jual, ada masanya  pasaran akan melantun kembali, walaupun dalam 'bear market' (pasaran menurun).  Selain itu, jika anda memiliki saham yang kukuh, anda mungkin boleh terus pegang sehingga keadaan pulih.

Tetapi jika anda memegang saham yang berkemungkinan besar terjejas akibat perkembangan ekonomi yang lebih perlahan, mungkin anda boleh pertimbangkan untuk jual.

Semua keputusan bergantung kepada pandangan anda tentang keupayaan syarikat yang anda miliki mengharungi situasi semasa.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

betul ke yg dikatakan oleh adam khoo 'make profit from the panic'...memandangkan saham akan jatuh lg.spt 98' akan berulang.tq

-kazam-

Razali Razman berkata...

Dalam buku tersebut beliau menggambarkan dua senario yang mungkin berlaku...saya tak pasti sama ada saham akan jatuh seteruk 98 atau 2008...terutamanya di Asia kerana kelemahan wujud di Eropah dan Amerika sedangkan pada 98, Asia yang menjadi punca kelemahan.

Walau apa pun, kita hanya boleh tunggu dan lihat dalam tempoh dua tiga bulan lagi.