07 Februari, 2011

Stop Loss: Pandangan Berbeza

Beberapa pelabur tersohor langsung tak percaya

Saya pernah menulis tentang stop loss dan menggalakkan pelabur menggunakannya. Tetapi perkara sebenar ialah saya sendiri tidak pernah menggunakan stop loss.

Stop loss ialah paras di bawah harga belian asal di mana kita membuat keputusan untuk menjual demi mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Satu lagi bentuk stop loss dinamakan trailing stop, di mana saham telah naik melebihi harga belian kita dan sedang terus naik, tetapi kita tetapkan satu paras di bawah harga puncak untuk 'lock in' atau merealisasikan keuntungan.

Stop loss biasanya digunakan oleh pelabur jangka pendek yang menggunakan analisis teknikal tetapi boleh juga digunakan oleh semua jenis pelabur tidak kira apa teknik mereka.

Namun begitu tiga pelabur tersohor di dunia tidak menggunakan stop loss dan tidak menggalakkan penggunaannya.

Ken Fisher, antara pengurus dana terkemuka semasa dan penulis buku terkenal yang mempunyai ruangan  di majalah Forbes, berkata berasaskan kajian yang dibuat, apabila harga saham mencapai paras stop loss, ia mempunyai kebarangkalian 50% untuk naik dan 50% untuk turun.

Jadi jika anda gunakan stop loss, anda mungkin rugi kerana tidak dapat memanfaatkan rebound yang berlaku. Kedua paras apa yang patut digunakan? Adakah 3%, 5%, 7% atau 10%. Penentuannya bersifat budi bicara (arbitrary) dan tidak ada paras tertentu yang terbukti lebih berkesan.

Peter Lynch, pengurus dana tersohor pada tahun 90an juga berkata stop loss tidak berkesan. Jual hanya jika ada masalah dengan syarikat atau jika kadar pertumbuhan atau prospeknya tidak seperti yang diunjurkan

Warren Buffet pula sudah tentu langsung tidak menggunakan kaedah ini.  Stop loss ialah bagi mereka yang tidak sanggup membuat penilaian sewajarnya terhadap sesuatu syarikat.

Jadi patutkah anda menggunakannya?  Sudah tentu jika anda seorang 'trader'.  Ia juga harus digunakan jika anda membeli kerana berita tertentu, atau kerana khabar angin atau berasaskan dengar orang lain cakap.

Tetapi jika anda memahami dan sudah menilai sesuatu syarikat dengan teliti. Jangan guna stop loss, sebaliknya jual apabila harga lebih tinggi daripada nilai syarikat.

Nota Tambahan: Perlu diingat bahawa 'stop loss' dan 'take loss dari segi fundamentals' ada bezanya. Stop loss dilakukan apabila saham jatuh pada paras tertentu tanpa mengira situasi syarikat. Take loss dari segi fundamentals pula ialah apabila kita jual dan menerima kerugian kerana berpendapat harga saham syarikat tidak lagi berpotensi naik kerana faktor tertentu, seperti kelemahan syarikat.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tuan,
boleh buat analysis kepada saham QL Resources. pendapatan syarikat meningkat setiap tahun dan hutang jangka panjang juga meningkat selaras dgn peningkatan revenue. adakah ini petanda syarikat ini bermasalah?

Tanpa Nama berkata...

inche,
bagaimana dgn kesilapan warren buffet dlm conoco (syarikat minyak) dan irish bank. di mana warren buffet beli conoco ketika minyak berada di puncak dan kemudian mengalami kejatuhan mendadak?
adakah warren buffet take loss?

Razali Razman berkata...

Tanpa Nama 1,

Insyallah saya akan usahakan dalam beberapa posting yang akan datang.

Tanpa Nama 2,

Kalau tak silap dia jual sebahagian daripada pegangannya dalam Conoco dan simpan sebahagian lagi hingga ke hari ini, dan sekarang ini saham Conoco tersebut sudah naik balik.

Tetapi perlu diingat bahawa 'stop loss' dan 'take loss dari segi fundamantals' ada bezanya. Stop loss dilakukan apabila saham jatuh pada paras tertentu tanpa mengira situasi syarikat. Take loss dari segi fundamentals pula ialah apabila kita jual dan menerima kerugian kerana berpendapat harga saham syarikat tidak lagi berpotensi naik kerana faktor tertentu, seperti kelemahan syarikat.