24 Februari, 2011

Pesta Sudah Berakhir atau Tergendala Sebentar?

Kenaikan saham terhenti selepas lonjakan hebat selama dua tahun

Ramai pelabur agak bimbang dengan situasi sekarang, terutamanya dengan krisis di Timur Tengah dan kenaikan harga minyak yang berlaku kerananya. Jadi ramai yang tertanya-tanya adakah fasa bear market (pasaran menurun') telah bermula?

Pada awal tahun, ramai yang meramalkan pasaran saham akan melonjak ke paras sehingga 1,700 pada separuh pertama.  Ini berasaskan kehangatan pasaran  pada waktu itu.  Apabila pasaran mula jatuh pada  bulan Februari, ramai yang menganggap ia disebabkan oleh krisis Timur Tengah.

Pada pendapat saya krisis di Timur Tengah hanyalah satu alasan untuk menjual.  Sebenarnya pasaran saham telah naik sangat tinggi dalam tempoh dua tahun ini.  Walaupun belum lagi dianggap terlalu overvalued, tetapi kenaikan yang berlaku adalah hampir tanpa henti, jadi pada satu ketika, ia akan turun juga, walaupun trend jangka panjang tetap positif.


Dipetik daripada Bursa Malaysia

Lazimnya, apabila pasaran sudah mula menggapai bintang, kemungkinan untuk jatuh kembali ke bumi semakin tinggi.  Jadi dalam keadaan ini, reality check hanya berlaku apabila wujud sesuatu exogenous shock yang menimbulkan reaksi pasaran.

Ketegangan semasa di negara-negara Arab dan kenaikan ketara harga minyak boleh dianggap sebagai satu kejutan yang dimaksudkan, tetapi sejauh mana ia akan mempengaruhi pasaran tidak diketahui.  Mungkin ada beberapa pakar yang sibuk membincangkna senario itu atau senario ini, tetapi hakikatnya,bak kata orang putih, anything can happen.

Mungkin esok pucuk pemimpin Libya mengundur diri atau ditumpaskan dan pasaran kembali pulih. Sebaliknya mungkin berlaku perang saudara yang melewatkan lagi proses pemberontakan.  Malah, krisis kepimpinan di negara-negara lain juga harus dipertimbangkan.

Pendek kata adalah mustahil untuk meramalkan situasi dalam jangka pendek.  Tetapi dalam jangka panjang, kita tahu bahawa rejim-rejim Arab ini akhirnya akan tumbang atau reformasi besar akan berlaku.

Saya meramalkan kejatuhan pasaran seperti ini berlaku tahun lepas, manakala ramai pakar di media pula meramalkan kenaikan ketara pasaran pada awal tahun.  Mereka salah dan saya pun salah.  Memang sukar meramalkan pasaran.

Jika anda seorang pelabur fundamental untuk jangka pertengahan hingga panjang, beri perhatian kepada keadaan semasa, tetapi tumpukan segala usaha kepada pemilihan dan penilaian saham individu.  Anda mungkin tak percaya bahawa ada saham yang berada lebih tinggi daripada parasnya pada awal tahun tetapi memang ada. Tak percaya, cuba lihat CBIP dan juga Malayan Flour Mills, syarikat yang tak berapa glamour..

Ada yang boleh bertahan dengan baik dalam situasi semasa, seperti Apex Healthcare, yang harganya lebih kurang sama walaupun dengan keadaan terkini.  Ini bukan bermakna anda perlu beli saham-saham ini, kerana mereka mungkin sudah hampir ke tahap fairly valued, tetapi anda patut meninjau saham lain yang telah jatuh mendadak, dan membeli jika harganya sampai ke paras undervalued, tetapi mempunyai potensi pertumbuhan besar.

Dengan pemilihan yang betul, jika pasaran saham turun lagi, saham anda mungkin turun sedikit, tetapi jika pasaran saham melantun kerana ketegangan semasa reda, sudah tentulah anda untung kerana saham anda berpotensi naik seiring atau melebihi kenaikan pasaran.

3 ulasan:

ayoon78 berkata...

Bagaimana tuan melihat potensi syarikat SAAG yang dah lama jatuh harganya selepas tahun 2008.

Razali Razman berkata...

Nanti saya akan tinjau saham ini sebelum memberikan penilaian

Razali Razman berkata...

SAlam Ayoon,

Saya telah melihat saham SAAG dan mendapati saham ini saham risiko tinggi di mana syarikat masih mencatatkan kerugian.

Jika pemulihan berlaku, pelabur berpotensi untung besar kerana harga sahamnya rendah tetapi risikonya amat tinggi kerana kita tidak tahu sama ada syarikat boleh dipulihkan.