28 Februari, 2011

Pergolakan Timur Tengah: Kebangkitan Rakyat

Era diktator atau pemerintahan berasaskan keturunan mula berakhir

Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) merangkumi 57 buah negara dan merupakan pertubuhan antarabangsa yang kedua terbesar selepsa Bangsa-Bangsa Bersatu. Angka 57 buah negara ini mewakili lebih satu perempat daripada semua negara di dunia.

Tetapi apabila memberi contoh negara Islam yang paling maju,  hanya Malaysia dan Turki yang sering disebut-sebut, sedangkan kedua-dua negara ini belum pun ke status negara maju sebenar. Negara Arab seperti UAE (termasuk Dubai dan Abu Dhabi), Qatar, Kuwait Bahrain dan Arab Saudi boleh dikatakan agak maju juga tetapi 'kemajuan' ini dicapai sebahagian besarnya kerana hasil minyak, bukannya menerusi teknologi, kemahiran. keusahawanan atau pembuatan.

Dalam penarafan negara dibelenggu  rasuah pula, negara Islam  muncul di bahagian atas senarai. Gejala 'baksis' dan 'bisa diatur' menjadi kelaziman. Bagaimana ini boleh berlaku sedangkan rasuah itu salah di sisi Islam?

Adakah Islam idak serasi dengan pembangunan, teknologi, keusahawanan, pelaburan dan hak asasi manusia?  Saya berpendapat Islam dan teknologi, keusawanan, pelaburan dan hak asasi amat serasi, cuma kita telah sekian lama terpesong kerana mengabaikan ilmu lain selain daripada ilmu agama.


Sebenarnya tamadun Islam yang satu ketika dulu begitu terkenal, sehingga ilmuwan Barat bersusah-payah mempelajarinya, telah lama melalui zaman gelap. Revolusi rakyat yang berlaku ketika ini di negara-negara Arab, di mana Islam mula-mula tersebar, serta kemajuan industri  kewangan Islam, mungkin menandakan berakhirnya zaman tersebut.

Jika pemerintah sesuatu negara mengawal sebahagian besar  kekayaan, sudah tentulah rakyat mengalami kesannya. Lebih-lebih lagi jika rakyat tidak ada cara untuk menukar kepimpinan, yang seolah-oleh milik peribadi atau keluarga.

Lazimnya gejala rasuah di peringkat atasan akan dicontohi di peringkat bawah sehinggalah ia menjadi satu wabak yang menular di semua peringkat dan segenap lapisan masyarakat.  Selain itu, institusi negara juga tidak dapat dibangunkan dengan matang dan saksama.

Satu lagi perkara yang positif daripada kebangkitan ini ialah ia digerakkan oleh rakyat jelata, bukannya didorong oleh kumpulan 'hardline' yang lebih gemarkan keganasan, atau dipacu oleh Amerika (yang ada pelbagai urus niaga dengan diktator atau pemimpin yang menyokong mereka).

Seorang pemimpin pemborantakan dari Libya berkata, 'Kami mahu membina sebuah negara demokrasi yang berasaskan Islam tetapi memberikan kebebasan kepada semua agama'.

Pada pendapat saya ledakan penduduk ini pasti membuatkan dunia bergolak pada tahun ini, dan sudah tentu harga minyak akan kekal di tahap tinggi selagi kestabilan belum dicapai sepenuhnya, walaupun pemimpin yang dibenci rakyat sudah tumbang. Proses membina semula institusi dan mengadakan pilihanraya akan mengambil masa.

Tetapi apabila semua ini selesai, terdapat potensi amat besar bagi penduduk dunia Arab Sekarang ini anak-anak kita diminta belajar Bahasa Arab kerana merupakan Bahasa Al-Quran. Tetapi siapa tahu satu hari ini nanti Bahasa Arab dipelajari juga kerana ia Bahasa Ilmu dan Perdagangan, seperti pada zaman kegemilangan ilmu dan ilmuwan Islam satu ketika dulu.

3 ulasan:

abu idris berkata...

Negara Islam adalah Daulah Khilafah yang dipimpin oleh seorang Khalifah yang telah runtuh pada tahun 1924.

Lihatlah Blog Ar Rayah World News
http://ibnuyassir.blogspot.com/

Untuk mengetahui perkembagan terkini kebangkitan KHILAFAH.

lukman berkata...

ana sokong apa yg di tulis dlm blog ini. Negara islam yg syumul mesti ditegakkan dan berlaku adil pd semua lapisan masyarakat. negara Islam mestilah menjadi negara contoh pd negara2 yg lain.

lukman berkata...

ana sokong apa yg di tulis dlm blog ini. Negara islam yg syumul mesti ditegakkan dan berlaku adil pd semua lapisan masyarakat. negara Islam mestilah menjadi negara contoh pd negara2 yg lain.