17 Februari, 2011

Merungkai Ciri Waran

Mengulang kaji tentang waran dan pergerakan harganya

Saya pernah menulis tentang waran dalam posting terdahulu bertajuk Waran Saham.  Rencana tersebut boleh dibaca untuk mendapatkan kefahaman lanjut tentang waran.

Berikut adalah soalan daripada pembaca tentang waran.
Apa itu warrant, ex-price dan apa kena-mengena dengan sahamnya? Contoh Prestar-WA (0.0450). Ex-price (0.750), manakala saham Prestar (0.505). Boleh terangkan, jika tiada kesulitan.

Waran ialah hak (tetapi bukan kewajipan) untuk membeli saham sesuatu syarikat pada tarikh laksana. Apabila anda membeli waran, anda menerima hak untuk membeli saham syarikat pada harga laksana dan tarikh laksana yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Justeru, seseorang yang membeli sesuatu waran dan memegangnya sehingga tarikh laksana berpotensi untung atau rugi bergantung kepada harga sebenar saham tersebut pada tarikh laksana.

Ex-Price atau Exercise Price ialah harga laksana. Manakala Ex-Date atau Exercise Date ialah tarikh laksana.

Berasaskan soalan, Harga Prestar-WA ialah 0.0450.  Ini bermakna anda boleh menjual beli waran tersebut di pasaran pada harga itu.  Jika ex-price ialah 0.75 ini bermakna anda berhak untuk membeli saham Prestar pada harga 0.75 sen pada Ex-Date.

Namun begitu, harga Prestar hanyalah 0.505 sen. Ini bermakna waran ini berada di bawah harga laksana atau out of the money.  Dengan kata lain, jika harga saham tidak berubah sehinggalah tarikh laksana, anda sudah tentu tidak akan melaksanakan waran ini (iaitu menunaikan hak anda untuk membeli saham Prestar) pada harga 0.75 kerana anda akan rugi sebanyak 0.245.

Pendek kata nilai waran anda, dari segi nilai asas adalah sifar kerana ex-price lebih tinggi daripada harga  saham.

Tetapi kenapa waran masih ada nilainya, iaitu 0.045, kalau pada asasnya, ia out of the money.  Sebabnya terletak pada nilai masa atau time value.  Ini kerana selagi waran belum dilaksanakan, masih ada harapan bahawa saham akan naik lebih tinggi daripada ex-price.

Jika kita lihat waran Prestar, ex-date ialah 12/07/11, ini bermakna ada masa 5 bulan lagi sebelum tarikh laksana dan masih ada kebarangkalian, walaupun sedikit, bahawa harga saham akan naik lebih tinggi daripada ex-price. Justeru selagi ex-date belum tiba, waran yang out of the money masih ada nilai yang dinamakan nilai masa.

Untuk maklumat lebih menyeluruh tentang waran, klik posting saya yang terdahulu bertajuk Waran Saham.

4 ulasan:

MOHD ALI berkata...

Salam,

Terima kasih atas penjelasan saudara. Sekarang saya sudah faham apa itu waran.

Apa yang perlu dilakukan oleh pemegang waran pada "exercise date"?
Adakah hak untuk membeli saham itu berlaku secara automatik atau pemegang waran perlu melakukan sesuatu?

Sekian.

Razali Razman berkata...

Kalau tak silap saya (saya tak pernah pegang waran sehingga matang dan sekarang ini tidak lagi membeli waran), pelabur perlu mengisi borang untuk memilih sama ada mahu laksanakan waran (iaitu beli saham) atau tidak. Jika ya, kena bayar jumlah wang yang diperlukan untuk membeli saham.

(Saya akan semak kembali dan kemas kini maklumat jika maklumat di atas tidak tepat).

Mohd Muzamil berkata...

salam..
thank bro great explaination..5 star.huhu
aku nk tnye call warrant nape x ikot syariah ea?even mother share die ikot shariah..
contoh : saham KNM..bur KNM CK xde lak simbol syariah..

ade org ckp klu ibu syariah anak mst syariah.aku xsure la.leh explain.

and lg satu ko ade x bloq yang ade update pasal call warrant. means latest update..tq bro!

Razali Razman berkata...

Pada pendapat saya, call warrant tak patuh syariah sebab ia dikeluarkan oleh pihak ketiga dan tiada saham baru yang diterbitkan oleh syarikat apabila waran dilaksanakan. Saham dibekalkan oleh syarikat pihak ketiga yang menerbitkan call warrant tersebut dengan membeli dari pasaran terbuka(kalau tak silap saya).

Pada pendapat saya ia merupakan instrumen perjudian yang tiada nilai ekonomi yang membolehkan pelabur meletakkan 'bet' terhadap pergerakan mother share.

Justeru, saya tak sentuh tentang pelaburan sebegini, melainkan untuk menjelaskan ciri-cirinya sahaja.