03 Disember, 2010

Teruskan Usaha atau Berhenti Separuh Jalan?

 Kebanyakan 'juara' berhenti perkara yang patut dihentikan dan berusaha gigih dalam perkara yang berpotensi membawa kejayaan untuk mencapai status 'terbaik di dunia'

(Nota: Memandangkan saya berada di luar negara untuk tempoh tertentu dan tidak berapa pasti akan mendapat sambungan Internet di sana, saya mengulang siar beberapa artikel yang saya anggap relevan. Semua ulasan dan soalan tetap dialu-alukan tetapi kemungkinan hanya akan dijawab apabila saya pulang)

Beberapa bulan lalu saya telah membaca buku 'The Dip' oleh Seth Godin. Dalam buku ini, beliau mendakwa bahawa untuk mencapai kejayaan, seseorang individu atau perniagaan perlu melalui satu fasa yang digelarnya 'The Dip' atau kemorosotan / prestasi mendatar sebelum akhirnya mencapai kejayaan.

Selain itu, mereka yang berjaya biasanya tahu bila untuk 'quit' atau berhenti dalam aktiviti yang tidak berfaedah atau yang telah menemui jalan mati. Golongan ini sentiasa berhenti melakukan perkara tidak berfaedah untuk mencapai kejayaan besar dalam perkara yang penting bagi mereka.

Akhir sekali, untuk mencapai kejayaan, individu hendaklah berusaha menjadi 'The Best in the World" atau terbaik di dunia dalam bidang mereka, kerana yang terbaik di dunia biasanya mendapat ganjaran/yuran/gaji yang jauh lebih besar daripada mereka yang dianggap 'average' atau biasa sahaja.

Sebagai contoh gaji CEO jauh lebih tinggi daripada pengurus besar manakala gaji yang diterima oleh Ronaldo jauh lebih tinggi (sehingga 100%) daripada pemain utama biasa, walaupun jika perbezaan prestasinya hanya 20 hingga 30%.

Malangnya untuk mencapai status "The Best in the World", banyak yang perlu dikorbankan termasuk berhenti pelbagai aktiviti lain yang tidak membawa manfaat untuk mencapai matlamat tersebut.

Selain itu, mereka yang cuba menjadi yang terbaik juga perlu melalui satu fasa yang dinamakan 'The Dip' di mana kita perlu tetap berusaha walaupun prestasi mendatar sehinggalah kita mencapai 'tipping point' atau satu takat di mana kejayaan besar akan menyusul.

Perkara ini dapat dilihat apabila kita memulakan perniagaan baru atau belajar kemahiran baru seperti bermain alat muzik, belajar bahasa baru atau aktiviti sukan baru. Peringkat permulaan amat menyeronokkan.

Tetapi akan sampai satu peringkat di mana peningkatan sukar dicapai dengan mudah lagi. Inilah fasa yang dinamakan 'The Dip'. Pada waktu inilah ramai yang akan berhenti. Jika anda sanggup berusaha keras dan mencari jalan memecah kebuntuan dan terus maju ke hadapan, ganjaran yang diterima apabila keluar daripada fasa ini adalah amat lumayan, kerana ramai yang lain telah berhenti.

Satu lagi perkara, 'The Best in the World' yang dimaksudkan bukanlah semestinya satu bidang luas yang membabitkan seluruh dunia. Anda boleh memilih bidang khusus di lokasi tertentu di mana anda adalah yang terbaik.

Sebagai contoh, matlamat saya ialah menjadi penulis kewangan Bahasa Melayu terbaik di dunia. Anda boleh lihat sini bahawa pesaing saya bukanlah penulis dari seluruh dunia, cuma mereka yang pakar dalam bidang kewangan dan pandai menulis dalam Bahasa Melayu. Justeru pesaing saya tidaklah ramai sangat, tetapi perkhidmatan ini masih diperlukan. Anda juga boleh memilih satu bidang dan menjadi pakar dalam satu cabang kecil bidang tersebut atau kombinasi dua bidang.

Kesimpulan daripada buku ini ialah:

1. Untuk mencapai kejayaan, anda akan melalui fasa sukar yang dinamakan 'The Dip' di mana kemajuan atau peningkatan sukar dicapai.

2. Untuk mencapai kejayaan dalam aktiviti yang paling bermakna bagi anda, hentikan segala kegiatan lain yang mengalihkan tumpuan dan masa anda daripada aktiviti yang paling penting.

3. Jika anda terus berusaha dan memecah kebuntuan dan seterusnya menjadi antara yang 'terbaik di dunia', ganjaran yang menanti anda amat lumayan.

4 ulasan:

Ahmad Azal Afarok berkata...

Salam perkenalan,
saya telah mengikuti blog tuan dan ia banyak memberi manfaat kepada saya sebagai pelabur. teruskan usaha anda.

AAA
www.BinaUsahawan.com

Razali Razman berkata...

Wasalam

Terima kasih. Saya akan link kepada blog saudara

mory181 berkata...

salam tuan haji,
bagi saya susah untuk mencapai sesuatu kejayaan. separuh hati nak berhenti, separuh hati lagi suruh teruskan. mungkin rezeki belum ada. mungkin ilmu dan pengalaman tak cukup untuk berjaya. emmmmmmmmmm...

mory181

Razali Razman berkata...

Slm,

Jgnlah panggil Tn Hj pulak...:)

Anyway, sebenarnya kena nilai sama ada aktiviti tersebut dapat memberikan kejayaan secara konsisten atau tidak. Cuba lihat siapa yang berjaya dalam bidang tersebut dan kaji kadar kejayaan berbanding kadar kegagalan. Selepas itu nilai sama ada ciri aktiviti itu sesuai dengan kekuatan dan sifat diri kita. Selepas itu buatlah keputusan untuk teruskan atau berhenti.