24 Mei, 2010

Bila masa paling sesuai untuk membeli?

'Market timing' adalah sesuatu yang sukar dilakukan

Penurunan pasaran saham kali ini telah membuka peluang untuk pelabur, terutamanya pelabur fundamental untuk mengintai nilai di pasaran.

Tetapi ramai yang menghadapi masalah menetapkan masa paling sesuai untuk membeli. Ada yang cuba menggunakan teknikal analisis dan membaca carta untuk mendapatkan kepastian.

Saya sendiri pun amat was-was walaupun sudah agak lama bersedia untuk membeli kerana takut pasaran akan jatuh lagi.

Bagi yang lebih cenderung untuk melabur untuk menggunakan nilai asas, mungkin kita boleh abaikan 'noise' daripada pasaran dan cuba perhatikan betul-betul nilai syarikat sasaran kita.

Umumnya kriteria utama saya ialah P/E di bawah 10 dan keuntungan yang meningkat pada tahun kewangan mendatang.

Jika anda perhatikan saham yang telah saya bincangkan dalam blog saya dalam tempoh enam bulan lepas, ada yang diperdagangkan pada Forward P/E di bawah 7 dan dijangka mencatatkan keuntungan lebih tinggi.

Justeru saham undervalued sekarang memang tak susah dicari. Tetapi dilema atau kebimbangan yang dihadapi pelabur ialah:

1. Beli sekarang dan saham turun; atau
2. Tak beli tetapi saham naik.

Saya tak tahu dalam jangka pendek pasaran akan naik atau turun. Tapi ada ramai pengulas lain yang mendakwa mereka tahu sama ada menerusi carta atau menerusi analisis ekonomi.

Tetapi pakar tersohor sekalipun boleh tersilap ramalannya. Ramai yang membuat kesilapan dengan tidak meramalkan kegawatan besar 2008-2009, malah ramai juga yang tidak meramalkan lonjakan saham pada akhir 2009.

Biasanya pakar yang meramalkan dengan tepat kegawatan ialah orang yang gagal melihat pemulihan!

Adalah sukar untuk 'time the market', iaitu menentukan masa yang paling sesuai untuk membeli. Peter Lynch dan Warren Buffet pun tak pandai melakukannya.

Jadi pada pandangan saya, jika anda lihat ada saham yang sangat undervalued dan anda rasa wajar untuk dibeli, saya rasa teruskan sahaja, dan nasihat ini saya turut tujukan kepada diri saya sendiri.

2 ulasan:

ROHADATUL AISY berkata...

Tuan, adakah keadaan pasaran sekarang juga dipengaruhi oleh lecen judi yang diluluskan baru-baru ni? Berdasarkan pengalaman tuan, dalam situasi sebegini, adakah stop lose juga perlu bagi saham2 yang berpotensi? Terima kasih.

Razali Razman berkata...

Tidak, bukan dipengaruhi lesen judi, tetapi lebih kepada faktor kegawatan di Greece, Sepanyol, Portugal dan Italy.

Saya tidak menggunakan stop loss. Saya hanya jual jika prestasi syarikat kurang baik, bukan jika harga saham turun, atau apabila harga saham sudah terlalu tinggi sehingga melebihi nilai sebenar.

Terpulang kepada anda untuk menggunakan stop loss. Saya rasa stop loss amat berguna bagi mereka yang tidak mahu ambil terlalu banyak risiko. Sebelum beli saham, tetapkan dulu kriteria di mana anda akan menjual saham, tak kiralah berasaskan stop loss atau berasaskan fundamentals. Lepas tu buat keputusan berasaskan ketetapan awal anda