28 April, 2010

Perlukah Ambil Pinjaman Peribadi?

Tawaran pinjaman peribadi semakin berleluasa

Sekarang ini kita melihat fenomena di mana bank, institusi kewangan dan juga organisasi pembiayaan lain (koperasi, peminjam wang berlesen, dll) suka menawarkan pinjaman peribadi kepada pengguna.

Nampaknya semua bank mahu menawarkannya dan sanggup memberikannya dengan pantas. Lihat sajalah namanya seperti Fast Cash, Express Cash, Quick Cash dan apa jua Cash.

Malah, ada yang boleh memberikan kelulusan sepantas 24 jam atau 48 jam, dan menyerahkan wang dalam masa seawal seminggu

Harus diingat bahawa pinjaman seperti ini biasanya diberikan tanpa sebarang cagaran, tetapi jumlahnya lebih kecil, iaitu antara beberapa ribu sehinggalah ke RM150,000.

Masalahnya dengan kemudahan ini ialah orang yang tiada sebab untuk mengambil pinjaman mungkin tergerak hati untuk mengambil pinjaman.

Mereka yang tidak perlu mengambil pinjaman tiba-tiba terdorong untuk membeli itu dan ini atau berbelanja semata-mata kerana kemudahan tersebut boleh didapati.

Kita perlu ingat bahawa pinjaman seperti ini sering diambil untuk perbelanjaan pengguna. Justeru aset yang dibeli menggunakan pinjaman tersebut ialah aset yang menyusut nilainya.

Saya bimbang sekiranya tawaran dan pengambilan pinjaman peribadi secara berleluasa akan menjadi detik permulaan kepada 'credit boom' dan seterusnya 'credit bubble' yang akan mengundang masalah besar dalam jangka panjang (Tapi pelabur tak perlu bimbang kerana ini tidak akan berlaku dalam jangka pendek disebabkan kekuatan Bank kita buat masa ini).

Pada pandangan saya hanya ada beberapa sebab yang munasabah untuk mengambil pinjaman peribadi:

1. Menjelaskan hutang kad kredit atau hutang lain dengan kadar lebih tinggi.
2. Untuk tujuan penting atau kecemasan, contohnya membiayai pengajian anak sekiranya tiada pilihan lain atau membiayai kos perubatan.
3. Sekiranya anda mahu mengambil kesempatan daripada peluang perniagaan atau pelaburan besar yang anda pasti atau yakin akan memberikan keuntungan lebih tinggi daripada kadar pinjaman.

Cubalah sedaya-upaya untuk mengelakkan pinjaman peribadi. Jangan beli barang yang tidak mampu anda beli secara tunai...melainkan jika anda benar-benar perlu. Biarlah kita hidup sekadar yang termampu.

6 ulasan:

mohamadkholid berkata...

rasanya susah cari org yg tidak ambil pinjaman peribadi sekarang ni. sudah jadi lumrah

Razali Razman berkata...

salam,

Memang betul tu...dan saya tulis rencana ni untuk membuatkan pembaca berfikir sama ada mereka benar-benar memerlukannya atau tidak

Tanpa Nama berkata...

tuan razali..
relevan tak kalau ambil pinjaman peibadi untuk dilaburkan ke pasaran saham?

-korok-

Razali Razman berkata...

Salam,

Pada pendapat saya ia tidak patut dilakukan kerana mengundang risiko yang tinggi.

Pengecualiannya ialah jika anda benar-benar pakar pelaburan dan anda tahu apa yang anda lakukan dan risiko yang anda ambil. Kadang-kadang ia boleh menjadi...tapi saya ulangi risikonya amat tinggi.

Tanpa Nama berkata...

salam.
Adakah pelu buat pinjaman peribadi utk simpan ke dlm ASB atau pembelian emas?

Razali Razman berkata...

wasalam

Pada pandangan peribadi saya tidak perlu, tidak patut dan mungkin tidak patuh syariah...tapi pandangan terakhir tersebut kena dapat pengesahan daripada pakar syariah.