28 Mac, 2010

Mengumpul Maklumat Mengenai Saham

Maklumat kini mudah didapati pelabur kecil

Internet kini memudahkan pelabur kecil untuk mendapatkan sebarang maklumat mengenai saham dan membuat analisis sendiri. Apabila kita mendapat idea atau tips saham, jangan terus beli. Sebaliknya kumpul seberapa banyak maklumat dan buat kajian terlebih dahulu.

Biasanya idea pertama boleh didapati daripada mana-mana, sama ada laporan penyelidikan, saudara-mara, broker, The Edge, theedgedaily.com, akhbar harian atau pun pemerhatian sendiri. Satu lagi cara saya mencari saham undervalued ialah dengan membaca buku Dynaquest Stock Performance Guide. Selain itu kita juga boleh dapat idea daripada forum dan juga rakan-rakan online.

Dari mana kita dapat tips atau idea itu tidak penting, tapi yang penting ialah apa yang kita buat selepas itu.

Berikut ialah cara saya mengumpulkan maklumat:

1. Kunjungi laman web syarikat untuk dapatkan maklumat latar belakang mengenai syarikat.

2. Buat pencarian berita terkini syarikat menerusi enjin carian.

3. Pergi ke laman web Bursa Malaysia dan muat turun dan baca laporan tahunan (kalau tiada di laman web syarikat).

4. Kemudian dapatkan laporan suku tahunan terkini dan buat unjuran pendapatan sesaham (EPS) tahunan berasaskan laporan tersebut.

5. Jika idea berasaskan laporan penyelidikan, rujuk balik laporan tersebut, kalau tidak cari dalam pangkalan data online broker anda kalau-kalau ada laporan penyelidikan mengenai syarikat tersebut. Biasanya theedgedaily ada siarkan laporan penyelidikan syarikat tertentu. Bursa Malaysia pun ada skim laporan penyelidikan percuma tapi tak banyak syarikat yang diliputi.

6. Kemudian saya pergi ke Bursastation.com untuk melihat carta. Anda boleh menggunakan carta yang diberikan online broker anda atau penyedia perkhidmatan lain. Kalau tak langgan, guna shareinvestor.com yang berikan perkhidmatan percuma (tapi tak banyak fungsi). Carta ini bukan ditinjau untuk buat analisis teknikal tetapi untuk dapat idea tentang pergerakan harga, volatiliti dan sentimen pelabur terhadap saham berbanding prestasinya dan juga indeks pasaran.

7. Selepas itu saya lihat pengumuman lain yang dibuat oleh syarikat di laman web Bursa Malaysia (seperti belian balik saham, siaran akhbar dan sebagainya).

Selepas membuat analisis, saya akan tentukan sama ada saham tersebut sesuai untuk dibeli.

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tuan,
Bagaimana nak menjangkakan saham2 yang akan memberikan bonus. Terima kasih.

Razali Razman berkata...

Salam,

(harap dapat memberi nama atau nickname)

Sebenarnya kita tak boleh jangka dengan tepat cuma dengar khabar angin sahaja, itupun susah.

Tapi bonus ini sebenarnya tiada nilai bagi pemegang saham. Bila saham bonus disenarai, harga saham akan jatuh berasaskan nisbah saham bonus yang diberi. Net effectnya sama.

Tetapi apabila saham bonus diumumkan, tidak dinafikan bahawa ada kecenderungan harga saham naik, kerana masih ada pelabur yang ingat saham bonus ini menguntungkan mereka. Penerangan lanjut ada dalam buku saya Panduan Bijak Melabur.

ROHADATUL AISY berkata...

Salam,

Tuan, boleh kongsi ilmu berkenaan penggunaan capped price, terima kasih.

Razali Razman berkata...

Wasalam Rohadatul,

Saya akan cuba jawab tetapi terlebih dahulu boleh tak terangkan dalam konteks apa capped price ini? Atau boleh berikan satu contoh supaya saya tahu konteksnya.

Terima kasih

ROHADATUL AISY berkata...

Contohnya saya membeli saham MYEG sebanyak 23 lot melalui perkhidmatan online stock Maybank SIC dengan harga semasa 0.43. Apabila saya memiliki saham tersebut saya dapati dalam portfolio saya ada maklumat capped price yang diletakkan oleh SIC, katakan 0.415. Apakah maknanya dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan.Terima kasih.

Razali Razman berkata...

Salam,

Sebenarnya capped price ini hanya relevan kepada pelanggan yang mempunyai kemudahan share margin financing.

Share margin financing ialah pembelian saham yang dibuat menggunakan kemudahan pembiayaan oleh bank, bersandarkan tunai atau saham yang sudah anda pegang.

Menurut seorang broker dari Maybank, nilai capped price ini diletakkan oleh bank sendiri berasaskan kualiti sesuatu saham.

Sebagai contoh, sesetengah saham diberi capped price 100% daripada nilainya tetapi saham PN17 umpamanya diberikan nilai 0%.

Nilai tersebut mewakili berapa banyak margin financing yang sanggup diberikan oleh bank untuk urus niaga menerusi share margin financing, bersandarkan saham tersebut.

Bagi saya capped price tidak relevan kerana saya tidak menggunakan share margin financing.

Jika anda menggunakan share margin finanicing, berhati-hati kerana risiko melabur secara hutang adalah tinggi.