08 Julai, 2009

Perubahan Komposisi Indeks Komposit

Nilai indeks sama, tetapi diwakili hanya 30 syarikat

Pada 6 Julai lepas, satu perubahan penting telah dibuat di pasaran saham Malaysia, iaitu Indeks Komposit Bursa Malaysia yang dulunya terdiri daripada 102 saham telah ditukar menjadi FTSE Bursa Malaysia KLCI atau singkatannya FBM KLCI yang mengandungi hanya 30 saham.

Walaupun nilai indeks ditetapkan pada nilai sama dan namanya juga masih ada singkatan KLCI di dalamnya, indeks ini sebenarnya jauh berbeza daripada indeks lama. Nilai indeks dirangka supaya sama untuk membolehkan orang ramai membuat perbandingan dengan KLCI yang lama dan supaya tidak menjejaskan perbandingan sejarah kerana KLCI telah wujud sekian lama.

Saham yang dimasukkan dalam indeks ini ditentukan berasaskan modal pasaran yang boleh dilaburkan. Selain itu, saham-saham yang terpilih juga perlu mematuhi syarat pengapungan bebas (free float) dan kecairan (liquidity). Ini untuk memastikan saham dalam indeks adalah saham yang aktif diperdagangkan.

Persoalannya ialah bolehkah 30 saham mencerminkan pasaran saham secara umumnya? Saya rasa tidak mungkin dan saya cadangkan bagi pelabur yang mahu meninjau prestasi pasaran secara keseluruhan, sila rujuk kepada indeks FBM 100, yang terdiri daripada 100 saham dengan modal terbesar di Bursa Malaysia. Pada pandangan saya, indeks ini lebih mencerminkan prestasi pasaran pada sesuatu masa dan lebih mirip denga KLCI yang lama.

Sekarang ini, jika dilihat pada indeks Bursa, kebanyakannya sudah ditukar kepada indeks FTSE. Antara indeks lain yang boleh ditinjau selain daripda FBM KLCI dan FBM 100, ialah FBM Small Cap, yang meliputi hampir semua syarikat lain di dalam Indeks selain daripada 100 syarikat terbesar dan FBM Emas yang meliputi hampir 98% daripada semua saham di Bursa Malaysia.

Bagi saham patuh syariah pula, indeks yang paling relevan ialah Indeks FBM Hijrah yang terdiri daripada 30 syarikat dengan modal pasaran terbesar yang mematuhi syarat pengapungan bebas dan kriteria syariah antarabangsa. Satu lagi indeks patuh syariah yang lebih umum, ialah FBM Emas Syariah, yang terdiri daripda semua syarikat di dalam indeks FBM Emas yang patuh syariah.

Walaupun umumnya hanya satu dua indeks utama disebutkan apabila kita menontong atau membaca laporan pasaran saham, gambaran sebenar prestasi pasaran boleh dipantau daripada prestasi indeks lain. Kadangkala pada satu hari perdagangan, saham-saham mewah naik, sedangkan kebanyakan saham lain turun. Justeru, untuk mendapatkan gambaran sebenar, adalah lebih baik untuk melihat lebih daripada satu indeks.

2 ulasan:

azhar berkata...

ada tak apa2 kesan dari segi naik turun indeks semasa proses pertukaran antara indeks KLCI dengan FBM KLCI yang berasaskan FTSE ini??

apakah dengan memperkenalkan indeks berasaskan FTSE Bursa tiada indeks utama??

Razali Razman berkata...

Salam Sdr Azhar,

Tidak ada kesan dari segi nilai angka sebab nilai indeks telah dirangka supaya sama dengan KLCI lama, walaupun jumlah syarikatnya berbeza.

Indeks utama pasaran ialah FBM KLCI;
Indeks utama syariah ialah Indeks FBM Hijrah