16 Julai, 2009

Menabung Secara Automatik

Membina Harta Secara Berkala Tanpa Disiplin

Saya baru sahaja membaca buku The Automatic Millionaire oleh David Bach yang mengutarakan hanya dua konsep asas yang diketahui hampir semua orang tetapi ditambah dengan satu pembaharuan penting, iaitu 'Make It Automatic', atau lakukannya secara automatik.

Ramai yang sudah mengetahui tentang konsep tabung 10% daripada pendapatan atau konsep "pay yourself first" iaitu membuat tabungan dahulu, sebelum membelanjakan wang gaji atau pendaptan. Namun ramai sukar melakukannya kerana apabila wang gaji masuk terdapat pelbagai keperluan, hutang dan bayaran yang perlu dijelaskan.

Justeru, penulis mencadangkan agar kita melakukannya secara automatik. Iaitu buat arahan tetap (sama ada pergi ke bank atau melakukannya menerusi Internet) untuk menabung / melabur wang anda setiap bulan. Bagi golongan Bumiputera, ini anda boleh memindahkan wang anda ke ASB/Tabung Haji/Unit Amanah (boleh dilakukan menerusi Internet jika anda menggunakan Maybank2U, saya tidak pasti tentang bank lain). Bagi bukan Bumiputera, mereka boleh melabur dalam unit amanah.

Konsep ini sama seperti membayar cukai atau KWSP. Potongan dibuat secara automatik. Anda tidak nampak wang anda. Dengan cara ini, walaupun anda malas membuat belanjawan peribadi, malas pergi ke bank dan membuat tabungan setiap bulan, anda masih membina harta anda. Pendek kata, anda tetap menabung walaupun anda tidak berdisiplin.

Kita boleh bercakap tentang segala konsep pelaburan dan kewangan canggih tetapi hakikatnya ialah untuk hidup senang pada zaman persaraan, kita perlu membina asas dahulu dan hakikatnya menabung secara automatik adalah idea asas yang terlalu mudah sehingga mungkin dipandang rendah oleh sesetengah pihak.

Walau apa pun, saya sendiri bertekad untuk mengikuti konsep mudah yang dicadangkan mulai bulan depan. Sebelum ini saya tidak melakukannya secara automatik, dan saya dapati ada bulan yang saya terlupa menabung dan ada kalanya saya gunakan wang tabungan untuk tujuan lain.

Selain itu, penulis juga mencadangkan agar pinjaman perumahan dibayar dua minggu sekali (secara automatik) dan mengesyorkan pembayaran zakat (tithe) secara automatik. Cuba bayangkan, penulis barat pun mencadangkan bayaran zakat secara automatik! Mungkin kerana jika kita bayar setahun sekali, kita mendapati wang yang kita simpan untuk zakat sudah digunakan untuk tujuan lain.

Kadangkala, dalam usaha kita mempelajari dan mengamalkan konsep atau kaedah canggih, kita terlupa dengan konsep asas dan mudah yang boleh membawa manfaat kepada kita. Saya syorkan anda mencuba kaedah ini.

4 ulasan:

F.....L..... 66 berkata...

assalamualaikum...
abg razali
tq perkongsian yg amat berharga.

blogresipi berkata...

idea yang menarik. kalau ada maybank2u boleh juga terus transfer duit dari akaun maybank ke ASB. caj RM1. jadi sekali transfer biarlah sekurang-kurangnya RM100 untuk minimakan caj.

RosyFitrah berkata...

Saya guna kaedah Loan ASB bagi mencapai pulangan maksima dan meraih bonus ASB yg lebih tinggi. Selain itu loan ASB juga mempunyai perlindungan takaful bagi menjamin kesejahteraan tanggungan saya. Sudah tentu juga ansuran bulanan loan ASB tersebut adalah mengikut kemampuan saya.

Razali Razman berkata...

Salam semua,

Fahmi...t.kasih.

blog resipi...idea yang baik. Tapi RM1 sebenarnya tak mahal. Saya kira-kira kalau saya pergi bank...ambil masa 30 min hingga 45 minit. Bagi saya kos masa ini jauh melebihi RM1..belum mengambil kira kos minyak dan juga parking (kalau perlu).

Rosy...pinjaman ASB adalah satu daripada cara yang amat baik untuk memaksa diri kita menabung...cuma saya tak melakukannya kerana ragu-ragu tentang sama ada pinjaman yang ditawarkan patuh syariah atau tidak, walaupun baru-baru ini 'pembiayaan ASB Islam' ada ditawarkan. Hujah menyokong dan menentang panjang lebar. Konsep Al-Inah yang digunakan menjadi pertikaian. Tetapi walau apa pun, ia diluluskan Majls Syariah bank jadi saya rasa kalau apa-apa pun, tanggungjawab terletak di tangan mereka.