21 Jun, 2009

Labur Unit Amanah Guna Simpanan KWSP?

Boleh dilakukan tetapi pelabur perlu berwaspada

Ada beberapa orang kawan bertanya pendapat saya tentang pelaburan dalam unit amanah menggunakan wang KWSP. Umumnya saya mengatakan lebih baik jangan melabur kerana wang KWSP ialah wang simpanan hari tua sedangkan apabila melabur dalam unit amanah, terdapat risiko kerugian, walaupun potensi pulangannya lebih tinggi.

Pendapat saya masih tetap sama, tetapi bagi mereka yang masih mahu melabur, saya cadangkan masa terbaik untuk melabur ialah sekarang disebabkan harga saham masih berada pada tahap yang berpatutan kerana ekonomi belum pulih sepenuhnya.

Waktu anda beli adalah amat penting. Sekiranya anda menggunakan wang KWSP pada pertengahan tahun lepas untuk membeli unit amanah, anda sudah pasti akan mengalami kerugian dan apabila mengambil kira kos belian, pulangan janka panjang anda pasti terjejas.

Jadi apakah jenis dana yang boleh dibeli? Saya cadangkan pelabur melabur dalam dana ekuiti menyeluruh (bukan small cap dan sebagainya), yang dikendalikan oleh syarikat yang bereputasi tinggi dan pegang untuk jangka panjang. Jika hendak tambah pelaburan, tambah hanya apabila keadaan pasaran ekuiti berada di tahap yang rendah.

Tetapi anda perlu ingat bahawa apabila anda melabur tabungan KWSP anda dalam unit amanah, terdapat potensi kerugian dan anda perlu membayar kos untuk membeli pelaburan. Jadi tiada jaminan prestasi dana yang anda pilih boleh mengatasi dividen KWSP dalam jangka panjang.

Akhir kata, pada pendapat saya, jika anda mahu melabur dalam unit amanah, gunakan wang tabungan biasa dan bukannya simpanan KWSP anda. Tetapi jika anda tetap mahu melabur juga, laburkan wang tersebut dalam keadaan sekarang, iaitu apabila harga-harga saham masih berada di tahap yang rendah dan berpatutan.

2 ulasan:

CheeWee berkata...

Saya adalah 'regular' sejak tahun 2006. Setiap 3 bulan,saya akan mengeluarkan % mengikut formula yg telah ditetapkan oleh KWSP. Prestasi semasa adalah 'mix'.. tapi tidak khuatir kerana pelaburan ini adalah untuk jangka masa panjang sehingga 55 thn! Bagi saya, pelaburan dlm Public Mutual merupakan tabung 'KWSP' yg kedua! (diversified)

Razali Razman berkata...

Kalau prestasi sekarang dalam kegawatan ekonomi adalah mix...kemungkinan besar dalam tempoh lima tahun akan datang prestasinya jauh lebih baik!