08 Februari, 2009

Pencakar Langit Tertinggi Tanda Kegawatan?

Bila manusia mula bemegah, tanda ekonomi akan rebah

Semalam, saya membaca satu artikel yang diterbitkan dalam sisipan StarBizWeek (akhbar The Star) bertajuk The SkyScraper Curse. Menurut penulisnya, William Pesek, terdapat kaitan (walaupun tidak terbukti secara saintifik) antara krisis kewangan dan usaha membina bangunan tertinggi di dunia.

Beliau sudah tentulah merujuk kepada Burj Dubai, yang telah mengatasi Taipei 101 sebagai bangunan tertinggi di dunia. Sepanjang pembinaan, harga minyak begitu tinggi justeru tidak ada siapa yang mempersoalkan ledakan pembangunan yang berlaku di Dubai. Namun pada harga minyak sekarang telah jatuh sehingga di bawah US$40, maka krisis juga sudah mula dialami di sana.

Pemerhatian tidak boleh dibuat kepada satu peristiwa sahaja. Beliau juga merujuk kepada bangunan lain dan krisis lain, termasuk Kuala Lumpur pada 1997, Chicago pada 1974, New York pada 1930 dan juga Tower of Babel dalam Kitab Injil. Beliau turut menyentuh tentang China, yang menempatkan lima daripada sepuluh bangunan tertinggi di dunia. Kegawatan juga sudah menular ke sana.

Pembinaan bangunan tertinggi ini sebenarnya melambangkan kredit mudah dan keinginan untuk bermegah. Umumnya tanda-tanda krisis akan berlaku dalam apa jua sektor ialah apabila manusia mula bertindak secara berlebih-lebihan, harga naik secara melampau atau sesuatu sektor berkembang begitu pesat sehingga ke tahap pertumbuhan yang tidak boleh dikekalkan.

Lihatlah sahaja harga rumah di AS, harga minyak dan juga harga minyak sawit mentah yang setiap satunya naik mendadak sehingga pertengahan 2008. Jika kita meninjau sejarah terkini, kita juga boleh melihat ledakan dotcom pada 2000/2001 dan krisis kewangan Asia 1997/1998. Semuanya kerana kenaikan aset yang tidak boleh dikekalkan atau pemberian kredit yang tidak terkawal, yang juga menjadi punca mengapa harga-harga aset naik dengan ketara.

Kesimpulannya begitu mudah. Apabila ekonomi telah kembali pulih kelak, ramai akan mula melupakan tentang krisis. Kenaikan harga aset akan berlaku kembali, tetapi kita tidak tahu lagi dalam bentuk apa atau dalam sektor mana. Cuma kalau orang lain sudah leka dengan situasi ini, kita pastikan bahawa kita tidak mudah lupa supaya tidak rugi dan dapat melindungi aset kita.

4 ulasan:

Pok Li berkata...

Menarik. Begitu juga banyak projek bangunan baru ditangguhkan. Ada kaitan dengan kemampuan negara ke sekarang ni?.

RAHISAM RAMLI berkata...

Salam Saudara Razali.

Posting yang menarik. Terutama apabila melihat dimensi kegawatan apabila tanda-tanda bila melihat kenaikan taraf ekonomi.
Tahniah juga artikel saudara di DE, tips yang sangat berguna.

Razali Razman berkata...

Salam Pok Li,

Sepatutnya dalam keadaan ini, kerajaan tidak harus menangguhkan projek,tetapi mempercepatkan pelaksanaan projek untuk merangsang ekonomi.

Slm Sdr Rahisam

Terima kasih kerana membaca artikel saya di DE.

Muhammad Azli Shukri berkata...

lama tidak bertanya khabar.