13 Januari, 2009

Hutang Bermanfaat dan Hutang Membinasa

Adakah hutang anda membantu meningkatkan aset?
Atau adakah hutang menyebabkan aset anda menyusut?


Bukan semua hutang atau pembiayaan sama. Hutang boleh membina atau membinasa. Anda perlu menilai hutang anda untuk memastikan tahapnya berada pada kadar yang berpatutan. Selain itu, anda juga perlu mengkaji segala hutang untuk melihat sama ada ia bermanfaat atau tidak. Apa sebenarnya maksud saya? Bagaimana sesuatu hutang boleh membawa manfaat atau membinasa?

Hutang yang membawa manfaat dan menambah aset ialah seperti hutang yang ditanggung untuk membeli atau membiayai aset yang meningkat nilainya. Sebagai contoh ialah pembiayaan rumah atau hartanah. Apabila anda membayar hutang, anda melunaskan dua bahagian, satu ialah kos pembiayaan (sama ada kadar keuntungan, kadar sewa atau kadar faedah) bergantung kepada jenis pembiayaan, dan satu lagi ialah wang pokok yang dipinjam. Apabila wang pokok dilunaskan, anda sebenarnya meningkatkan ekuiti atau pemilikan dalam rumah anda. Hartanah pada umumnya meningkat nilainya secara beransur-ansur. Justeru, anda berhutang untuk sesuatu yang membawa manfaat kepada anda.

Pembiayaan perniagaan juga merupakan satu lagi jenis hutang yang berpotensi membawa manfaat, selagi peminjam mampu mencatatkan untung daripada perniagaannya yang melebihi kos pembiayaan. Pembiayaan yang mampu meningkatkan keuntungan syarikat akhirnya akan menambahan nilai syarikat (firm value), seterusnya membawa kepada peningkatan aset bagi pemegang sahamnya. Namun, jika syarikat rugi, maka hutang yang bermanfaat boleh menjadi hutang yang membinasakan syarikat.

Hutang yang tidak bermanfaat pula ialah hutang pengguna seperti kad kredit dan pinjaman peribadi. Sebagai contoh, berhutang untuk membeli TV canggih, perabot dan membuat perbelanjaan isi rumah, atau berhutang untuk pergi melancong. Dalam keadaan ini, aset peminjam tidak akan meningkat, sebaliknya menyusut. Malah barangan yang dibeli juga pantas susut nilainya. Selain itu, hutang seperti ini juga dikenakan kos yang paling tinggi. Kalau boleh elakkan hutang seperti ini.

Sementara itu, ada hutang yang terletak di antara kedua-dua ekstrim. Sebagai contoh, pembiayaan untuk membeli kereta, pembiayaan untuk belajar atau hutang kerana terpaksa menjalani rawatan. Hutang kereta tidak akan menambahkan aset anda, kerana nilai kereta akan beransur-ansur menyusut, tetapi anda memerlukan kenderaan untuk bergerak, terutamanya di Malaysia. Begitu juga pembiayaan untuk melanjutkan pelajaran. Walaupun, ia tidak membina aset ketara, ia tetap meningkatkan aset tidak ketara, iaitu kebijaksanaan dan kelayakan anda. Dengan kelayakan yang anda perolehi, anda boleh mendapatkan gaji lebih besar dengan potensi untuk terus maju lagi.

Justeru ada baiknya jika kita mengkaji segala hutang kita (jika ada). Pastikan sebahagian besar daripada hutang kita digunakan untuk membiayai aset yang meningkat nilainya dan cuba elakkan hutang yang membinasa.

1 ulasan:

ZulBM berkata...

Saya bersetuju dgn tulisan sdra. Selalunya orang menyatakan bahawa hutang membeli hartanah adalah aset dari dari sudut lain, hartanah itu mungkin sebagai aset atau liabiliti. Apa yang di katakan aset ialah apabila ianya memberikan kita pulangan/paif income tetapi ianya akan menjadi liabiliti apabila ianya tdk memberikan pulangan malahan nak disewakan pun orang tak mahu atau tidak mencapai jumlah ansuran kita setiap bulan.

Jadi lokasi, lokai, lokasi adalah begitu penting sekiranya kita ingin berhutang untuk membeli hartanah sebab ianya mungkin aset atau liabiliti pada kita.