25 Januari, 2009

Elakkan Rasuah Dalam Perniagaan

Kita perlu cuba sedaya upaya mencegahnya

Rasuah bukan sahaja terhad kepada perniagaan besar dan dunia politik, tetapi perniagaan paling kecil sekalipun tidak terlepas daripada cengkamannya. Dalam kesibukan MACC untuk membendung masalah politik wang, kita juga perlu meninjau sama ada perniagaan kita atau syarikat majikan kita terlibat dalam rasuah.

Beberapa tahun dahulu, ada seorang kenalan mahu membuka perniagaan di sebuah lot kedai. Untuk membuka perniagaan, beberapa lesen diperlukan daripada pihak berkuasa. Bagi memastikan segalanya berjalan lancar, sudah tentulah wang perlu dihulurkan. Persoalan saya ialah bolehkah perniagaan diteruskan tanpa membayar segala duit kopi ini. Mungkin boleh tetapi memerlukan kerja lebih keras dan memakan masa lebih lama, selain daripada sikap 'persistence' untuk memastikan anda mendapat kelulusan dalam masa yang sewajarnya.

Saya tidak begitu faham justifikasi yang diberikan oleh penerima rasuah atau duit kopi kepada diri mereka. Adakah mereka menganggap wang ini hak mereka? Atau adakah gaji rendah dijadikan alasan untuk menerima sumbangan 'ikhlas' daripada peniaga. Apa yang saya tahu ialah duit kopi (walaupun sekecil mana), adalah salah di sisi undang-undang dan lebih penting lagi, salah dari segi agama, bukan sahaja agama Islam. Justeru, saya tidak begitu faham bagaimana duit kopi ini boleh dianggap sebagai perkara biasa oleh penerimanya.

Saya sendiri pernah berhadapan dengan masalah rasuah walaupun perniagaan saya tidak mempunyai kehadiran fizikal. Permintaan yang saya terima ialah untuk rasuah yang dinamakan 'kickback' dan juga pengeluaran 'dummy invoice'. Dalam kes pertama, seorang dalam organisasi pelanggan akan meminta invois lebih tinggi dikeluarkan daripada harga biasa. Selepas bayaran dibuat, beliau meminta sedikit 'upah' kerana telah memilih syarikat saya untuk kerja tersebut. Apabila saya bercakap dengan kawan lain, ini dianggap lumrah perniagaan, tetapi saya sekarang tidak lagi mahu menerima urusan seperti ini.

Satu lagi permintaan ialah untuk 'dummy invoice', iaitu invois lebih tinggi untuk dibentangkan kepada pihak ketiga, dan satu invoice sebenar untuk kegunaan dalaman pelanggan. Saya tak tahu sama ada ini rasuah atau hanya amalan tidak beretika. Dulu saya menerima permintaan seperti ini daripada pelanggan tetapi sekarang tidak lagi.

Masalah dengan rasuah, selain daripada (kesalahan undang-undang dan dosa) ialah jika orang sudah tahu anda sanggup melayan kerenah mereka, maka mereka akan meminta lagi secara berulang. Akhirnya anda akan terjerat dengan perangkap rasuah dan tidak boleh beroperasi tanpanya. Mungkin kita boleh buat keputusan untuk berhenti serta-merta, terima kerugian awal yang dialami, dan bina semula perniagaan berasaskan amalan beretika. Siapa tahu, Insyallah perniagaan kita mungkin lebih maju daripada sebelumnya.

2 ulasan:

fahmi latiff berkata...

a'kum

fahmi pernah bekerja di KLIA INTL sepang sebagai agent courier... disana kalau agent tak bagi rasuah cargo tak jalan... fahmi tak nak cakap saper tak elok... semua pihak terlibat orang atas, orang bawah, orang tengah semuannya nak duit kopi.... sampai dah tahap menyampah... nak buat urus niaga... tapi dah lumrah... kalau fahmi tak bagi duit kopi cargo tak jalan...

dan fahmi juga setuju dengan pendapat En Razali... sebab kalau kita bagi muka esok2 nak lagi...

pasal invois tu memang selalu sangat berlaku di airport.. terutamanya cargo la pengalaman fahmi kat sana lebih dari 9 thn... semuannya kena pakai duit...:(

kalau kita bil lebih kat customer nama kita busuk pulak... sedangkan kos duit kopi saper nak tanggung...

dan ada juga kawan2 yg bagi bisnes kat fahmi tapi customer dia la yg cari kan... jadi terpaksa la fahmi lebihkan harga yg sepatutnya...

lama2 nama kita yang busuk orang ingatkan service kita mahal sebenarnya... kos duit kopi yg terpaksa ditanggung oleh customer..:(

hehehe... tq En Razali..:)

Pok Li berkata...

Meletakkan harga yang berlainan daripada harga asal dalam invoice, kesalahan dalam kategori memalsukan dokumen. Ia juga salah satu kesalahan yang diletakan dibawah bidang kuasa SPRM. Ia lebih terarah kepada penipuan daripada rasuah tapi tetap salah dari segi-undang-undang dan syarat.