14 Disember, 2008

Meninjau Kedudukan Aset Anda

Kedudukan Aset Memudahkan Perancangan Kewangan

Ramai orang memandang gaji, pangkat atau jawatan, kereta dan perhiasan dalam rumah sebagai ukuran status keduniaan seseorang. Semua ini dijadikan kayu pengukur yang menentukan kedudukan atau taraf seseorang di mata kumpulan tertentu dalam masyarakat. Tetapi adalah kayu pengukur ini tepat? Saya pun tak berapa pasti tetapi secara peribadi, kedudukan aset seseorang lebih penting.

Kadangkala kita sibuk mengejar gaji lebih tinggi, pangkat lebih besar, kereta lebih mewah, rumah lebih gah dan perhiasan lebih cantik sehingga terlupa untuk meninjau kedudukan aset kita. Apabila naik sahaja gaji, kita pun 'menaik taraf' perbelanjaan kita. Mungkinkah golongan tertentu lebih mengutamakan harta benda yang disebutkan ini kerana ia mudah dipaparkan dan dilihat oleh orang lain?

Dalam kegairahan mengejar status, janganlah lupa untuk meninjau kedudukan aset kita. Bagi Thomas Stanley penulis buku The Millionaire Next Door, berasaskan penyelidikannya orang yang benar-benar kaya ialah orang yang banyak aset, bukannya orang yang bergaji besar. Dan kebanyakan orang kaya ini hidup di bawah kemampuan sebenar mereka. Sambil berusaha meningkatkan jumlah pendapatan, pastikan kedudukan aset sentiasa diawasi.

Kalau boleh, buat satu penyata aset dan liabiliti, menyenaraikan segala aset dan liabiliti anda. Kemudian kaji setiap aset, adakah aset itu meningkat nilainya atau berkurangan nilainya. Sebagai contoh, kereta ialah aset yang nilainya semakin berkurangan, begitu juga perabot, perhiasan rumah dan sebagainya. Jadi anda juga perlu mengenal pasti aset mana yang bermanfaat dan tidak bermanfaat.

Kadangkala orang yang bergaji besar akan mempunyai kedudukan aset bersih (aset tolak liabiliti) amat kecil atau negatif, kerana hutang yang besar. Dengan meninjau kedudukan aset, anda akan dapat memantau kedudukan kewangan anad dan mengambil langkah untuk mula membina dan mempelbagaikan aset. Perlu diingat bahawa satu hari nanti anda perlu bersara. Apabila bersara, aset anda boleh memberikan pendapatan pasif, terutamanya apabila tiada lagi gaji bulanan besar diterima.

Penyata ini juga akan menggalakkan kita hidup di bawah atau sekadar dengan kemampuan kita. Jika gaji naik, belanja pun turut naik, aset anda tidak akan meningkat sehinggalah anda bersara. Kita tidak boleh mengharapkan wang KWSP sahaja, kerana kajian menunjukkan bahawa wang ini dihabiskan dengan pantas oleh pesara.

(Aset termasuk aset tetap seperti rumah, tanah, kereta, emas dan sebagainya, dan juga aset cair seperti wang tunai, saham, unit amanah dll)

Nota: Artikel terbaru saya telah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi keluaran Disember.



4 ulasan:

Pok Li berkata...

Insya Allah saya akan beli Dewan Ekonomi dan melihat ulasan saudara. Saya juga bersetuju mengenai wang pampasan atau KWSP yang pantas di habiskan oleh pesara. Mungkin entri baru saya akan menceritakan kisah berkaitan persaraan ini.

RAHISAM RAMLI berkata...

Salam saudara Razali- TAHNIAH juga artikel saudara di DE bulan ni, sy antara pelanggan setia DE. Boleh lihat juga artikel sy pada DE November, dan insyaAllah Januari 2009 nanti.
Entry terbaru ni menarik sebab ramai yg keliru, termasuk saya. Aset sebenarnya menjadikan kesenangan, tetapi tak sedar aset jadi liabiliti kerana ada susut nilainya.

Zul BM Asasteguh berkata...

Tahniah sdra. Nampaknya saya ketinggalan melanggan Majalah Dewan Ekonomi. Kejap lagi akan ke Alamanda utk memilikinya. Bravo sdra.

Sesungguh dari rekod KWSP, pesara menghabiskannya dalam masa 3 tahun aje...itupun kira lambat jugak kot.

http://www.asasteguh.com

Razali Razman berkata...

Terima kasih Pok Li, Rahisam, Zul.

Saya dah baca artikel Sdr Rahisam bulan lepas, dan amat bersetuju dengannya. Bagi bulan Januari, saya pun diminta menghantar artikel tetapi tak pasti sama ada disiarkan atau tidak disebabkan Azli bukan lagi Editor Dewan Ekonomi.

Sdr Zul, memang betul wang KWSP begitu pantas habis...sehingga ramai yang terpaksa bekerja semula pada usia emas