11 Disember, 2008

Apa dah jadi dengan MK Land?

Saham jatuh teruk ke tahap 15 sen

Sejak 1997, MK Land telah membina nama sehingga menjadi sebuah syarikat pemaju perumahan terkenal. Dua orang tokoh yang menajui syarikat ini ialah Tan Sri Mustafa Kamal dan juga Datuk P. Kasi. Namun begitu, sejak 3-4 tahun lepas, MK Land dilanda masalah dan sahamnya jatuh ke tahap antara 10 sen hingga 20 sen sekarang. Masalah telah mula dialami sebelum kegawatan ekonomi dunia berlaku dan kini dengan ekonomi yang kurang pesat dan hartanah mewah yang dijual oleh syarikat, agak sukar untuk melihat kebangkitan semula MK Land.

Saya mula mengenali MK Land semasa bekerja buat masa yang singkat sebagai juruaudit di Arthur Andersen pada awal 1999. Saya telah mengaudit syarikat dan tertarik dengan potensinya. Pada masa itu syarikat baru sahaja mula meneroka pembangunan di kawasan Damansara Damai, yang masih diliputi hutan. Sejak itu, MK Land telah mula berkembang sebagai sebuah syarikat pemaju yang membina kediaman yang mampu dimiliki oleh rakyat. Syarikat juga baru membangunkan Bukit Merah Laketown Resort. Banyak syarikat pemaju yang menghadapi masalah dan lingkup akibat krisis kewangan 1998, terutamanya pemaju mewah, tetapi MK Land berkembang pesat kerana reputasinya sebagai syarikat perumahan untuk rakyat biasa.

Seiring dengan perkembangan sebagai pemaju yang unggul, MK Land telah mula memajukan kawasan Damansara Perdana. Saya juga ada membeli unit kondominum di sana pada peringkat awal pembangunannya. Pada masa itu kediaman yang dijual masih mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Tetapi selepas kondo saya siap, unit yang dikeluarkan oleh MK Land semakin lama semakin mahal. Pada peringkat awal, pembeli yang membeli boleh mendapat untung apabila membeli kondo di sana, tetapi kemudian harganya semakin mahal. Kondominum yang dibina lebih cenderung kepada golongan atasan, walaupun syarikat juga ada membangunkan apartmen Flora Damansara, yang berkos sederhana.

Seiring dengan kemajuannya, MK Land juga mula melakukan perkara di luar perniagaan teras, termasuk menaja pasukan bolasepak profesional untuk menyertai Liga Malaysia. Akhirnya pasukan ini menarik diri daripada liga beberapa tahun lepas. MK Land terus membangunkan kondominum mewah di Damansara Perdana dan satu kondominum mewah di Damansara Damai yang tidak begitu mendapat sambutan dan mengalami banyak masalah. Sekarang ini, kalau kita selidik kondo yang dibangunkan oleh MK Land, tiada lagi yang mampu dimiliki oleh golongan pertengahan. Hampir semua merupakan hartanah mewah. Mereka juga mempunyai pembangunan di Cyberjaya yang kosnya juga begitu mahal sekali.

Saham MK Land telah jatuh teruk daripada tahap tertinggnya kira-kira lima tahun lepas. Cuba lihat graf di bawah:


Dipetik daripada Bursa Station. Hakcipta Shareinvestor.com

Apa sudah jadi? Harga saham jatuh daripada harga tertinggi lebih RM3.50 kepada 15 sen. Faktor utama yang menyebabkan kejatuhan ini ialah kegagalan mencatatkan untung. Ini memanglah lumrah pergerakan saham. Apabila syarikat mula rugi, harga sahamnya akan jatuh. Tetapi mengapa syarikat gagal mencatatkan untung? Hanya pegawai atasan mereka sahaja tahu (atau mungkin mereka tak tahu, sebab itu mereka rugi). Pada pandangan saya, pihak pengurusan tidak memberi tumpuan untuk menghasilkan nilai kepada pemegang saham. Tidak dinafikan bahawa mereka pemaju yang baik dan hartanah mereka boleh dikatakan diuruskan dengan baik juga, walaupun bukannya yang terbaik. Kawasan perumahan mereka juga boleh tahan dan kediaman kos sederhana mereka yang sudah siap dibangunkan adalah lebih baik daripada yang dibina oleh pemaju lain.

Walaupun masalahnya telah bermula tiga hingga empat tahun lepas, iaitu sebelum kegawatan semasa, saya rasa keputusan syarikat untuk memberi tumpuan kepada hartanah mewah akan menyebabkan syarikat menghadapi masalah untuk mengatasi kemelesetan kali ini. Ini satu situasi yang ironi, kerana pada krisis kewangan lepas syarikat ini gah kerana membina rumah untuk rakyat biasa tetapi strategi tersebut diubah sehingga syarikat sendiri gawat.

Dari segi pelaburan, syarikat yang dapat memenuhi keperluan pelanggan dengan baik tidak semestinya membawa manfaat kepada pelabur. Dalam dunia pelaburan, keuntungan amat penting. Jika pengurusan terlalu beri tumpuan kepada pelbagai perkara selain dari keuntungan, maka yang rugi adalah pelabur. Selain itu, kadangkala sesebuah syarikat yang bertukar tumpuan juga mungkin menghadapi masalah kerana keluar daripada perniagaan terasnya. Cuba lihat berapa banyak syarikat yang menawarkan rumah atau kondo mewah sekarang di Kuala Lumpur. Memang banyak. Tetapi syarikat kukuh yang membina perumahan termampu yang berkualiti amat kurang sekali.

Jangan anggap saham MK Land murah pada 15 sen kerana syarikat mempunyai masalah membayar balik hutang dan kekurangan tunai. MK Land juga tidak dapat menerbitkan saham baru untuk membayar hutang kerana pasaran semasa yang lembap. Selain itu, kondo-kondo mewahnya juga sekarang kurang mendapat sambutan. Jadi situasi amat genting. Pengajaran yang boleh diperolehi oleh kita sebagai pelabur ialah syarikat yang terbang tinggi dan mempunyai jenama terkenal juga boleh merosot prestasinya. Kita perlu sentiasa memantau pelaburan kita. Jika nilai saham lebih rendah daripada harganya, sudah tiba masanya untuk menjual saham tersebut.

Nota Tambahan:

Perkembangan Terkini - Pelan Pemulihan MK Land


Berikutan kerugian pada tahun 2007 dan 2008, Tan Sri Mustafa Kamal telah kembali mengambil alih tampok kepimpinan dan telah memulakan pelan 'turnaround' atau pemulihan yang dinamakan 'Renaissance'. Hasilnya ialah syarikat berjaya mengelakkan kerugian pada suku tahun Jun-Sept 2008. Antara yang dilaksanakan termasuk menjual aset bukan teras untuk membiayai projek baru dan mengurangkan hutang. Selain itu, syarikat juga bercadang mengeskport kepakaran dalam pembinaan perumahan kos rendah dan sederhana dan luar negeri.

Semua ini adalah perkembangan yang baik. Kita tunggu prestasi MK Land pada suku terakhir tahun kalendar ini, yang akan dikeluarkan pada hujung Februari. Jika syarikat berjaya mengelakkan kerugian sekali lagi, ini bermakna pelan pemulihan mula membuahkan hasil dan saham MK Land boleh dipertimbangkan kerana potensi sebagai saham 'turnaround'.

3 ulasan:

RAHISAM RAMLI berkata...

Salam Razali-MK Land memang antara nama yang gah dalam indusri pembinaan. Jika MK Land mempunyai pelbagai strategi untuk menaikkan sahamnya dalam pelbagai bidang lain seperti penaja bola sepak mungkin itu bukan masalah sebenar. andaian saya ialah keyakinan pelabur MKLand dlm industri ini mula menyusut kerana persaingan unit amanah saham dan pendedahan saham yang kurang berisiko telah semakin disedari oleh orang ramai. Kesedaran tentang memiliki saham yang kurang berisiko menjadikan unit saham oleh PNB menjadi rebutan.

Razali Razman berkata...

Selamat Hari Raya AidilAdha Sdr Rahisam dan Pok Li. Semoga Sdr dan keluarga sihat.

Sdr Rahisam,

Memang betul, kini lebih ramai yang berebut melabur dalam saham PNB dan juga unit amanah tetapi ini tak sepatutunya menjejaskan pasaran saham kerana institusi tersebut juga melabur dalam saham.

Kalau dulu, laluan modal ialah

pelabur kecil --> pasaran saham

sekarang

pelabur kecil --> institusi pelaburan --> pasaran saham

justeru kejatuhan harga MK Land disebabkan oleh institusi pelaburan hilang yakin disebabkan kerugian yang dicatatkan pada 2007 dan 2008. Namun satu pelan pemulihan telah dilaksanakan, diterajui oleh Tan Sri MK sendiri. Lihat nota tambahan yang baru dimasukkan pagi ini. Saya sentiasa memantau MK Land dan kalau pelan ini menunjukkan tanda berjaya pada suku terakhir tahun ini, saya sekali lagi akan melabur dalam MK Land.

CheeWee berkata...

cerita dalaman - memang ada konflik antara 2 boss yg menjejaskan prestasi syarikat!