29 November, 2008

Tabungan Pendidikan - Mana Paling Sesuai?

Pilihan bergantung kepada keperluan individu

Belanja pendidikan kini bukannya murah. Kalau prestasi akademik anak cemerlang dan dia layak menerima biasiswa, maka segala masalah selesai. Tetapi persaingan amat sengit. Kalau masuk universiti tempatan pun kena bayar yuran. Inikan pula kalau tak dapat tempat, yuran institusi swasta jauh lebih mahal. Tetapi dengan segala perbelanjaan hidup yang perlu ditanggung, mungkin ramai orang rasa berat untuk menabung bagi pendidikan anak, lebih-lebih lagi kalau ramai anak. Walau apa pun saya rasa kita harus mencuba.

Ada beberapa pilihan yang boleh dipertimbangkan:
1. Skim SSPN
2. Skim Insurans/Takaful/Bank
3. Amanah Saham Didik
4. Amanah Saham Wawasan

Pilihan mana yang digunakan bergantung kepada kedudukan kewangan anda.

Skim SSPN

Skim ini menawarkan beberapa keistimewaan termasuk:
  • Layak memohon pinjaman pendidikan PTPTN dengan syarat berikut:
    Ibu bapa berpendapatan lebih RM2,000 sebulan perlu mempunyai tabungan tidak kurang RM3,000; Ibu bapa berpendapatan keluarga tidak lebih RM2,000 perlu mempunyai tabungan tidak kurang RM500. (Buat masa ini kedua-dua syarat dikecualikan)
  • Pelepasan cukai ke atas simpanan sehingga RM3,000 setahun;
  • Manfaat perlindungan insurans sehingga RM50,000 serta pampasan/khairat kematian diberi secara percuma untuk simpanan RM1,000 dan ke atas;
  • Pemberian Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak **; Simpanan serendah RM20 pada bila-bila masa dan dijamin oleh Kerajaan;
  • Kadar dividen yang berpatutan dan dikecualikan daripada cukai pendapatan;
  • Keluarga berpendapatan tidak lebihi RM2,000 sebulan layak menerima Geran Sepadan apabila anak diterima masuk ke IPT
Kelemahan
  • Tidak boleh mengeluarkan wang sesuka hati (dari sudut lain boleh dianggap satu kelebihan kerana memastikan wang tidak disentuh).
  • Dividen rendah antara 3 - 4%.
Skim ini amat sesuai bagi golongan berpendapatan rendah kerana geran sepadan yang diberikan sehingga RM10,000. Ini bermakna jika anda simpan RM10,000 anda akan dapat RM10,000. Selain itu, jika anda tidak mampu untuk menabung, anda hanya perlu membuka akaun dan menyimpan sama ada RM3,000 atau RM500 (bergantung kepada pendapatan anda) untuk melayakkan anak anda mendapatkan pinjaman pendidikan.

Skim Tabungan Insurans/Takaful/Bank

Skim ini biasanya memberikan lebih banyak perlindungan insurans/takaful. Ini manfaat utamanya. Ada yang menawarkan takaful kesihatan dan sebagainya. Namun begitu dividen yang diberikan adalah rendah dan kedua jika anda mahu mengeluarkan wang lebih awal, anda mungkin rugi. Tetapi satu manfaat besar skim ini ialah jika anda meninggal dunia, anak anda akan menerima jumlah tabungan sasaran yang ditetapkan, tanpa perlu membayar premium bulanan. Jadi skim ini memberikan anda kepastian.

Skim Amanah Saham Didik

Skim ini tiada manfaat perlindungan, tetapi memberikan pulangan yang tinggi iaitu lebih kurang 7% setahun. Satu lagi cirinya ialah wang boleh dikeluarkan bila-bila masa, jadi kaedah simpanan memerlukan disiplin. Namun begitu Amanah Saham Didik kadangkala habis dilanggan dan baru-baru ini peruntukannya telah ditambah. Jadi ada kalanya penabung tidak dapat menambahkan peruntukan mereka.

Skim Amanah Saham Wawasan

Sama seperti amanah saham didik, cuma peruntukan bagi Bumiputera selalunya tidak pernah habis, jadi pelabur boleh menambahkan tabungan secara terus menerus dalam ASW. Seperti skim amanah saham didik, disiplin diperlukan kerana wang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.

Perbandingan
  • Simpanan bulanan RM100 pada kadar dividen terkompaun purata 4% selama 18 tahun dalam SSPN akan menghasilkan RM31,763
  • Simpanan bulanan RM100 pada kadar dividen terkompaun purata 7% dalam ASD/ASW selama 18 tahun akan menghasilkan RM43,423.
Terpulang kepada pelabur untuk melihat pro dan kontra setiap jenis pilihan tabungan. Sebagai contoh, bagi golongan berpendapatan rendah, skim SSPN nyata lebih bermanfaat. Bagi mereka yang mahu menjamin wang tersebut ada untuk anak mereka walaupun berlaku kejadian tidak diingini, skim Insurans/Takaful/Bank boleh dipilih. Sementara bagi mereka yang mahukan pulangan tertinggi, mereka boleh mengambil Skim ASD/ASW. Saya sendiri memilih ASW, dan mengambil skim perlindungan kesihatan yang berasingan untuk anak-anak.

Nota: Pembaca dijemput menambah pengalaman sendiri untuk kebaikan bersama. Sila beritahu jika ada sebarang kesilapan maklumat atau pengiraan.

7 ulasan:

HABIHA69 berkata...

Saya rasa skim-skim yang dicadangkan ini bersesuaian untuk mereka yang bekerja kerajaan, sementara sektor swasta kemungkinan skim mereka lebih kepada berskala besar berdasarkan pendapatan mereka yang besar itu...kebanyakan insuran Takaful pula lebih banyak menumpukan kepada mereka yang berpendapatan RM 1,500 ke atas manakala yang bergaji kecil ada kemungkinan tiada di dalam target market mereka...kalau betul perkara ini berlaku sesuatu langkah mesti diambil segera supaya manfaat dan kemaslahatan rakyat berpendapatan rendah utk menyara anak hingga ke IPT tetap terbela.

Pok Li berkata...

Maklumat yang bagus untuk perbandingan. Tk.

Tanpa Nama berkata...

Bro Razali,

Do you have any info if ASW complies with syariah

rgds

Bukhari

Razali Razman berkata...

Slm Sdr Haibah dan Pok Li...terima kasih.

Slm Bro Bukhari,

Dah lama kita tak jumpa Bro! Sebenarnya Majlis Fatwa Kebangsaan telah menyatakan hukum melabur dalam ASB ialah harus. Tetapi 'basis' Fatwa ini telah dipertikaikan oleh Ustaz Zaharuddin. Antara sebabnya ialah pelaburan dalam Bank yang mengamalkan Riba. Saya tak tahu berapa peratus pelaburan seperti yang dibuat tetapi menurut perkembangan terbaru mereka akan melantik Syariah Council di PNB untuk memantau pelaburan. Lihat perbincangan mengenai fatwa ini di laman web Ustaz Zaharuddin.

Mengenai ASW pula mungkin sedikit berbeza kerana ada ramai bukan Bumiputera yang melabur. Sepatutnya mereka boleh agihkan pendapatan halal kepada umat Islam dan yang lain kepada pelabur bukan Islam, selain daripada mengasingkan pelaburan kedua-duanya. Tetapi saya tak tahu sama ada ini dilakukan. Walau apa pun menurut Ustaz Zaharuddin, kalau nak ikut, harus, kerana segalanya ditanggung oleh Majlis Fatwa tetapi kalau nak lebih selamat, boleh buat penyiasatan sendiri untuk melihat bagaimana mereka melabur dan mengagihkan untung.

Razali Razman berkata...

Sebenarnya dalam perbankan dan kewangan Islam, ada dua tiga perkara yang menjadi isu hangat. Selain daripada ASB/ASN/ASW, satu lagi perkara yang menjadi pertikaian ialah kontrak Bai Al-Inah, yang diluluskan oleh Majlis Syariah di Malaysia tetapi tidak diluluskan di Timur Tengah.

Secara peribadi, biarlah pakar berbahas mengenai perkara ini. Bagi saya, saya tumpukan kepada bidang pengetahuan saya dan melabur mengikut apa yang diluluskan. Walau apa pun, apa yang boleh kita dilakukan ialah meminta kaedah-kaedah sentiasa diperbaiki supaya lebih mematuhi prinsip Syariah dan saya rasa keadaan sekarang jauh lebih baik daripada 10 tahun dahulu, dan dalam tempoh 10 tahun akan datang, pasti penambahbaikan akan terus dilakukan oleh PNB dan juga pengamal perbankan dan kewangan Islam.

RosyFitrah berkata...

Saya telah mencuba ke tiga-tiga tabungan pendidikan untuk 5 orang anak saya. Diversify adalah penting dalam pelaburan bagi meminimakan risiko kerugian. PTPTN dan produk PNB merupakan jaminan pelaburan yg paling selamat berbanding dengan Takaful. Pemilihan syarikat Takaful yg teguh dan stabil bersandarkan syarikat milikan kerajaan diyakini selamat. Tabung pendidikan adalah alternatif pelaburan yg berisiko rendah yang pada hemat saya perlu dimiliki sekurang2nya satu oleh setiap individu yg berkeluarga.

Razali Razman berkata...

Salam RosyFitrah

Setuju dengan pandangan Sdr. Terima kasih kerana singgah di blog saya.