26 November, 2008

Syarahan Perdana Prof. Dr Mohd Nazari

Krisis Kewangan Tidak Boleh Dielakkan
Berlaku Akibat Sistem Kewangan Semasa


Selasa, 25 November, 2008 - Universiti Malaya. Saya berkesempatan untuk menghadiri Syarahan Perdana Prof Dr Mohd Nazari Ismail, pensyarah jabatan strategi dan dasar, fakulti perniagaan dan perakaunan, UM, mengenai krisis kewangan. Beliau mengupas isu berkaitan krisis kewangan dan meninjau sama ada krisis boleh dielakkan. Ternyata syarahan ini amat relevan dalam keadaan ekonomi semasa.

Prof Dr Nazari memulakan perbincangan dengan mentakrifkan sesuatu krisis dan kemudian menyatakan bahawa krisis kewangan dan ekonomi telah berlaku sejak dari dulu lagi, antaranya termasuk krisis bunga tulip di Belanda beratus tahun dulu, 'Great Depression' pada tahun 1930an, krisis kewangan di Argentina dan Asia, kegawatan dotcom di Amerika dan krisis kewangan semasa yang membelenggu dunia sekarang.

Berasaskan kajian yang dijalankan, beliau mendapati krisis mula wujud 600 tahun dahulu, pada masa yang sama apabila aktiviti pinjaman wang mula diperkenalkan dan dianggap sebagai aktiviti perniagaan yang sah. Aktiviti pinjaman wang ini juga telah memperkenalkan konsep pengganda (leverage), membolehkan pelaburan atau penciptaan wang berasaskan beberapa kali ganda daripada nilai aset atau emas yang disandarkan.

Pada mulanya aktiviti mendapatkan untung menerusi pinjaman wang (riba) dilarang oleh semua agama termasuk agama Yahudi dan Kristian dan juga dipandang rendah oleh ahli falsafah. Namun begitu perkara ini telah berubah apabila John Calvin mengemukakan usul bahawa tindakan mengenakan kadar faedah bukannya riba tetapi sesuatu urus niaga hanya dianggap sebagai riba (usury) jika kadar faedah terlalu tinggi dikenakan. Sejak itu, bermulalah aktiviti pinjaman wang secara tersusun yang dianggap sebagai industri yang sah dan semakin berkembang pesat.

Beliau kemudian merungkai punca krisis kewangan semasa, dengan menyentuh masalah pinjaman subprima, perdagangan hutang dan juga beberapa instrumen derivatif yang berkaitan. Namun beliau bertanya, adakah krisis sebesar ini disebabkan hanya kerana beberapa institusi memberikan hutang kepada orang yang tak layak dan tak mampu membayarnya. Pada pendapatnya, faktor tersebut hanya faktor pencetus sahaja dan gejala 'overtrading' dan 'overborrowing' dan 'overlending' ialah kesan semula jadi sistem kewangan semasa di mana wang di dalam institusi kewangan perlu dipinjamkan untuk mendapatkan pulangan faedah.

Ramai yang tertanya-tanya sama krisis boleh dielakkan? Antara cadangan yang dikemukakan termasuk peraturan yang lebih ketat, menghalang aktiviti derivatif dan kembali kepada sistem kewangan bersandarkan emas. Tetapi menurutnya dalam keadaan ekonomi berkembang, liberalisasi dan derivatif dianggap sebagai faktor yang meningkatkan kecekapan pasaran, dan menggalakkan pembangunan pasaran kewangan, malah ramai cendekiawan dalam bidang kewangan sentiasa membangunkan instrumen baru untuk menggalakkan lagi perkembangan industri. Sementara itu, perubahan kepada sistem bersandarkan emas tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya sistem kewangan berasaskan pinjaman diteruskan, kerana sistem bersandarkan emas tidak akan dapat menampung inovasi dalam bidang kewangan.

Sebelum mengakhiri syarahan, Prof Dr Nazari memberi amaran bahawa segala rangsangan fiskal dan kewangan yang dilaksanakan sekarang, walaupun tidak boleh dielakkan dan perlu dibuat, hanya akan merawat gejala penyakit, bukan punca sebenar. Tindakan ini hanya menangguhkan sahaja masalah ke satu tempoh di masa depan. Katanya lagi, selepas krisis reda, perkembangan ekonomi akan berlaku semula, mungkin lebih pesat daripada sebelum ini. Namun krisis yang akan datang, pada tarikh yang tidak diketahui pada masa depan kemungkinan lebih besar dan lebih teruk daripada apa yang dialami sekarang ini.

Dalam syarahan ini, Prof. Dr Nazari tidak menyatakan secara terus-terang tentang punca sebenar krisis kewangan dan membiarkan hadirin membuat kesimpulan sendiri. Tekaan saya ialah beliau berpendapat punca sebenar krisis kewangan dan kitaran 'boom-bust' yang ketara ialah aktiviti meminjam wang untuk mendapatkan untung atau yang kita kenali sebagai riba, dan juga sistem penciptaan wang semasa, iaitu 'fractional reserve sistem' yang menimbulkan kesan pengganda yang amat besar. Justeru selagi sistem kewangan semasa diteruskan, kita perlu sentiasa berwaspada dan sedar bahawa apabila perkembangan terlalu pesat dan kenaikan ketara harga aset berlaku, kemungkinan besar kegawatan akan menyusul.

5 ulasan:

RAHISAM RAMLI berkata...

Saudara Razali-Maklumat syarahan yang dibincangkan menarik untuk dirumuskan.

Soalnya-siapa yang mengawal polisi fiskal kewangan dunia kalau bukan AS dan sekutunya.

Satu lagi-Sistem kewangan Islam sering diingatkan agar inovatif dan kebal dari sebarang krisis. Bolehkah SKI pula yang mengawal fiskal kewangan dunia?

HABIHA69 berkata...

Adakah ini maknanya petanda awal bahawa akan runtuhnya sistem keewangan yang berunsur riba itu tidak lama lagi? Dan apakah keadan ini Bank-bank akan beralih kepada sistem kewangan Islam, sedangkan sistem kewangan Islam pun kebanyakannya hanya "Jenama" sahaja dan kebanyakannya masih mengikut sistem yang lama.

Alias Mohd Yusof berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Alias Mohd Yusof berkata...

Saya difahamkan semua mata wang dunia disandarkan kepada Dolar Amerika. Tentulah apa yang berlaku pada ekonomi Amerika akan secara langsung mempengaruhi ekonomi dunia.
Kalau kita lihat pada sejarah, sistem ekonomi yang tulin mestilah berasaskan kepada pertukaran barang atau 'barter trade'. Oleh itu kita kena kembali kepada asas yang betul ini.
Kesukaran untuk melakukkan urus niaga secara barter trade di kalanganan orang awam maka sistem mata wang yang bersandarkan nilai emas diwujudkan.
Tetapi sekarang wang bukan lagi disandarkan kepada nilai emas.

Razali Razman berkata...

Salam Sdr Rahisam
Salam Perkenalan Sdr Alias dan Habihah

Saya rasa sistem kewangan riba tidak akan runtuh...tetapi krisis ini akan menyerlahkan dan mengukuhkan sistem kewangan Islam dan meluaskan lagi perkembangannya. Mengenai produk perbankan Islam, saya rasa sekarang sudah ada produk yang lebih baik seperti musyarakah mutanaqisah dan juga produk dari Al-Rajhi dan bank timur tengah yang lebih cenderung kepada pembiayaan ekuiti dan bukannya pembiayaan menerusi kredit.