28 Oktober, 2008

Saham Jatuh Teruk...Jangan Panik

Keputusan Jual Secara Tergesa-Gesa Mungkin Kurang Bijak

Sekiranya anda memiliki saham atau mempunyai pelaburan yang agak besar dalam unit amanah, anda pasti resah dengan keadaan pasaran semasa. Indeks telah jatuh ke tahap hampir 800 mata hari ini, tetapi kembali naik ke paras lebih 830 mata pada penutup. Banyak saham telah jatuh harganya sehingga berada di bawah nilai sebenar. Malah banyak saham yang berada jauh di bawah nilai aset bersih syarikat. Kejatuhan harga saham juga sudah tentu menjejaskan nilai unit amanah.

Jualan panik telah melanda pasaran global dan Malaysia tidak terlepas daripada kesan krisis ini. Ekonomi sebenar dijangka turut menghadapi kesannya. Malah Singapura sudah mengalami kemelesetan pada suku tahun terakhir. Pertumbuhan Malaysia juga akan terjejas. Tetapi dalam keadaan semasa yang penuh dibelenggu ketakutan kita harus ingat bahawa krisis kewangan yang kita alami dulu adalah jauh lebih serius kepada kita kerana bank-bank kita yang menghadapi masalah pada waktu itu. Namun dalam kegawatan teruk sebegitu pun, ekonomi kita tetap pulih.

Krisis kewangan kali ini mempunyai kesan lebih serius bagi ekonomi global, tetapi institusi kewangan kita tidak begitu terjejas dan telah mengambil pendekatan berhati-hati sejak krisis kewangan Asia dahulu. Cuma ekonomi kita tetap akan mengalami kesannya kerana permintaan untuk barangan eksport dan harga komoditi akan merosot.

Kalau anda memegang saham atau unit amanah, masa untuk menjual ialah tiga hingga enam bulan lepas, sebelum krisis berlarutan. Kalau jual sekarang, anda mungkin rugi kerana anda tidak akan meraih manfaat apabila pemulihan berlaku. Namun anda tetap perlu menilai portfolio anda. Jika saham yang anda pegang berpotensi untuk kekal pada paras rendah akibat terjejas teruk, barulah pertimbangkan untuk jual saham tersebut. Gunakan wang untuk membeli saham syarikat yang dijangka akan naik dengan pantas seiring dengan pemulihan, terutamanya syarikat yang menggunakan komoditi sebagai faktor pengeluaran kerana harga komoditi telah jatuh ke tahap yang lebih realistik.

3 ulasan:

Pok Li berkata...

Tips yang bagus. :)

RAHISAM RAMLI berkata...

Salam saudara Razali-semakin panik para pelabur kewangan global maka semakin kering kontang simpanan rizab negara.

Panik kepada mereka yang berpegang prinsip Qarunisme. Islam dalam apa jua keadaan sudah bersedia dengan pelbagai keadaan krisis.

Saya yakin sistem kewangan Islam makin menjadi pilihan utama sekarang ni. Jadi produk ini mesti dipromotkan dengan sekencang tsunami.

Saya link blog saudara dan salam perkenalan.

Razali Razman berkata...

Pok Li - Terima kasih kerana memberi ulasan tentang perkhidmatan dan layanan. Memang betul, selain layanan, perkhidmatan asas kenalah bagus, kalau tidak pelanggan tak akan berurusan dengan kita.

Sdr Rahisam - Terima kasih kerana melayari dan meletakkan link kepada blog saya...saya juga akan link kepada blog Sdr.