21 Oktober, 2008

Pinjam Duit KWSP Untuk Labur Saham?

Tiada masalah tetapi kerajaan harus jamin KWSP tidak rugi

Salah satu daripada langkah yang diumumkan semalam untuk menangani krisis ekonomi ialah peruntukan RM5 bilion untuk melabur dalam pasaran saham menerusi Valuecap. Dari satu sudut, ini boleh dianggap sebagai langkah yang bijak kerana harga saham sekarang pada paras yang amat rendah dan saya rasa dalam tempoh tiga empat tahun akan datang, pelaburan boleh mencatatkan keuntungan yang agak tinggi.

Namun yang menjadi tanda tanya ialah wang tersebut akan dibekalkan oleh KWSP dalam bentuk pinjaman. Langkah ini dipersoalkan oleh beberapa pihak, dan antara perkara yang dipertikaikan ialah:

1. Kenapa gunakan wang KWSP? Bukankah jika pelaburan ini rugi, rakyat yang akan menanggung kerugiannya?

2. Patutkah kita melabur RM5 bilion dalam pasaran saham? Bukankah sepatutnya kita melabur dalam aktiviti yang menjana ekonomi sebenar? Apabila ekonomi dirangsangkan, pasti pasaran saham juga akan naik. Tetapi apabila duit dilaburkan terus dalam pasaran saham, harga saham naik, tetapi tiada nilai sebenar dicpita.

3. Pelaburan ini akan dibuat dalam syarikat mana? Apakah kriteria pelaburannya? Adakah pelaburan dibuat dalam saham syarikat di mana pemegang saham utamanya ada kaitan tertentu, yang mengalami masalah akibat membeli saham berasaskan hutang. Apabila harga saham yang dicagarkan jatuh, bank akan membuat panggilan untuk meningkatkan nilai sandaran atau bayar balik sebahagian hutang sehingga sesuai dengan nilai saham yang dicagarkan. Justeru untuk mengelakkan jualan paksa (forced-selling), harga saham perlu naik lebih tinggi.

Menteri Kewangan kedua kita hari ini menyatakan bahawa pelaburan ValueCap telah meningkat dari RM5 bilion kepada RM8 bilion. Ini mengurangkan kebimbangan tentang kemusykilan pertama yang ditimbulkan. Namun rekod masa lepas tidak menjamin prestasi masa depan. Ada baiknya jika kerajaan menjamin bahawa KWSP tidak akan rugi daripada pelaburan ini, kerana pinjaman dibuat bukan atas budi bicara Lembaga KWSP, tetapi atas arahan Kerajaan.

Kemusykilan kedua lebih sukar dijawab. Tetapi tidak dinafikan bahawa peningkatan harga saham akan mewujudkan 'wealth effect' tetapi manfaatnya akan dirasai hanya oleh pemilik saham, dan itupun hanya saham yang dibeli oleh ValueCap sahaja, sedangkan pelaburan dalam ekonomi sebenar akan mewujudkan kesan pengganda dan tempiasnya boleh dimanfaatkan oleh semua.

Untuk menjawab kemusykilan ketiga, Valuecap harus telus apabila membuat pelaburan dan melabur berasaskan potensi saham, bukan berasaskan siapa pemegang saham atau kriteria lain yang menyimpang daripada tujuan asal.

Sama ada keputusan ini satu langkah yang bijak bergantung sepenuhnya kepada pelaksanaan. Jika dilaksanakan dengan teliti dan sempurna, pelaburan tersebut boleh membawa manfaat. Jika dilaksanakan dengan cara yang tidak telus dan amanah, langkah ini boleh membawa padah.

3 ulasan:

CheeWee berkata...

Kalau ikut objektif KWSP, rasanya KWSP harus melabur dlm fixed income secara majoriti dan hanya boleh melabur (exposed) dlm ekuiti dlm peratusan yg tertentu. Langkah ini adalah utk menjamin wang simpanan awam. Dah bercanggah kah? Ok, kalau nak juga melabur dlm ekuiti, saya sebagai ahli minta KWSP lancarkan skim yg beri kita pilih & labur sendiri! Bukannya boleh caya - nanti pi beli heli!

Muhammad Azli Shukri berkata...

sila tulis berkenaan pelaburan untuk majalah saya, dateline 2/11/2008. apa2 tajuk. harap sudi.

Razali Razman berkata...

Sdr Azli

Saya akan usahakan dan emel sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Terima kasih