15 Oktober, 2008

Baik Buruk Krisis Kewangan Dunia

Ada Hikmah dan Manfaat di Sebalik Kegawatan

Apabila sebut sahaja krisis, ramai yang mempunyai tanggapan negatif. Memang ini tidak menghairankan kerana krisis dikaitkan dengan kegawatan, masalah ekonomi, kesempitan kewangan dan tahap keuntungan syarikat yang lebih rendah. Berikut adalah berapa kesan krisis kewangan sedunia terhadap kita di Malaysia:

1. Harga saham jatuh. (Kalau anda masih banyak memegang saham) Ini perkara biasa. Harga saham jatuh kerana pelabur meramalkan penyusutan tahap keuntungan syarikat .

2. Nilai unit amanah jatuh. (Jika anda banyak melabur dalam unit amanah dan belum sempat menjual sebelum harga turun). Oleh kerana harga saham jatuh, sudah tentulah nilai unit amanah yang melabur dalam ekuiti juga jatuh sama.

3. Nilai rumah/hartanah yang anda miliki mungkin merosot sedikit...bergantung kepada lokasi dan jenis rumah.

4. Pertumbuhan ekonomi terjejas. Dari segi kesan individu bermakna orang ramai tidak akan menerima kenaikan gaji, bonus yang mereka terima lebih kecil atau tiada langsung bonus. Mungkin dalam kes yang teruk, ada pekerja yang terpaksa diberhentikan kerja, tetapi jumlahnya masih kecil di Malaysia.

5. Syarat pinjaman lebih ketat, terutamanya pinjaman kereta yang dulunya amat longgar.

Namun di sebalik kegawatan, ada juga hikmah dan manfaat krisis yang melanda dunia kali ini. Malah sesetengah manfaat adalah sama dengan keburukannya!

1. Harga saham jatuh. Pelabur yang mempunyai banyak tunai dan yakin dengan keupayaan ekonomi untuk pulih boleh membeli saham pada harga yang berpatutan.

2. Harga unit amanah jatuh. Pelabur bijak kini boleh membeli unit amanah terbaik pada harga yang rendah, sambil menantikan pemulihan ekonomi berlaku.

3. Nilai rumah/hartanah lebih rendah. Peluang untuk pelabur yang lebih suka melabur dalam hartanah untuk mendapatkan harga yang berpatutan.

4. Harga minyak turun. Faktor ini paling banyak memberi kesan terhadap rakyat.

5. Harga komoditi turun. Akan membantu mengekang inflasi yang mencecah tahap yang agak tinggi. Turut membantu syarikat yang menggunakan komoditi sebagai faktor pengeluaran.

6. Syarat pinjaman ketat. Ini mengelakkan pembeli kereta yang tidak mampu daripada mengambil pinjaman yang terlalu besar, kerana tindakan ini mungkin mengudang masalah pada masa depan.

Justeru sesuatu faktor itu mungkin positif atau negatif, bergantung kepada situasi, tanggapan dan kedudukan kewangan anda. Namun kefahaman tentang perkara ini penting untuk memastikan sesiapa yang terjerat akibat krisis kewangan kali ini untuk belajar daripada kesilapan, dan bersedia untuk mengambil kesempatan sekiranya kegawatan berlaku lagi pada masa depan.

4 ulasan:

CheeWee berkata...

Saya pun baru cerita panjang lebar pasal krisis dunia petang semalam. http://metta88.blogspot.com.
Nak jemput hang jadi penulis tetamu!

Baru- baru ini, article saya dipaparkan di http://asiaparttime.com/blog/career-review/career-reviewed-unit-trust-consultant-part-1-why-would-i-want-to-be-a-unit-trust-consultant/

Razali Razman berkata...

Chee Wee

Saya dah baca...memang menarik.

Penulis tetamu...no problem, we can discuss this further.

Pok Li berkata...

Majoriti rakyat mungkin gembira kerana penurunan harga minyak. Dalam masa yang sama komoditi lain seperti getah dan kelapa sawit juga mengalami penurunan harga. Ekonomi yang lembap di Amerika turut mempengaruhi iklim ekonomi Malaysia. Walaupun senario ekonomi sekarang tidak sama dengan tahun 1998 tetapi penurunan eksport akan menjejaskan keharmonian negara. Apatah lagi peratus eksport kita ke negara maju juga agak besar. Kita bimbang jika sistem kewangan yang melanda Amerika sekarang tidak mampu dipulihkan dalam waktu terdekat, ia akan menimbul krisis kepada ladang-ladang, penoreh getah, pemilik kelapa sawit, termasuk kilang-kilang yang mengeluarkan pelbagai barangan industri. Wallahu allam.

Razali Razman berkata...

Salam Pok Li,

Memang betul, kalau kegawatan berlarutan di Amerika, Malaysia pasti merasai tempiasnya. Kilang yang mengeluarkan barangan eksport akan mengalami kesan paling serius. Tetapi saya rasa pengusaha kelapa sawit belum lagi terjejas kerana harga kelapa sawit masih lebih tinggi daripada harga tertinggi antara 2002 - 2005. Cuma yang lega sedikit ialah industri yang menggunakan kelapa sawit dan minyak sebagai faktor pengeluaran atau perkhidmatan, kerana tekanan ke atas kos mereka akan berkurangan. Diharapkan negara kita terlepas daripada kesan paling buruk,seperti yang dialami di negara-negara Barat.