14 September, 2008

Peluang Dalam Saham Bank Islam?

Harga - RM1.05; EPS 2008 - 22.3 sen; P/E - 4.7

Lebih kurang tiga tahun lalu, Bank Islam mengalami masalah kewangan dan pengurusan, di samping tahap pembiayaan tidak berbayar yang tinggi. Tetapi sejak tahun kewangan lepas, prestasinya semakin meningkat. Pihak pengurusan telah ditukar dan proses pemulihan telah dilaksanakan. Walaupun prestasi bertambah baik, harga sahamnya sekarang rendah kerana dua perkara. Pertama keadaan politik dan ekonomi semasa yang kurang baik. Kedua, mungkin ramai pelabur yang masih ragu-ragu dengan keupayaannya untuk terus mencapai keuntungan selepas masalah yang dialami tiga tahun lalu.

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mencatatkan Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai (KSZC) berjumlah RM308.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2008 (TK2008), iaitu 30.3% lebih tinggi daripada tahun sebelumnya. Di peringkat Kumpulan, KSZC mencecah angka RM316.9 juta, iaitu 49.5% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Pulangan atas Ekuiti Bank meningkat kepada 26.5% berbanding 23.3% sebelum ini. Pendapatan sesaham (EPS) pula naik kepada 22.3 sen berbanding 16.1 sen pada tahun sebelumnya. Manakala, Nisbah Modal Risiko Berwajaran bank juga meningkat kepada 12.9% berbanding 12.0% pada TK2007.

Deposit pelanggan telah menokok 17.9% kepada RM20.8 bilion. Selain itu, situasi Pembiayaan Tidak Berbayar (PTB) juga semakin baik. PTB Kasar menyusut daripada 22.3% kepada 18.6% manakala PTB bersih berkurangan daripada 11.4% kepada 7.8%. Dari segi peluasan perniagaan, Bank Islam sedang membuat pertimbangan untuk menceburi pasaran Indonesia yang mempunyai begitu ramai penduduk Islam. Berasaskan segala perangkaan dan maklumat ini, harga saham Bank Islam nampak amat berpatutan, terutamanya untuk pelaburan jangka panjang, selagi syarikat dapat dapat terus menambah baik operasi dan membuat keputusan yang tepat apabila menceburi pasaran Indonesia.

2 ulasan:

CheeWee berkata...

Tip yang baik. Soalan - berapa kadar dividen (Dividend Policy)Bank Islam?

Razali Razman berkata...

Bank Islam tidak membayar sebarang dividen. Untuk pelabur yang mahukan dividen, Bank Islam bukan pilihan yang sesuai kerana merupakan satu 'turnaround play' yang risikonya lebih tinggi sedikit daripada saham yang sudah mantap dan menjana keuntungan berturut-turut selama bertahun-tahun.

Pada pendapat saya, saham ini sesuai untuk 'growth investor' yang mahukan keuntungan modal (capital gains) dan sanggup melabur untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun dan mempunyai toleransi risiko yang lebih tinggi.