27 Ogos, 2008

Beli Saham Menerusi Internet

Beli Saham Dengan Broker Biasa - Kos Minimum $40
Beli Saham Menerusi Internet - Kos Minimum $12

Pada awal tahun ini, SC telah menetapkan peraturan bahawa kos minimum untuk beli saham menerusi broker biasa ialah RM40. Ini bermakna kalau anda beli 100 saham pada harga RM1, kosnya ialah RM40. Kalau beli 1000 saham berharga RM1, kosnya tetap RM40. Cuma kalau anda beli saham bernilai lebih RM5,000 (anggaran sahaja) barulah anda akan dikenakan caj berasaskan peratus nilai pembelian (antara 0.6% - 0.7% bergantung kepada broker). Ini bermakna bagi pelabur kecil, pembelian menerusi broker biasa kini sudah tidak menjimatkan kos.

Justeru, lebih baik untuk berurusan menerusi Internet, dengan kos minimum yang lebih rendah dan juga caj peratusan nilai saham yang juga lebih rendah. Banyak bank/broker menawarkan perkhidmatan ini, termasuk Maybank dan CIMB. Prosesnya tidak susah. Malah, jika anda mendaftar, anda boleh mendapat senarai harga saham dalam masa nyata (real time). Ini satu kelebihan besar. Selain itu, anda boleh memasukkan senarai portfolio saham anda. Justeru, setiap kali anda log masuk, anda boleh terus merujuk kepada portfolio saham, tanpa perlu meninjau harga saham satu demi satu. Proses belian dan jualan juga agak mudah. Saya sudah mencuba prosesnya dan memang berbaloi. Malah, pihak bank juga menghantar pelbagai maklumat penyelidikan menerusi e-mel. Bagi yang masih menggunakan broker biasa, mungkin sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan jual beli menerusi Internet.

2 ulasan:

mohammad saiful berkata...

Assalamualaikum wbt..
Saya nak tanya, betul ke kita boleh melakukan urusan saham dengan nilai minimum RM 40??

Contoh, dalam poket saya ada RM40 jer..Dengan RM40 tu, saya beli unit. Bolehke?

Mohon pencerahan sebab baru lagi.

Terima kasih

Razali Razman berkata...

Bukan nilai minimum RM40.

Pelaburan minimum untuk saham ialah 100 saham atau 1 lot dan nilainya bergantung pada harga saham. Namun begitu, kos untuk melabur 100 saham, terutamanya saham murah adalah tinggi, kerana terdapat kos minimum RM8 untuk urus niaga tunai menerusi Internet, RM12 untuk urus niaga biasa T + 3 menerusi Internet, dan RM40 untuk urus niaga biasa T+ 3 menerusi broker biasa.
Selepas kos minimum tersebut, kadar broker ialah seperti berikut: 0.1% untuk urus niaga Internet tunai, 0.42% untuk akaun urus niaga T + 3 menerusi Internet, dan 0.6 – 0.7% bagi urus niaga menerusi broker biasa.

Nilai pelaburan minimum yang kos efektif ialah kira-kira lebih RM1,200, jika berurus niaga menerusi Internet, dan kira-kira lebih RM4,000 untuk urus niaga biasa menerusi broker.

Pelaburan minimum bagi unit amanah lazimnya ialah RM1,000.